14 February 2014

Bantu yatim walau bukan Islam, kata Penasihat Mutiara Infaq


NIBONG TEBAL - Michael Khor, 12, dan Fanamugesan a/l Maram bersama-sama  18 anak yatim beragama Islam lain menerima pelbagai sumbangan pada Karnival Raudhah @Masjid di Sungai Bakap, malam tadi.

Penasihat Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Mutiara Infaq Malaysia (Mutiara Infak) Zolkifly Md. Lazim berkata, ajaran sebenar Islam menuntut dibantu anak-anak yatim walaupun mereka bukan beragama Islam.

"Nak bantu bukan perlu tunggu anak yatim ini mesti Islam, sebab apabila Allah jemput ibu atau ayah mereka, ertinya semua kita ada tanggungjawab sebagai ibu ayah anak-anak ini seperti dilihat pada malam ini," ujar Zolkifly semasa merasmikan majlis ini di perkarangan Masjid Kepala Gajah di sini.

Selebriti TV9, Aqhil Hai Rawa turut hadir sebagai tetamu utama keraian tersebut.

Hadir sama, penganjur karnival DUA Event Sdn. Bhd. Khairudin Hj. Ahmad (Din Ulaq Ayaq), Izham Hashim (Presiden Mutiara Infak), Abdul Rahman Ramjan (Yang di-Pertua PAS Kawasan Nibong Tebal) dan Cikgu Mohd. Rashid Abdul Hamid (Pengerusi Persatuan Surau At-Tahalli) turut hadir pada majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zolkifly memuji penganjur kerana bekerjasama dengan pihak masjid serta kaum peniaga dalam menjayakan program karnival anak yatim.

Menurut beliau, konsep penganjuran bersama karnival tersebut mendekati maksud "allazi barakna haulahu" atau "keberkatan di sekelilingnya (masjid)" yang disebut dalam al-Quran.

Firman Allah yang dimaksudkan, "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), YANG KAMI BERKATI SEKELILINGNYA, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al Isra':9)

Bagi Zolkifly, karnival ini akan terus disambut oleh khalayak sebagaimana empat elemen keberkatan berwajib terus disemarakkan.

"Empat elemen keberkatan saya dapat lihat dalam karnival ini, iaitu keberkatan anak yatim, doa waris anak yatim yang tiada hijab di sisi Allah, kaum peniaga yang Allah amanahkan khazanah dunia untuk manfaat orang yang memerlukan, dan keberkatan karnival ini kerana dianjurkan atas keberkatan tapak masjid ini," ujar Zolkifly yang juga AJK PAS Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment