14 February 2014

Exco panggil pemaju beri tunjuk sebab


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN  - Kerajaan Negeri sekali lagi memanggil pemaju Centrio Aveneu untuk memberi penjelasan mengenai rungutan kira-kira 20 pembeli yang terpaksa membayar antara RM160,000 hingga RM180,000 bagi seunit rumah kos sederhana rendah di dua blok pangsapuri 31 tingkat dekat Bukit Gambir, Batu Uban.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo (gambar) berkata, rumah-rumah kos sederhana rendah itu sepatutnya dijual dengan harga RM72,500 seunit, sebagaimana digariskan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak-ansur dengan pemaju walau sebesar mana mereka ini.

“Mereka (pembeli yang layak) boleh beli dengan rela hati, tetapi, tidak boleh dipaksa oleh pemaju kerana harga rumah kos sederhana rendah itu RM72,500 sahaja.

“Saya akan panggil pemaju untuk beri tunjuk sebab, mengapa mereka tidak boleh patuh dengan polisi Kerajaan Negeri ini,” tegas Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang pada pagi tadi di sini.

Pengerusi Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan dua pegawai lain dari Jabatan Perumahan Negeri turut serta dalam sidang media tersebut.

Jagdeep berkata, isu tersebut sepatutnya tidak berbangkit lagi kerana pemaju sebelum ini telahpun bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri dalam pertemuan tertutup kedua-dua pihak pada 6 dan 12 Januari lepas.

Semalam, satu laporan media online dipetik memberitahu, pembeli-pembeli rumah terbabit merungut selepas menerima notis daripada pemuju pada 29 November tahun lepas bahawa rumah yang dibeli oleh mereka berharga antara RM160,000 hingga RM180,000.

Mereka menuntut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sendiri campur tangan mewakili mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan pemaju.

Pengubahsuaian pada rumah tersebut, tidak termasuk RM28,500 kos lot parkir antara punca pemaju menaikkan harga jualan rumah kos sederhana rendah tersebut.

No comments:

Post a Comment