15 April 2015

Pajakan tiga pihak harap tingkat hasil TKPM – Exco Pertanian

DR. Afif Bahardin (tiga dari kiri) bersama-sama Abu Jamal Nordin (kiri sekali) diberi penjelasan oleh Boey Tze Nin (empat dari kiri) mengenai produk “mushgrow”, selepas sidang media di sini, pagi tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif berharap pajakan tiga pihak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dekat Juru, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah akan meningkatkan lagi hasil pertanian negeri untuk pemakanan.

“Memandangkan projek TKPM ini amat penting dalam usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negeri untuk pemakanan, CMI telah berusaha untuk memenuhi kekosongan tapak di kawasan projek ini,” ujar Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan di sini, pagi tadi.

Pada majlis tandatangan perjanjian pajakan itu, Kerajaan Negeri diwakili oleh Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), S. Bharathi dengan tiga pengusaha berkenaan, iaitu Pengarah Syarikat Gourmet One Food Services (M) Sdn. Bhd., Farizul Arif Abd. Mutalib, Boey Kang Nin (Pengarah Syarikat EKO Aquaculture Sdn. Bhd.) dan Boey Tze Nin (Pengarah Syarikat EKO Agro Biotech Sdn. Bhd.).

Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Abu Jamal Nordin turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian pajakan tersebut.

Difahamkan, Syarikat Gourmet One Food Services (M) Sdn. Bhd. pernah memeterai satu perjanjian pajakan dengan CMI selaku pengurus tapak TKPM pada tahun 2013, untuk mengusahakan projek pembenihan ikan dan udang marin.

Syarikat tersebut mendapat tambahan tapak seluas dua ekar lagi pada perjanjian pajakan kali ini, dengan keseluruhan kawasan usahawan adalah kira-kira lima ekar.

Manakala, pajakan oleh Syarikat EKO Aquaculture Sdn. Bhd. adalah bertujuan untuk menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembenihan ikan dan udang, dengan menggunakan sistem moden 'Bio Floc'.

Syarikat EKO Agro Biotech Sdn. Bhd. pula menjalankan projek usahawan tani muda serta R&D cendawan dan memasarkan produk komersial yang dikenali sebagai “mushgrow”.

TKPM dicadangkan dalam Pelan Pembangunan Pertanian Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) pada tahun 2005 demi memenuhi keperluan makanan domestik serta eksport ke luar negeri.

Sehingga kini, terdapat lapan pengusaha zon pertanian, 1 pengusaha zon penternakan dan tiga pengusaha zon perikanan bagi TKPM Juru.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus