25 July 2014

Gembira Aidilfitri di rumah baru bantuan asnaf

MATA hati Abdul Halim Abdullah senantiasa bersyukur dengan anugerah Rumah Bantu Asnaf ZPP, selepas menempuhi hidup selama hampir 20 tahun di rumah pondok berhampiran pinggir Sungai Pinang di sini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MATA Abdul Halim Abdullah, 59, yang tidak nampak walaupun terlindung dek kaca mata gelap masih tidak mampu menyembunyikan rasa sebak bercampur gembira kerana beliau sekeluarga bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini di rumah baru, hasil bantuan asnaf Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Rumah pondok seringkali ditenggelami air Sungai Pinang, paling teruk empat kali banjir dalam bulan Ramadan tahun 2008, termasuk pada malam raya Aidilfitri.

Malah, katanya, mereka sekeluarga pernah terkejut menyaksikan ular sawa besar sedang gelojoh menelan seekor kucing di dalam rumah pondok tersebut, dalam satu musim bencana pada tahun sama.

Semua itu tidak pernah mematahkan semangat Abdul Halim.

Dengan bantuan isteri, Siti Khatijah Sulaiman, 45, Abdul Halim berniaga kecil-kecilan di Tapak Jaja Ropewalk Lorong Kulit, tidak jauh dari Stadium Bandaraya, dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat.

Abdul Halim memberitahu, pendapatan bulanan keluarga tak menentu dan tak pernah melebihi RM400.

Mujur ZPP saban bulan menyumbang bantuan berupa beras, gula dan barang-barang keperluan asasi lain.

Abdul Halim berkata, duit poket dan sumbangan ZPP cukup untuk mereka bersama-sama anak, Siti Nur Fatiah, 17, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), serta pasangan kembar, Nur Ain Ariani, 3, dan Nur Ain Izati, 3 hidup secara sederhana.  

Ibu, Rahimah Bee Ahmad, 80, yang mengidapi beberapa sakit kronik yang tinggal di sebelah rumah turut memberi sokongan kepada Abdul Halim.

"Alhamdullah, sumbangan banyak pihak dan sumbangan bulanan zakat cukuplah untuk persiapan raya, tentulah seronok raya kali ini," jelas Abdul Halim selepas Majlis Penyerahan Rumah Bantuan Asnaf di sini, semalam.

Majlis rasmi itu dilangsungkan serentak dengan program penerimaan zakat perniagaan daripada Celcom Axiata bagi haul 2013 berjumlah RM360,000, diserahkan oleh Pengurus Pemasaran Wilayah Utara Farid Khan Mohd. Ali. 

ABDUL Halim Abdullah sekeluarga dengan replika sumbangan Rumah Bantuan Asnaf ZPP di depan kediaman baru mereka.

Rumah pondok Abdul Halim yang seringkali ditimpa bencana mendapat perhatian banyak pihak, termasuk Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP).

"Setiap kali saya datang, Abang Hali kata 'tak apa' dan boleh bersih selepas bencana banjir ini surut. Saya sangat kagum dengan keluarganya.

"Apabila mereka diminta pindah dari tanah rizab sungai JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ini, kita berusaha menempatkan mereka di tanah milik Kerajaan Negeri di sini juga, dengan bantuan pemimpin setempat & Datuk Mohd. Salleh sendiri," jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

(Dari kiri) AHMAD Zakiyuddin Abdul Rahman, Jagdeep Singh Deo, Mohd. Salleh Man dan Dr. Azman Abdul Somat (Pengurus Besar ZPP) di pentas utama Majlis Penyerahan Rumah Bantuan Asnaf & Majlis Penerimaaan Zakat Perniagaan Celcom Axiata di sini, semalam.

Mohd. Salleh pula dalam ucapannya memberitahu, rumah bantuan asnaf itu dibina dengan harga RM42,220, dengan anugerah tanah oleh Kerajaan Negeri.

"Sepanjang tahun 2014, ZPP telah membina 11 rumah bantuan asnaf dengan nilai agihan sebanyak RM400,622. 

"Itu, tidak termasuk kos membaiki 50 buah rumah asnaf terpilih dengan nilai agihan sebanyak RM557,282," ujar Mohd. Salleh lagi.

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Rumah Bantuan Fakir & Miskin ZPP, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa pihaknya berjaya membina 206 rumah bantuan asnaf di seluruh negeri ini, sejak tahun 2008.

NASER Ismail.
Pemimpin komuniti setempat, Naser Ismail, 53, yang dari mula menguruskan permohonan Abdul Halim semasa ditemui kemudian berkata, beberapa bulan sahaja proses permohonan rumah bantuan asnaf tersebut dibuat untuk diluluskan ZPP.

"Sebenarnya tak susah untuk memohon dan mencepatkan proses dapat rumah bantuan asnaf ini, dengan syarat mendapat kebenaran tuan tanah atau calon penerima itu sendiri.

"Permohonan Abdul Halim ini lebih cepat kerana tanah ini Kerajaan Negeri, Tuan Jagdeep dan Datuk Salleh sendiri mahu projek ini cepat siap," ujar Naser.

1 comment: