27 August 2012

Pembangkang jangan bohong rakyat di Aidilfitri - Malik Kassim

Aidilfitri era perpaduan rakyat Pulau Pinang.
KETUA Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu dinasihatkan supaya tidak menipu rakyat kononnya 5,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung, di sini, sekiranya Barisan Nasional kembali mengambil alih Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim baru-baru ini berkata, 'rasuah politik' Abdul Rahman untuk membina 5,000 rumah di atas 12 hektar tanah milik Kerajaan Persekutuan seakan tidak logik. 

Ini kerana, katanya, pembangunan tinggi tidak sesuai di kawasan tertentu dalam KADUN Batu Maung yang menjadi lokasi pendaratan dan penerbangan kapal terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. 


Rumah terbuka jadi tempat semarak kerjasama harmoni.
"Kalau nak bina 5,000, pusat perlu sekurang-kurangnya 70 hektar. Tak boleh bina pembangunan tinggi di atas 12 hektar tanah jika pusat ada sekalipun kerana kawasan itu kawasan pendaratan kapal terbang. 

"Kalau cadang nak bina 500 rumah, logik. Kalau begitulah keadaannya, maka ia macam tipu rakyat lah, macam rasuah politik lah," ujarnya semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN, di sini. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim uan Eng serta isterinya Betty Chew, Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri I), Prof. Dr. P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas) dan Sim Tze Tzin (Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak) merupakan antara kepemimpinan negeri yang hadir dalam pada majlis keraian itu. 

Lebih 5,000 hadirin pelbagai bangsa turut serta pada majlis yang diadakan berhampiran Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Ara, di sini. 

Klik gambar
Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, pembangkang Pulau Pinang seakan tidak ikhlas kerana sanggup menabur 'janji politik' demi memancing undi serta menipu rakyat di parlimen serta DUN-DUN berkenaan. 

"Kalau Umno ikhlas, mereka tak tunggu rampas balik Pulau Pinang, tapi bina 5,000 rumah itu sekarang," ujar beliau. 

Terdahulu, Sinar Harian (kanan) melaporkan, Abdul Rahim berjanji untuk membina 5,000 unit rumah di KADUN Batu Maung kononnya untuk rakyat berpendapatan rendah dalam satu majlis Aidilfitri anjuran Umno dengan dana sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Dalam laporan itu, beliau bagaimanapun tidak pula menjelaskan secara terperinci mengenai lokasi cadangan serta bentuk perumahan yang mahu didirikan.

No comments:

Post a Comment