27 August 2012

Undang-undang anti lompat parti mendekati syarak - Salleh Man

Mohd. Salleh Man memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis Hari Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Permatang Pasir
AHLi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, undang-undang anti lompat parti yang mahu digubal serta direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan satu kaedah yang mendekati sistem integriti Islam.

Mohd. Salleh yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng untuk mengemukakan proposal undang-undang itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Secara idealnya, referandum lebih mendekati politik yang sihat, tapi dalam konteks amalan demokrasi di negara sekarang ini menyaksikan apa yang dipersetujui oleh parti-parti yang memerintah akan menjadi dasar negeri atau negara, maka undang-undang (anti lompat parti) pencegahan diperlukan.

Keraian disambut meriah dengan paluan kompang.
"Seperti kudeta di Perak, lompat parti mengakibatkan sebuah kerajaan jatuh dan bawa mudarat (keburukan) kepada rakyat terbanyak, maka perlu pada sistem  sad az-zara'i  atau langkah pencegahan seperti undang-undang anti lompat parti ini.

"Lompat parti mengakibatkan dasar-dasar kebaikan yang memberi maslahah (kebaikan) pada rakyat, pada negeri (Pulau Pinang) dan pada sistem demokrasi yang sedia ada itu sendiri tidak mampu dicapai akibat tiada langkah pencegahan pada anasir rasuah, pengkhianatan serta memperjudi masa depan rakyat seperti di Perak," ujarnya dalam Masjlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di sini baru-baru ini.

Warga setempat meramahi Guan Eng 
Selain Guan Eng, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir dalam keraian yang dihadiri lebih 5,000 orang itu.

Pun begitu, Mohd. Salleh yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, referandum secara idealnya lebih mendekati sistem ijmak (kesepakatan di kalangan ummah) yang menjadi salah satu sumber hukum syarak.

"Dalam konteks sekarang, undang-undang anti lompat parti ini adalah sistem terbaik ke arah politik yang sihat. Masa sepan, mungkin referandum atau pungutan suara lebih baik ke arah politik sihat.

"Sebenarnya referandum itu sendiri bukanlah terlalu ideal kerana page-page dalam banyak-banyak isu diwujudkan dalam facebook untuk mendapatkan referandum maya daripada avatar-avatar laman sosial itu.

"Inilah pentingnya sistem. Islam mementingkan sistem sebab itu ada perihal maqasid asy-syariah, sad az-zara'i dan fiqh al-muwazanah umpamanya.

"Khalifah Saidina Ali pun ada berkata, 'kebatilan dengan perancangan mampu mengalahkan kebenaran yang tak terancang'. Jadi, Pulau Pinang memerlukan sistem terancang demi kebenaran," ujar beliau. -END

No comments:

Post a Comment