23 July 2014

KN beri peruntukan agama Islam ikut keperluan, jelas Abdul Malik

ABDUL Malik Abul Kassim dalam sidang media di Komtar, George Town, pada tengah hari tadi. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menjelaskan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga kini meluluskan peruntukan agama Islam berdasarkan keperluan umat.


Malah, kata Abdul Malik lagi, pihaknya turut meluluskan beberapa peruntukan tambahan yang dimohon oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang sendiri, sebelum ini.

Peruntukan yang dimaksudkan adalah program Cerapan Gerhana 'Matahari Cincin' pada tahun 2009 di Shenzhen, China dan di Holhule, Maldives pada bulan Januari 2010 yang masing-masing menelan belanja RM12,000 dan RM35,000.

Satu lagi peruntukan adalah program Cerapan Matahari Penuh di Caine, Australia pada bulan November 2012 yang menelan belanja RM49,000.

"Saya amat terkejut dan kesal apabila membaca kenyataan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed yang menggambarkan Islam terancam di Pulau Pinang, kononnya kerana pemimpin bukan Islampun menuntut hak yang sama.

"Bagaimana Pulau Pinang boleh dikatakan susah meluluskan peruntukan untuk hal ehwal Islam, sedangkan saya sendiri meluluskan beberapa peruntukan tambahan khusus yang dipohon oleh Jabatan Mufti," soal Abdul Malik kepada wartawan di sini, tengah hari tadi.

Menurut Abdul Malik, peruntukan agama Islam yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri hari ini adalah jauh lebih baik berbanding era Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang, dulu.

"Peruntukan hal ehwal agama Islam yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri dulu bagi tahun 2008 berjumlah RM25.49 juta, tetapi, sekarang kita luluskan RM35.78 juta bagi tahun 2009, RM37.85 juta bagi tahun 2010, RM63.21 juta bagi tahun 2011, RM64.03 juta bagi tahun 2012, RM54.55 juta bagi tahun 2013, dan terbaru RM51.17 juta bagi tahun 2014.

"Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak pernah diberi sumbangan sewaktu BN memerintah Pulau Pinang, tetapi Kerajaan Negeri hari ini memberi peruntukan RM1.5 juta tiap-tiap tahun sejak 2008 hingga 200 9, dan RM1.75 juta tiap-tiap tahun 2010 hingga 2014," jelas Abdul Malik, yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Itu, tidak termasuk peruntukan kepada huffaz atau para penghafal Al-Quran bernilai pada tahun 2008 berjumlah RM30,900, diikuti, RM65,000 (2009), RM90,000 (2010), RM130,000 (2011), RM175,000 (2012), dan RM202,500 (2013).

"Dulu tidak ada, tetapi Kerajaan Negeri hari ini memberi sumbangan Ihya Ramadan RM1,000 kepada lebih 200 masjid, RM5,000 kepada Masjid Negeri dan RM3,000 untuk Masjid-Masjid Daerah.

"Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 memperuntukan melebihi RM500,000 tiap-tiap tahun sebagai bonus kepada guru-guru KAFA (Kelas Agama & Fadhil Ain), SAR, Maahad Tahfiz, TADIS (Tadika Islam) dan Pondok," jelas Abdul Malik lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan,YAB Tuan Lim Guan Eng dalam satu Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra di Masjid Jamek Kubang Buaya, semalam, turut, menyifatkan dakwaan Abdul Hamid berunsur fitnah, serta "lebih dasyat daripada membunuh".

Terdahulu, Abdul Hamid dilaporkan berkata Islam yang kononnya terancam di Pinang perlu dibendung supaya tidak merebak ke negeri-negeri lain.

Dakwaan itu, menurut Abdul Hamid lagi berdasarkan makluman mantan Mufti Pulau susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.

No comments:

Post a Comment