20 February 2014

Ketua Penduduk Kg. Pmtg. Tok Subuh nafi panggil pertemuan luar biasa esok

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM - Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Penduduk Permatang Tok Subuh, Hamidah Che Embi memanggil semua ahlinya mengadakan pertemuan tertutup pada Jumaat, 21 Februari, jam 8.00 malam di desa berkenaan.

"Ini bukan pertemuan luar biasa. Sekadar untuk majlis perkongsian biasa mengenai perbicaraan di mahkamah," respons Hamidah semasa ditemui di rumahnya di sini, lewat malam tadi.

Selain berkongsi pengalaman berunding dengan tuan tanah Distinct Class di kamar Hakim, katanya lagi, pertemuan esok turut akan membincangkan persiapan badan bertindak untuk perbicaraan seterusnya di Mahkamah SesyenButterworth, dijadualkan 26 Februari depan.

Jurucakap AMK Cabang Bukit Mertajam, Mohd. Ikhwan Nasser Mohamad Isa semasa dihubungi kemudian turut mengesahkan bahawa beliau sendiri turut akan hadir sebagai pemerhati, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk.

Kata Pegawai Khas Lee Khai Loon itu lagi, bosnya turut akan mengadakan interaksi dua hala dengan komuniti kampung berkenaan pada Selasa depan.

"Tarikh ini YB Khai Loon yang cadangkan, kalau boleh diatur interaksi ini bersekali dengan YB Steven Sim (Chee Keong)," jejas Mohd. Ikhwan Nasser.

Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS), Zolkifly Md. Lazim turut mengesahkan kehadiran pada forum tersebut.

Difahamkan, Hamidah turut menjemput beberapa wakil lain, iaitu daripada wakil Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai pemerhati ke forum pada malam esok.

Terdahulu, penduduk asal kampung tersebut pada 12 Februari lepas tetap menuntut opsyen 'rumah ganti rumah selesa', walaupun Distinct Class di kamar Hakim menawarkan pampasan maksimum RM35,000 untuk mereka mengosongkan kediaman masing-masing.

Hamidah berkata, pihaknya akan terus berunding dengan pemaju dan wakil Kerajaan Negeri untuk memastikan semua pihak tidak rugi di sebalik rancangan pemajuan perumahan di atas tanah kategori pertanian itu.

No comments:

Post a Comment