JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) diiringi wakil Property Queen (tengah) merakamkan gambar bersama-sama staf Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri di Ekspo Perumahan Mampu Milik dan Pasaran Sekunder dekat Pusat Konvensyen Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya pada 25 Ogos lalu.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bank Negara Malaysia (BNM) diharap dapat memuktamadkan pakej-pakej pinjaman perumahan mampu milik untuk pembeli unit kediaman kali yang pertama, menjelang akhir tahun ini juga.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian pada Majlis Pembukaan Ekspo Perumahan Mampu Milik dan Pasaran Sekunder, anjuran Property Queen dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada 25 Ogos 2018.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memastikan penyediaan perumahan mampu milik untuk (rakyat) di Pulau Pinang,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya.
Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) memberitahu sehingga kini sejumlah 28,915 unit rumah mampu milikan telahpun dibina.
Katanya lagi, sejumlah 22,065 unit rumah mampu milik lain sedang dibina, selain 32,212 unit kediaman telahpun diluluskan untuk projek pembangunan.
“Jumlah keseluruhan rumah mampu milik yang telahpun disediakan adalah 82,472 unit,” jelasnya, lalu membuat lawatan ke beberapa gerai pameran perumahan terpilih.
Berdasarkan angka 82,472 unit kediaman itu, katanya lagi, sekaligus menunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini berjaya mengotakan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu menyediakan 75,361 unit kediaman kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik (RMM) di negeri ini.
Difahamkan, ekspo selama dua hari sehingga 26 Ogos 2018 menyediakan 22 kiosk pameran lebih 10,000 unit kediaman pelbagai kategori untuk pengunjung di sini.
No comments:
Post a Comment