20 August 2014

Bancian sebelum larang buruh asing jadi tukang masak – YDP MPSP

(Dari kiri) Rizal Huzairi Md. Zaki, Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Sharif, Tan Cheong Eng dan dua Ahli Majlis MPSP lain saling berkongsi pendapat mengenai syor terbaru Ketua Menteri, selepas sidang media di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kerajaan Negeri mempertimbang syor menguatkuasa larangan mengupah buruh asing sebagai tukang masak utama premis perniagaan makanan, demi memelihara mutu serta keaslian makanan warisan di negeri ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, pihaknya bersama-sama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan melaksanakan kaji selidik dan bancian berwajib, sebagaimana disyor oleh Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

"Isu pengendalian premis makanan membabitkan warga asing ini memberi impak negatif kepada majlis (MPSP dan MPPP), khususnya dan Kerajaan Negeri.

"Isu ini juga boleh menimbulkan persepsi negatif rakyat, terutama tanggapan rakyat kononnya penyalahgunaan kuasa di peringkat majlis, kerana kita (pihak berkuasa tempatan, PBT) hanya diberikan lesen kepada orang tempatan sahaja (warganegara)," jelas Maimunah kepada wartawan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSP di sini.

Setiausah Majlis MPSP Sr. Rozali Mohamud serta tiga ketua whip Ahli Majlis lain, Tan Cheong Eng, Rizal Huzairi Md. Zaki dan Ahmad Kaswan Kassim turut menyertai sidang media di Kompleks Ibupejabat MPSP, Bandar Perda di sini. 

Tambah Maimunah, MPSP dan MPPP akan menggunakan kaedah serta borang kaji selidik secara seragam, selepas satu mesyuarat penyelarasan dilakukan pada 14 Julai lepas.

Terdahulu, Guan Eng dalam satu kenyataan media meminta MPSP dan MPPP menjalankan satu bancian dan kaji selidik berhubung perkara berbangkit tersebut.

Syor Guan Eng itu sebagai reaksi pada satu laporan penguatkuasaan MPPP yang menyebut, lebih 119 buruh asing diambil bekerja sebagai tukang masak utama di 68 pusat penjaja makanan di negeri ini.

Laporan itu turut menyebut, kebanyakan dari 68 gerai makan yang dikenalikan oleh tukang masak buruh asing terbabit adalah di sekitar Bayan Baru, Relau, Jelutong dan Tanjong Tokong.

Justeru, Guan Eng meminta MPPP dan MPSP membuat kaji selidik dan bancian berwajib sebelum mempertimbang pelaksanaan dasar melarang buruh asing diupah menjadi tukang masak utama bagi gerai-gerai jaja dan kompleks makanan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment