23 July 2014

Nilai sendiri 'fitnah' bekas Ketua Hakim Negara, kata Guan Eng

(Dari Kiri) A. Thanasekharan, Lim Hock Seng, Mohd. Rashid Hasnon, Lim Guan Eng, Nazir Ariff, Mokhtar Mohd. Jait dan M. Murly pada majlis di sini, semalam.

(Dari Kiri) USTAZ Sobri Arshad, Abdul Rahman Kassim, Ustaz Rosidi Hussain, Uskop Sebastian Francis dan seorang tetamu lain pada majlis berbuka puasa dan ramah mesra komuniti Parlimen Bagan, yang dianjurkan oleh Pejabat Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Dakwaan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamed kononnya Islam kian terancam di bawah Kerajaan Negeri kini, lebih elok dinilai sendiri oleh rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng memberi respons secara tidak langsung itu dalam Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama komuniti Parlimen Bagan,  pada malam tadi.

"Fitnah pihak tertentu pula baru-baru ini bahawa keadaan agama Islam di Pulau Pinang lagi sudah terancam bermasalah (berbanding) sebelum tahun 2008 (iaitu, semasa era Barisan Nasional memerintah Kerajaan Negeri).

"Saya berasa tuan puan pun tahu, boleh lihat dan nilai dengan mata sendiri dan hati sendiri, sama ada itu (kenyataan Abdul Hamid) itu benar atau tidak," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di perkarangan Masjid Jamek Kubang Buaya Kampung Gajah di sini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Abdul Haron (Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Kubang Budaya) turut berucap pada majlis itu, manakala, Ustaz Sobri Md. Arshad (Mudir Maahad Ad-Da'wah Islamiyyah) menyampaikan tazkirah Ramadan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan, Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Datuk Seri Nazir Ariff (Pengasas Bersama dan Pengerusi Aspen Aspen), Datuk M. Murly (Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Aspen dan Aspen), Ustaz Rosidi Hussain (Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP), Sebastian Francis (Uskop Katolik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia), dan Abdul Rahman Kassim (aktivis dakwah tempatan).

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun 2012 sanggup menganugerahkan 3.49 ekar tanah bernilai RM80 juta dekat Jalan Scotland, apabila Kerajaan Pusat mengumumkan RM36.5 juta peruntukkan untuk membina Kompleks Mahkamah Shariah Pulau Pinang baru, yang sepatutnya siap kini.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, peruntukkan Kerajaan Negeri hari ini untuk hal ehwal Islam adalah jauh lebih banyak, berbanding era Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang pada tahun 2008 dahulu.

Difahamkan, sumber rasmi Kerajaan Negeri dipetik bahawa peruntukan hal ehwal agama Islam semasa bagi tahun 2008 berjumlah RM25.49 juta, diikuti, RM35.78 juta (2009), RM37.85 juta (2010), RM63.21 juta (2011), RM64.03 juta (2012), RM54.55 juta (2013), dan terbaru RM51.17 juta (2014).

"Saya pun berdoa bahaya kebenaran dapat terus ditegakkan, dan pada masa yang sama harmoni, perpaduan dan keadilan untuk semua pihak," katanya Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Terdahulu, Abdul Hamid dilaporkan mendakwa kondiri Islam yang kononnya terancam di Pulau Pinang perlu dibendung supaya tidak merebak ke negeri-negeri lain.

Dakwaan itu, menurut Abdul Hamid lagi berdasarkan makluman mantan Mufti Pulau Pinang kononnya susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.

KERATAN akhbar Buletin Mutiara Bil. Dis. 2/2012

No comments:

Post a Comment