26 June 2018

Cerpen: Hati Dia...




Oleh: Zainulfaqar Yaacob

          PATUT janji temu menyambut Hari Ulang Tahun Kelahiran Man ke-35 pada 13 Mei pada jam 6 petang di Pak Mat Western. Tapi, isterinya tunggu lebih dua jam, baru Man sampai di rumah. Kuyup sebadan, dicium hujan yang maha lebat. Tidak sangka Man, siang-siang langit mencerah, tiba-tiba rahmat mencurah dan habis basah bumi Sungai Petani.


          Lalu berjinjit masuk Man melalui pintu dapur, terus ke bilik mandi membersihkan diri. Sedang sibuk bersabun, si isteri menggantung tuali dari luar daun pintu. Diam sahaja dari luar. “Habis aku hari ini,” bisiknya.


          Sesudah solat Isyak, Man cuba meneka perasaan isterinya yang sejak tadi diam. “Hujan lebat sangat tadi,” ringkas sahaja Man. 


          Siti yang masih bertakung bersalaman dengan suaminya, dicium selang-sepi pipi kanan dan kiri, dicium bibir hitam suaminya itu, lalu saling berpelukan, seperti biasa kalau mereka solat fardhu secara berjamaah. Cuma, Siti, masih berdiam dan bersahaja. Langsung tidak menyahut perbualan suaminya itu.


           Macam-macam yang bersarang dalam fikiran Man. Perlukan dia meminta maaf, atau cukup menjelaskan perkara yang sebenar, iaitu beliau memenuhi pelawaan rakan sekerja untuk menyambut hari lahirnya secara kecil-kecilan dan tiba-tiba. 


            Man ada juga memikirkan patut dan elok juga beliau memberi masa untuk isterinya berpuasa mulut. Kalau merajuk pun, sebagai seorang lelaki yang anti patriaki, wajib dan mesti hormat perasaan seorang wanita. Apabila tiba masanya nanti, Man berjanji dengan dirinya untuk memujuk dan meminta maaf. Kerana, baginya isteri jua ada perasaan dan bukan hamba yang mesti sujud mengembang keegoan seorang suami. 


            “Man minta maaf.” Lain yang difikiran tapi lain pula yang terluah di mulut. Sah, Man sangsi dan fikirannya berbelah bahagi. 


             “Siti tahu Man telah cuba sebaik mungkin untuk memenuhi janji temu kita pada petang tadi,” katanya sambil memegang tanya dan membetulkan pakaian suaminya itu.


              Bertambah serba salah Man dengan respons Siti. Dia cuba sembunyikan perasaan itu tapi cakap yang nakal-nakal. “Masa ini bukan benda yang boleh diikat-ikat kalau kita cuba mengingatnya. Tengok Man, nak ikat umur pada usia 34 pun tak boleh kerana pada 31 Mei 2018, umur berganjak juga jadi 35 tahun.”


              Tersenyum-senyum Siti melihat kelaku suaminya. Diamnya sejak tadi pudar. Dia memang nak menyelam perasaan suaminya yang nakal, selalu berjanji kosong untuk ubah diri demi keluarga. “Selain masa, sebenarnya ada banyak lagi benda yang tidak boleh diikat-ikat. Cuba Man teka?”


               “Diam Siti tadi pun, sampai tidak terjawab teka-teki itu. Man ingat Siti akan puasa mulut sampai esok atau selebihnya mungkin tiga hari. Ini, Siti minta Man jawab satu lagi teka-teki baru.” Bisik Man. Selepas selesai melipat sejadah, direnggang-renggangkan gulungan kain pelikat yang menjerut pinggang, Man melabuhkan kepala ke riba Siti yang masih bertelekung. 


                “Memang...ada banyak benda tidak boleh diikat-ikat.” Balas Siti. Diambil tangan suaminya itu, dicium-cium dengan penuh kasih dan sayang. Sambungnya lagi, “seperti masa, perasaan juga tidak mampu diikat-ikat, ada kalanya dipeluk rasa marah, tapi selepas itu digoda perasaan maaf.


               Kata-kata isterinya itu sangat seksi dan mendalam. Puas mendengar lebih luas daripada bersetubuh di ranjang sepanjang malam. Sangat romantis. Beruntung apabila dalam diri masing-masing menyemarak sifat kewanitaan.


              Fikir Man lagi, ini faham Real Leftist, yang melihat gender lelaki dan wanita adalah sama, sebagai manusia. Dan, Real Leftist anti patriaki. Jangan ini dalam diri wanita yang lembut tidak ada kekerasan. Seperti lelaki, wanita juga dicipta Tuhan dengan sifat-sifat kesempurnaan. Panjang lebar perbahasan Dialektik Materialisme mengenai sifat-sifat pertentangan dalam diri manusia, oleh Dr Mohd Nasir Hashim dalam buku Memperkasa Rakyat.


               Menurut Dr Mohd Nasir, ada sifat kemalaikatan dan kesyaitanan yang saling bertentangan dalam tubuh manusia. Ada juga sifat kebinatangan dan ketuhanan dalam tubuh manusia. Ada sifat amarah dah memaafkan dalam tubuh manusia. Ada sifat kelembutan dan kekerasan dalam tubuh manusia. Segalanya saling bertentangan dan akan senantiasa melahirkan natijah pada tindak-tanduk manusia itu sendiri. Kerana itu, walaupun wanita seringkali lembut pada tindakan, apabila diasak dengan kekerasan, akan keras dia. Dan, kerana itu ada pepatah menyebut, “tangan lembut yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.”


                Kata-kata isterinya tadi terus berputih dalam jiwanya. Man tahu apa yang cuba disampaikan oleh isterinya itu. Langsung tidak terdetik pun rasa ego atau marah. Man bersedia mendengar sesuatu yang lebih seksi. Kalau dimarahi pun, Man akan diam dan dengar. Itu, simbol hormat kepada wanita. Wanita, terutama isteri bukan golongan yang lemah. Mereka kuat, kuat memahami segala firasat, perasaan, tabiat lelaki yang mereka pilih sebagai teman hidup. Kalau bekerjaya pun, sesetengah mereka sanggup bersusah lebih untuk menguruskan urusan makan minum dan siap pakaian di rumah.


                Kerana perasan itu, walaupun Man senantiasa melatih dirinya supaya tidak patriaki. Dia tanam sedalam-dalamnya dalam diri, bahawa seorang lelaki tidak patut mendominasi pasangan wanitanya secara pemikiran atau emosi atau fizikal atau seksual.


                Maka selalu lah dia mencuri tanggungjawab di rumah, sampai Siti terpaksa mengatur tugasan, siapa patut mencuci pakaian dan siapa patut menyidai basuhan di ampaian.  


                “Man nak minta maaf.” 


                “Kenapa Man tak pujuk Siti,” tanya si isteri.


                “Sesetengah lelaki kalau tak pujuk isteri mungkin kerana dia anggap isu janji temu sebegini remeh. Man, sebenarnya tengah cari masa nak memujuk. Sebab tadi Siti diam, Man diam sebab Man rasa apa pun perasaan Siti terhadap Man, Man wajib hormat.”


                 “Kalau Siti nak hukum pesalah seperti Man, boleh?” tersenyum-senyum si isteri.


                 “Maafkan kami...maafkan kami...” Man nyanyi-nyanyi lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok.


                 “Esok, selepas siap urusan di Klinik Kesihatan, Siti nak belanja Man makan tengah hari. Ini hukum, jangan bantah-bantah.”


                 “Baik bos!” cepat-cepat Man yang tadi tadi tidur beriba, berdiri lalu tabik kepada isteri muda cantik jelitanya itu.


END 


No comments:

Post a Comment