11 April 2017

"Jika mahu balas dendam, isu Shabudin dikaitkan jual tanah PERDA di bawah harga pasaran sudah lama ke DUN..."



Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hari ini berkata beliau tidak mempunyai niat membalas dendam ketika mengkritik pendapat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat pada 5 April lepas berhubung isu mangsa rogol dibenarkan mengawini perogol demi mengubati masalah sosial.

Demikian respons Guan Eng pada kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin yang mahu Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid mengemukakan usul pemecatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadualkan pada 19 Mei depan.

“Ia (hasrat pembangkang mengemukakan usul pemecatan Ketua Menteri) menunjukkan bahawa Umno tidak ada 'rasa' kepentingan rakyat dalam hati mereka, sedangkan kita (Kerajaan Negeri) buat usul tersebut kerana rakyat marah dengan kenyataan Shabudin.

"Sekiranya ingin membalas dendam, Kerajaan Negeri mempunyai banyak usul terhadap Shabudin dan salah satunya berhubung skandal penjualan tanah Perda di bawah harga pasaran di Seberang Perai Selatan (SPS) dengan kerugian RM15.2 juta," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada sidang media di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Guan Eng mendedahkan tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang dijual oleh pihak Shabudin kepada syarikat pemaju SYT Prestige Sdn. Bhd. itu sepatutnya dibina rumah kos rendah untuk rakyat

Namun, dedah Guan Eng lagi, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menerima permohonan untuk membina 27 unit kedai pejabat; dan permohonan tersebut ditolak pada 19 April 2016 kerana tidak memenuhi syarat.

Pada 10 April lalu, Zainal Abidin dalam kenyataan media antara lain menuduh Guan Eng membalas dendam apabila Shabudin sebelum ini mengaitkan Ketua Menteri itu terlibat dalam menjual sebidang tanah awam milik negeri kepada pihak swasta dengan harga di bawah pasaran yang sebenar.

Dalam reaksi balas, Guan Eng memberitahu terpulang kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menerima atau tidak usul pihak pembangkang.

"Di Pulau Pinang, kita amalkan demokrasi dan akan membenarkan sebarang usul. 

"Akhirnya terpulang kepada Speaker lah, namun Kerajaan Negeri sangat ambil perhatian untuk tidak menolak (usul pembangkang) ini," respons Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan kepada pemberita pada hari sama.