13 December 2013

Hasil negeri bertambah sebab jual tanah fitnah BN - Guan Eng


KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, RM96 juta daripada RM206 juta tambahan pendapatan Kerajaan Negeri bagi tahun 2012 adalah hasil daripada lanjutan pajakan tanah pada 99 tahun.

Penjelasan itu sekaligus menjawab fitnah pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kononnya tambahan pendapatan Kerajaan Negeri bagi tahun lepas tersebut adalah hasil daripada penjualan tanah dengan mengguna pakai prosedur perakaunan untuk mencantikkan lembaran kewangan.

"Ini adalah satu fitnah jahat kerana Datuk Pegawai Kewangan Negeri dan Jabatan Kewangan Negeri (JKN) tidak pernah terlibat dalam perakaunan kreatif yang mencantikkan akaun.

"Malah, akaun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara," ujar Guan Eng pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang d di sini baru-baru ini.

Daripada tambahan RM206 juta itu, Guan Eng berkata, RM110 juta adalah hasil penjualan tanah Bayan Mutiara, sedangkan, baki RM96 juta adalah daripada lanjutan pajakan tanah pada 99 tahun.

"RM110 juta itu adalah 10 peratus daripada bayaran RM1.1 bilion untuk 105 ekar tanah di Bayan Mutiara yang dibayar sepenuhnya dalam masa lima tahun," ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan & Warisan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam.

Sebelum itu, Guan Eng mendedahkan bukti berhubung Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dahulu direkodkan menjual tanah 36 kali ganda, tetapi hasil jualan adalah sedikit berbanding yang dilakukan oleh pentadbirannya sejak tahun 2008.

Berdasar rekod Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional menjual 980 ekar tanah di Tanjong Tokong dengan harga RM1 sekaki persegi atau RM42.7 juta; 325 ekar tanah di Jelutong Expressway (RM20 sekaki persegi atau RM325 juta); 750 ekar tanah di Batu Kawan (dijual kepada Abad Naluri) (RM3.24 sekaki persegi atau RM106 juta) dan 1,606 ekar tanah di Butterworth (dijual kepada Rayson Consortium Sdn. Bhd.) (RM8.40 sekaki persegi atau RM584.9 juta).

Manakala, Kerajaan Negeri era Pakatan Rakyat pula direkodkan menjual 1.1 ekar tanah di Jalan Zainal Abidin (dekat Taman Manggis) dengan harga RM232 sekaki persegi atau RM10.2 juta dan 105 ekar tanah di Bayan Mutiara (RM240 sekaki persegi atau RM1.1 bilion).

No comments:

Post a Comment