15 July 2013

Pusat Kanser tiada di Hospital Kerajaan, RM20 juta? : Guan Eng

AHLi Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata Pusat Rawatan Kanser langsung tiada di mana-mana hospital kerajaan di Pulau Pinang.

Justeru, beliau mempersoal status peruntukan tambahan RM20 juta untuk Hospital Balik Pulau seperti diumum oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya baru-baru ini.

"Persoalannya adalah apakah bentuk perbelanjaan tersebut.

"Adakah RM20 juta ini semata-mata untuk meningkatkan perkhidmatan A&E (Accident & Emergency) dan Forensik sahaja atau untuk menubuhkan satu Pusat Rawatan Kanser baru di Hospital Balik Pulau," tanya Guan Eng di Komtar, George Town, semalam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Pusat Rawatan Kanser sepatutnya sudah lama dibina dalam hospital kerajaan di negeri berkenaan, bukan hanya membiarkan hospital swasta untuk mengambil peranan tersebut.

Ini kerana, katanya, Pulau Pinang diiktiraf memimpin pelancongan perubatan di rantau ini berbanding negeri-negeri lain.

Dalam penggal pertama sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Guan Eng meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam supaya menjelaskan punca tiada pusat rawatan penyembuh barah di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.

Dalam soal jawab bertulis pada 8 Julai lepas, Subramaniam memberitahu, peranan pusat rawatan penyembuh barah itu diselenggara oleh dua hospital swasta, bukan hospital kerajaan.

"Hospital Pulau Pinang turut menyediakan perkhidmatan rawatan kanser (Oncology and Nuclear Medicine) dan buat masa ini memperolehi perkhidmatan radioterapi dari Hospital Mount Miriam dan juga Hospital Pantai Mutiara.

"Perolehan perkhidmatan radioterapi dari kedua-dua hospital swasta ini dibuat melalui perjanjian persefahaman perolehan perkhidmatan yang dipersetujui dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujar Subramaniam dipetik dari jawapan lisan Dewan Rakyat.

Ekoran itu, Hilmi mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM20 juta kononnya untuk Hospital Balik Pulau hatta dipersoal oleh Guan Eng.

No comments:

Post a Comment