23 March 2012

RM200 juta untuk Sg Dua hanya janji politik Umno!

PEMIMPIN Umno menabur janji politik kononnya akan membawa pembangunan bernilai RM200 juta ke Dun Sengai Dua dalam parlimen Tasek Gelugor.

Janji politik itu tentunya bukan sekadar mempertahankan status quo dua wakil rakyat Umno, iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor Tan Sri Nor Mohamed Yakcob dan Datuk Jasmin Mohamed (ADUN Sengai Dua).

Malah, janji politik itu demi merampas kembali Kerajaan Negeri Pulau yang hampir sepenggal diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Jika itu berlaku, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kini diteraju oleh Ketua Menterinya Lim Guan Eng akan berpindak tangan kepada seorang lagi ketua menteri daripada kalangan Cina Gerakan.

"Umno tak perlu dan tak ingin menuntut kerusi ketua menteri Pulau Pinang sekiranya BN diberi mandat..." kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Oktober lepas.

Ketua Menteri dan bakal ketua menteri, kedua-duanya Cina, bukan pemimpin Umno juga. Maka, tidak timbul isu rasis jika pemimpin Umno merancang untuk mencanangnya.

Dalam pada itu, sekiranya Umno jujur mahu membawa pembangunan ke Pulau Pinang, parti perkauman berkenaan tidak perlu menunggu Barisan Nasional kembali menguasai negeri jolokan 'pulau mutiara' tersebut.

RM200 juta boleh disalurkan sekarang, jika Umno Barisan Nasional ikhlas dengan rakyat Pulau Pinang.

Bahkan, jika pemimpin-pemimpin Umno pusat ikhlas mereka akan menyerahkan seluruh projek pembangunan Pulau Pinang terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Persekutuan (PPNP) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat.

Kerajaan Pusat didedah menafikan hak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menyerahkan RM231.08 juta kepada PPNP yang dikuasai oleh kroni Umno sejak Mac 2008.

Sedangkan, Kerajaan Pusat telahpun menyerahkan RM794 juta secara langsung kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Umno Barisan Nasional sejak tahun 2001 hingga 2008.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbirannya masih berjaya melaksanakan 2822 projek pembangunan bernilai RM281.08 juta sejak Mac 2008 hingga 15 November tahun lepas.

Mungkin RM200 juta yang dijanjikan itu bukan peruntukan baru, tetapi RM231.08 yang kerajaan pusat enggan menyalurkan secara langsung kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Jika sekarang, pemimpin Umno Barisan Nasional terbukti menafikan peruntukan pembangunan RM231.08 yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, adakah mereka akan menyerahkan projek pembangunan Sungai Dua berjumlah RM200 juta selepas pilihan raya nanti?

Umno mungkin akan turunkan RM200 juta itu dengan syarat melalui kroni-kroninya di Sungai Dua juga.

Setuju?

No comments:

Post a Comment