10 April 2017

Kaji selidik PYDC untuk sediakan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negeri, kata Guan Eng



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG - 56 pasukan menyertai tahun ketiga Kejohanan Bola Keranjang Piala PYDC 2017 Peringkat Seberang Perai, dengan penyertaan terbanyak berbanding dua tahun lepas.

Ketika berucap, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) akan menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang dengan menjalankan kajian serta soal selidik membabitkan golongan belia.

"Kami berharap dapat menemui cabaran dan permintaan golongan belia, supaya dapat memahami pemikiran dan cabaran mereka daripada aspek pendidikan, sosial ekonomi, kehidupan, pembangunan diri, tahap penglibatan masyarakat dan agama," jelas Guan Eng di Gelanggang Bola Keranjang Kota Permai di sini, tengah hari tadi.

Sebelum itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng memberitahu sejak tiga tahun lepas Kerajaan Negeri melabur dalam program kejohanan seumpama ini demi mewujudkan gaya hidup yang lebih sihat membabitkan golongan belia.

"Bukan semua pelaburan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri akan memberikan kesan berganda (multiplier effect) dalam bentuk keuntungan, kerana perbelanjaan sekolah umpamanya menjadikan anak-anak kita bijak.

"Begitu juga dengan acara tahunan seumpama ini, kesan bergandanya dilihat daripada segi sosial, seperti mewujudkan kondisi gaya hidup yang lebih sihat di kalangan belia," jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, 9 April.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang pula memberitahu kejohanan kali ini meliputi tiga kategori, iaitu kumpulan lelaki berumur 15 tahun hingga 20 tahun; kumpulan lelaki berumur 21 tahun hingga 30 tahun; kumpulan wanita berumur 15 tahun hingga 30 tahun.

"Ada tujuh kumpulan wanita menyertai pertandingan kali ini," jelas Kok Leang.

Dalam acara berasingan di bahagian Pulau, Guan Eng berharap sukan bola keranjang dapat membentuk semangat cintakan negeri, seperti yang dilaungkan, 'Saya ❤ Pulau Pinang'.

Guan Eng berkata demikian pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang Piala PYDC Peringkat Kawasan Pulau 2017 dekat Taman Kejiranan Karpal Singh, Lorong Delima 11 di sini baru-baru ini.

Turut sama, Chong Eng; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer.

Kok Liang, Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Datuk Ooi Khoon Yeong dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Island Glades, Ooi Poey Lam hadir sama memeriahkan kejohanan.

Kejohanan yang dianjurkan buat tahun ketiga tersebut mendapat penyertaan lebih 700 peserta atau 56 pasukan dengan tujuh pasukan daripadanya adalah wanita dalam lingkungan 15 tahun hingga 30 tahun mengikut kategori.