16 April 2018

Seinci pun hutan simpanan kekal Pulau Pinang tidak ‘disentuh’ sejak 2008 - Pengarah Perhutanan

The Habitat, dekat Bukit Bendera Pulau Pinang.


Oleh:ZAINULFAQAR YAACOB

DI Pulau Pinang, terdapat 5,200 hektar Hutan Simpanan Kekal, dengan proses perwartaan dimulakan seawal tahun 1911, iaitu sejak zaman kolonial British lagi.

Di dunia, terdapat sebanyak 43 spesis tumbuhan berkayu yang diberi namasempena negeri ini, seperti Hopea bracteata var. penangiana (Merawan Unggu), Beilschmedia penangiana (Medang) dan Haniffia cycnescens var. penangiana (Halia Hutan).

Selain itu, terdapat sebanyak 62 spesis pokok hutan yang dinamakan sempena seorang ahli botani British terkenal yang pernah bertugas di Taman Botani Pulau Pinang suatu ketika dahulu iaitu Charles Churtis.

Contohnya, spesies Meranti Seraya, nama saintifik tumbuhan itu adalah Shorea curtisii iaitu sempena nama Charles Churtis ini.

Ertinya, ada lebih 42 spesis sempena nama Pulau Pinang, selain 62 spesies lain,” jelas Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, RUSLI TAHIR dalam satu wawancara di pejabatnya baru-baru ini.


Nilai Hutan Kita

Sewaktu bertugas di Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rusli memberitahu, beliau dengan satu badan perunding profesional dari Universiti Putra Malaysia pernah membuat satu kajian bagi menentukan nilai sebenar Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh.

Melalui metod PES (Payments for Ecosystem Services), ada 22 elemen dinilai, termasuklah balak, perlindungan tanah, nilai estetika, nilai warisan, bagi setiap elemen itu boleh ditukar menjadi ringgit dan sen.

"(Bagi PES ini), terdapat formula yang standard digunapakai di peringkat antarabangsa. 

Hasil kajian, satu hektar Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh didapati hampir RM30 juta,” katanya.

Mengambil hasil kajian tersebut, ulas beliau, secara kasar nilai 5,200 hektar hutan simpan kekal di negeri ini dianggarkan bernilai RM154 bilion. Bayangkan!


Faedah Pulihara Hutan

Menurut Rusli, sebenarnya banyak lagi tujuan dan faedah Kerajaan mewartakan satu-satu kawasan sebagai hutan simpanan kekal.

Pertama, jelasnya, untuk tujuan alam sekitar kerana hutan simpanan kekal bak ‘jantung’ Pulau Pinang kerana paling banyak membekalkan oksigen kepada semua habitat lain, termasuk lebih 1.6 juta rakyat Malaysia di sini.

Bayangkan jika tiada lagi hutan simpan di Juru, Bukit Mertajam, Bukit Panchor dan Bukit Bendera, boleh mengubah iklim mikro menjadi lebih panas; kalau hujan, risiko tanah runtuh lebih tinggi, kawasan tadahan air juga akan terjejas.

Kedua, dengan adanya pemeliharaan seperti Taman (Rimba) Teluk Bahang, membolehkan rakyat di negeri ini menjalankan aktiviti sosial seperti rekreasi dan berkelah.

Selain itu, hutan simpanan kekal adalah bank genetik terhadap kepelbagaian biologi yang sangat bermanfaat kepada manusia.

Apabila hutan simpanan kekal negeri terpelihara, iklim lebih nyaman, tentu menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Bukit Bendera, Ta,am Rimba Bukit Mertajam dan Taman Negeri Bukit Panchor.

Contoh, Taman Rimba Bukit Mertajam (dekat Cherok To' Kun) menerima kira-kira 720,000 pengunjung setahun, bayangkan!

Maka, sektor pelancongan, perhotelan, restoran (serta) aktiviti jalanan makanan sekaligus turut akan berkembang, dan semua ini adalah nilai sisi tak ketara (intangible), ataupun contoh kesan berganda (multiplier effect) dari segi ekonomi, apabila Kerajaan Negeri tidak sentuh walau seinci pun hutan simpanan kekal di Pulau Pinang sejak 2008,” ujarnya sambil memberitahu bahawa pasukannya adalah terdiri oleh 64 kakitangan Kerajaan.

Melihat pada tiga faedah utama tersebut, kata Rusli, saban tahun, Jabatan Perhutanan Negeri menerima RM5 juta peruntukan, sebahagiannya dimanfaatkan untuk kerja-kerja memelihara dan memulihara hutan simpan kekal.


Pelihara & Pulihara

Sejak tahun 2008, lebih 271,000 batang pokok renek dan pokok teduh ditanam di seluruh negeri ini, demi ke arah merealisasikan impian Kerajaan Negeri iaitu ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’.

Sepanjang tempoh itu, Rusli menjelaskan, jabatannya menyumbang lebih 15,000 anak pokok teduh jenis Tecoma atau ‘Sakura Malaysia’ kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan yang lain untuk tujuan landskap perbandaran.

Dengan kerjasama agensi kerajaan lain, NGO (badan bukan kerajaan) dan komuniti setempat seperti di Balik Pulau, Kampung Permatang Damar Laut, kita anjur program tanam pokok jenis hutan seperti Merawan, Karas, Meranti, Medang Teja, Jelutong dan Palma...dan pokok Bakau Minyak, Bakau Kurap dan Api-Api.

Kita ada projek tanam pokok bakau dengan NGO PIFWA (Penang Inshore Fishermen Welfare Association) di Sungai Acheh sejak 2005 lagi, bagi meningkatkan kesedaran selepas tragedi tsunami.

Program tanam pokok di sekolah, contohnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdullah Fahim kian hijau kerana projek tanam pokok sejak 1996 lagi,” jelasnya sambil menzahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan seorang guru sekolah berkenaan  berhubung pokok yang subur dan bermanfaat kepada warga sekolah.


Isu ‘Bukit Botak’

Pun begitu, Rusli mengakui bahawa Jabatan Perhutanan Negeri sendiri turut mendepani pelbagai cabaran.

Antaranya, beberapa tahun lalu, isu ‘Bukit Botak’ menggamit perhatian banyak pihak, sehingga digeneralisasi konon-kononnya hutan simpanan kekal di Pulau Pinang turut ‘disentuh’ seperti negeri-negeri lain.

Rusli sekali lagi menegaskan, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang hutan simpannya masih tidak ‘disentuh’ dalam tempoh 10 tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, jabatannya turut menerima pelbagai aduan, tetapi pasca proses semakan menyaksikan tidak ada satu pun kes ‘bukit botak’ terbabit termasuk dalam kawasan hutan simpanan kekal yang diwartakan.

Semua kawasan yang dirujuk pada isu ‘bukit botak’ merupakan dalam kawasan tanah hak milik (persendirian) dan tanah Kerajaan yang sedang dibangunkan.

Itu, di bawah bidang kuasa PBT (pihak berkuasa tempatan) dan juga PTG (Pejabat Tanah & Galian) dan juga Pentadbir Tanah, yang tidak melibatkan 16 hutan simpanan kekal yang diwartakan di negeri ini.

Selama tempoh 10 tahun ini, memang tidak ada pencerobohan atau sebarang aktiviti pembangunan di hutan simpan kekal, kecuali untuk tujuan rekreasi,” katanya. 


Pelan Futuristik

Menurut Rusli, pada masa hadapan, Kerajaan Negeri adalah komited untuk mempergiat aktiviti pemuliharaan hutan tropika yang berusia ratus juta tahun, agar diurus secara lestari.

Oleh itu, tambah beliau, pihak jabatan akan mempergiat penganjuran pelbagai program pemeliharaan dan pemuliharaan seperti Program Pemeliharaan Spesies-Spesies Tumbuhan Khusus serta Hampir Pupus, Terancam dan Jarang Ditemui (ERT).

Nyireh Pasir adalah contoh tumbuhan hutan yang di bawah maksud ERT ini, dan satu lagi adalah Merawan Unggu, di tempat lain tidak ada tumbuhan ini melainkan di Pulau Pinang sahaja,” ujarnya.

Pada masa depan, Rusli tidak menolak kemungkinan bahawa industri yang menjana gas nadir akan diminta membayar pampasan kepada negara-negara dikenal pasti mempunyai hutan simpanan kekal, kerana membekalkan oksigen kepada penduduk dunia.

Di peringkat dunia, UNDP memang sedang mengkaji polisi yang dipanggil REDD+ iaitu Reducing emissions from deforestation and forest degradation and the role of conservation, sustainable management of forests and enhancement of forest carbon stocks in developing countries...berkaitan perdagangan karbon,” jelasnya.

Justeru, penduduk negeri Pulau Pinang diharap mempunyai tahap kesedaran mengenali kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar yang tinggi di negara ini.

"Penglibatan rakyat dalam memelihara dan memulihara amat penting bagi memastikan sumber hutan tropika di negeri ini, daripada aspek alam sekitar dan sosio-ekonomi, akan terus dinikmati oleh generasi akan datang," jelasnya.

END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus