20 February 2014

Sumber air sungai cukup hadapi kemarau – Exco Pertanian

(Dari kiri, depan) AFIF Bahardin, Abd. Aziz Jamaluddin dan Johari A. Bakar serta seluruh kakitangan DVS bergambar kenang-kenangan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sumber air dari sungai di negeri ini masih cukup untuk rakyat serta tektor pertanian sungguhpun berdepan musim kemarau berpanjangan, dijangka hingga bulan Jun ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin bagaimanapun berkata, sektor penanaman padi sedikit terjejas disebabkan musim kemarau lebih dua bulan belakangan ini. 

“Ada sedikit terjejas pada sektor padi disebabkan sistem pengairan kita, tetapi, sungai-sungai kita mampu membekalkan air yang cukup untuk rakyat dan sektor pertanian.

“Sebenarnya negeri ini sendiri lebih bergantung pada sumber air sungai, berbanding hujan,” jelas beliau pada satu sidang media di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Veterinar Negeri (DVS) Malaysia, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin dan Dr. Johari A. Bakar (Pengarah DVS Pulau Pinang) turut menyertai sidang media itu.

Dalam perkembangan sama, Dr. Afif berkata, pihaknya sedang meneliti prospek sektor sarang burung walit untuk dikembangkan, walaupun Kerajaan Negeri sebelum ini pernah memindahkan banyak rumah habitat tersebut di sekitar George Town demi memenuhi spesifikasi bandar tapak warisan dunia UNESCO.

Hasrat terbaru Kerajaan Negeri ini, katanya, sebagai reaksi pada ketetapan China mulai tahun ini menarik balik sekatan sarang burung walit yang diproses dari Malaysia sejak tahun 2011, setelah yakin dengan pematuhan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara itu.

Difahamkan, terdapat hanya satu loji memproses sarang burung walit di Pulau Pinang, walaupun kira-kira 200 rumah habitat itu dikesan beroperasi di negeri ini.

"Setakat ini, (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir) YB Chow (Kon Yeow) telah melakukan yang terbaik untuk memindah semua rumah burung walit dengan memelihara habitat tersebut,” jelas Dr. Afif menjawab soalan wartawan.

Sebelum itu, Dr. Afif menyampaikan sumbangan bantuan dana DVS kepada penternak dan pengusaha Industri Asas Ternakan (IATn) yang layak, serentak dengan majlis persaraan Dr. Abd. Aziz. 

Daripada keseluruhan RM2.79 juta peruntukan DVS bagi tahun 2013, Dr. Afif berkata, sebanyak RM830,000 diagihkan kepada peserta IATn yang layak.

Itu, tidak termasuk keseluruhan RM2.708 juta peruntukan DVS bagi tahun ini, dengan RM1.2 juta diagihkan kepada peserta IATn yang layak.

Tambah Dr. Afif lagi, DVS negeri pada tahun ini turut memperuntukan RM657,000 untuk pelaksaan projek projek pengawalan pencemaran veterinar, manakala, RM543,000 lain diperuntukan untuk pelaksanaan projek kesihatan dan kebajikan haiwan.

Nilai Hasil Ternakan Tahunan (NHT) negeri sejak tahun 2013 dianggarkan kira-kira RM770 juta berbanding RM750 juta pada dua tahun berikutnya, dengan ternakan ayam dan khinzir berjaya dikekalkan pada tahap pengeluaran saradiri. 

No comments:

Post a Comment