10 April 2013

Mansor umum che'GuBard tanding Sungai Acheh, PAS?

che'GuBard
Naib Presiden PKR, Datuk Mansor Othman malam tadi mengumumkan che'GuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin bertanding di kerusi DUN Sungai Acheh.

Mansor yang juga pengerusi PKR Pulau Pinang merangkap pemangku Timbalan Ketua Menteri I itu berkata, pencaturan pendiri Solidariti Anak Muda Maaysia (SAMM) itu diharap mampu melonjak sokongan rakyat untuk menewaskan Umno di kawasan DUN itu.

"Parti berharap pemilihan beliau ini akan berjaya membawa perubahan kepada KADUN Sungai Acheh dan seterusnya memenangkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Umum," SMS pegawainya 10.30 malam tadi.

che'GuBard sebelum ini disebut-sebut bertanding di Parlimen Permatang Pauh bagi melengkapkan strategi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di mana-mana Parlimen sekitar Perak.

Anwar akhirnya dilaporkan tunduk pada desakan penyokong-penyokong tegarnya untuk sekali lagi bertanding di Permatang Pauh sehingga menggendala percaturan che'GuBard ke 'kubu kuat PKR' itu sempena pilihan raya umum ini.

Terdahulu, Harakahdaily baru-baru ini melaporkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man bahawa PAS akan bertanding di dua Parlimen (Tasek Gelugor dan Kepala Batas) serta enam DUN, termasuk Sungai Acheh.

Mampukah che'GuBard yang dicatur ke kerusi 'tradisi PAS' itu berdepan dengan kemungkinan perbezaan pendapat antara PAS dan PKR jika status pencalonnannya itu menjadi polemik kelak?

Sumber PKR tempatan berkata, che'GuBard sudah mempunyai tapak sokongan tersendiri kerana anak muda itu atas angkatan SAMM sudah lama berkubu di situ demi mempertahankan kemenangan Parlimen Nibong Tebal, tetapi Mansor diumum sebagai calon bagi parlimen itu.

Parlimen Nibong Tebal terdiri oleh Jawi, Sungai Bakap dan Sungai Acheh. PKR menawan Nibong Tebal sebelum penyandangnya Tan Tee Beng mengisytihar keluar parti serta menjadi BEBAS beberapa tahun lepas.

Maktar Shapee dari PKR turut menawan Sungai Bakap. Jawi diwakili DAP, manakala, Sungai Acheh kekal dikuasai Umno BN semasa pilihan raya umum lepas.

Dalam perkembangan lain, PAS Kawasan sebelum ini disebut menuntut Ahli Jawatankuasa PAS Malaysia, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa supaya bertanding di DUN Sungai Acheh.

Difahamkan, DUN Sungai Acheh berada dalam Parlimen Nibong Tebal, iaitu bersebelahan dengan Parlimen Parit Buntar yang disandang oleh Mujahid dalam pilihan raya umum lepas.

Mereka berpendapat, Mujahid masih relevan di Sungai Acheh atas alasan anak kelahiran Pulau Pinang itu yang berwibawa di sini akar umbi PAS serta warga setempat di parlimen itu.

Semasa rundingan berlangsung, PKR negeri turut didedah meletakkan syarat bahawa pihaknya bersedia untuk menyerah kembali kerusi DUN Sungai Acheh dengan syarat Mujahid 'dibawa pulang' bertanding di kerusi mampu menang tersebut.

Cadangan serta syarat itu kemudiannya dipanjangkan ke peringkat PAS Pusat, namun menerma reaksi dingin daripada PAS negeri di bawah Mohd Salleh.

Informasi terbaru yang diteroka 8.00 pagi tadi memberitahu, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Md. Piah turut cuba dicatur bertanding di DUN Sungai Acheh melalui pengaruh Afnan Hamimi Taib Azamudeen (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, DPPNPP).

"Hangpa tau tak Afnan Hamimi cadang Yusni Mat Piah jadi calon kat Sungai Acheh. Ramai orang PAS tempatan kecewa. Asal, Zambri calon, alih-alih anak Mat Piah naik nama.

"Tak dak dah ka tempat lain yang mau dia ni. Esok, PAS mungkin umum calon di Sungai Acheh," SMS seorang AJK Pemuda PAS Kawasan berkenaan.

Pilihan raya umum lepas, calon PKR Dr Azhar Ahmad tewas dengan penyandang, Datuk Mahmud Zakaria dengan majoriti 250 undi sahaja.

Sungai Acheh pernah dianggap sebagai 'kerusi PAS' kerana calon parti itu,

Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 menyaksikan calon PKR, Dr Ismail Salleh pernah bertanding serta tewas di tangan calon Umno BN, Mohd Foad Mat Isa dalam PRU11 dengan majoriti undi 3,193.

Mampukah che'GuBard menjadi kekuatan terbaru untuk merampas kerusi DUN Sungai Acheh?

Cakap-cakap politik dalam Kerajaan Negeri sementara sekarang meletak harapan bahawa che'GuBard mampu menjadi 'suara vokal Melayu Pakatan Rakyat' dalam sidang DUN Pulau Pinang kelak jika menang dalam pilihan raya ini. -END

No comments:

Post a Comment