PERUNTUKAN RM20 juta untuk mencukupkan pendapatan isu rumah bulanan rakyat Pulau Pinang kepada RM770 itu adalah "satu dividen anti-rasuah", kata YAB Tuan Lim Guan Eng.
Berucap sempena Majlis Perasmian Agenda Ekonomi Saksama (AES) peringkt Daerah Timur Laut, Ketua Menteri itu berkata, peruntukan RM20 juta boleh diberi kerana Kerajaan Negeri berjaya memperoleh lebihan bajet tiap-tiap tahun.
"Kemampuan menjalankan program AES dengan peruntukan RM20 juta hanya dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai lebihan bajet setiap tahun hasil daripada pentadbiran bersih bercorak CAT, iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus.
"Itulah faedah yang dapat dikongsi bersama rakyat hasil daripada pentadbiran kerajaan bersih (iaitu) 'satu dividen anti-rasuah'," ujar beliau Ahad lepas di Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town.
Difahamkan, lebihan kewangan atau suplas bagi tahun 2008 sebanyak RM88 juta, 2009 (RM77 juta), 2010 (RM33 juta).
Surplas bagi tahun 2011 pula meningkat sebanyak 312 peratus atau RM105 juta menjadi RM138.34 juta
Selain itu, peningkatan hasil Kerajaan Negeri berjumlah RM603 juta bagi tahun 2011, berbanding tahun 2010 yang berjumlah RM411 juta.
Ini memberi gambaran margin peningkatan hasil Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM192 juta atau 47 peratus dari jumlah hasil tahun 2010.
Ekoran itu, Guan Eng berkata, seramai 2,814 individu didaftar menerima bantuan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.
Dari jumlah itu, katanya, seramai 66 orang akan menerima bantuan berjumlah antara RM200 hingga RM770 tiap-tiap bulan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mampu melaksanakan Program Sumbangan dan Penghargaan Warga Emas, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), Anak Emas, Pelajar Emas, Penghargaan Ibu Tunggal, Bantuan One-Off Anak Pulau Pinang Masuk IPTA serta sumbangan waris warga emas meninggal dunia yang kesemuanya berjumlah kira-kira RM100 juta selama hampir lima tahun ini adalah disebabkan 'satu dividen anti-rasuah' tersebut.
"Sungguhpun bantuan ini tidak seberapa, namun, sekurang-kurangnya dapat membuka jalan dan nafas baru kepada golongan miskin," ujar beliau.
Itu, tidak termasuk rancangan Guan Eng membina 19,000 unit rumah di kelima-lima daerah secara berperingkat sejak hampir tiga tahun lepas.
"Pembinaan 19,000 rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang termasuk di kawasan pulau dengan dana terbesar yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Kerjaaan Negeri (lain) di Malaysia, iaitu sebanyak RM500 juta," ujar beliau.
Terdahulu, idea mencukupkan pendapatan isi rumah bulanan warga Pulau Pinang pada RM770 dikemuka oleh Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan Pulau Pinang Bagi Tahun 2013 pada November tahun lepas.
Idea itu sebagai reaksi pada laporan Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS) bagi tahun 2011 yang menyebut, garis kemiskinan bagi Semenanjung Malaysia adalah RM763 sebulan.
Laporan badan penyelidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menyebut, kadar kemiskinan di Pulau Pinang pada tahun 2007 dan 2009 masing-masing adalah 1.4 peratus dan 1.2 peratus.
Atas semua pertimbangan itu, Guan Eng berkata, RM20 juta yang dianggap sebagai 'satu dividen anti-rasuah' itu mampu membasmi kemiskinan tegar berdaftar, segaligus mereputasi Pulau Pinang sebagai negeri pertama mencapai taraf Miskin Sifat dan Rasuah Sifar.-END
No comments:
Post a Comment