27 March 2012

"Dengan kerusi roda, 'Mawar' sedarkan wanita"

NEKAD untuk meniup kesedaran kepada golongan wanita marhaen di Pulau Pinang membuatkan Azizah Jamaluddin, 61 mengaku bahawa beliau kadang-kadang terlupa mengenai kudrat sebenar dirinya.

Ke mana sahaja program anjuran Persatuan Kebajikan Wanita  Mawar Pulau Pinang (Mawar) sejak ditubuhkan pada 25 Januari lepas, Azizah datang dengan kerusi roda.

Konsultansi, majlis sumbangan serta kelas pendidikan wanita menjadi antara agenda utama Mawar di bawah Azizah  yang juga setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Maka, tidak hairanlah jika penampilan buat pertama kali warga emas itu pada majls Jamuan Sempena Hari Wanita Sedunia di Penaga pada 9 Mac lepas telah mengagumkan banyak pihak, termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Chong Eng.

Sejak dari itu, Azizah yang mesra dengan panggilan "Kak Zah" serta Mawar yang digerakkannya itu menerima perhatian serta sokongan langsung daripada YB Chong Eng serta Penang Women's Development Corporation (PWDC) di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Apa yang ditentukan oleh Allah sebenarnya adalah terbaik  kita. Kebetulan, saya dianugerahkan seorang suami yang cukup memahami keadaan saya ini serta senantiasa memberi sokongan moral kepada saya.

"Alhamdulillah, dengan anugerah lapan cahaya mata serta kawan-kawan di sekeliling saya pun menerima saya seadanya, sampai saya berasa saya tiada 'kekurangan' berbanding orang lain.

"Saya bersyukur kerana pelancaran Mawar baru-baru ini turut disempurnakan oleh YB Chong Eng dan setakat ini PWDC komited membantu Mawar mendekati kaum wanita," ujarnya.

Menceritakan mengenai keupayaan diri, Azizah berkata kakinya lemah sehingga tidak boleh berjalan  kerana serangan  demam panas dan  mengalami sejenis  penyakit  yang  dikenali  sebagai  “POLIO “.

Tetapi, ketika berusia 5 tahun, beliau nekad untuk berjalan seperti anak-anak normal yang lain.

"Sejak kecil lagi, saya senantiasa mencabar diri. Saya pernah kata 'aku nak pakai kasut tumit tinggi' waktu berumur 5 tahun. Dari situ, saya bertatih berjalan dan boleh berjalan  tetapi  tidak  sempurna  seperti  kanak-kanak   normal yang lain.  setelah  menjalani  fasa-fasa  kehidupan  dan pertambahan usia  saya  terpaksa  menggunakan kerusi roda seperti sekarang.

"Kata orang, pengalaman adalah guru terbaik. Sejak itu, sungguhpun saya ini OKU (Orang Kelainan Upaya), itu tidak pernah menjadi alasan untuk saya patah semangat dan berhenti untuk memberi kesedaran sesama gender dengan saya," ujar sambil berkata, beliau telah lama menyimpan hasrat untuk menubuhkan sebuah NGO wanita.

Azizah berkata, sebelum beliau berkecimpung dalam pergerakan feminisme ini, beliau pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Berkat pengalaman dalam sektor profesional di institut tersebut, menjadi bekalan kepada beliau dalam menggerakkan Mawar sekarang.

"Pengalaman sedikit-sedikit di Mardi banyak membantu saya untuk mendekati golongan profesional wanita untuk bersama-sama menyertai Mawar. Sekarang, Mawar disertai oleh ahli korporat, akauntan, ahli perniagaan dan beberapa tenaga profesional lain.

"Dengan semua kekuatan profesional ini, Mawar memberi tumpuan khusus pada keluarga ibu tunggal supaya anak-anak mereka dibela dan tidak cicir  dalam pendidikan. Mawar  akan  mengadakan kelas pendidikan serta mengadakan wacana kesaksamaan gender untuk kaum wanita.

"Inisiatif Mawar ini nampaknya menerima perhatian beberapa pihak korporat. Terbaru, kita (Mawar) dipelawa membantu program CSR (tanggungjawab sosial korporat) oleh syarikat Dutch Lady. Mudah-mudahan, perbincangan ini berjaya," ujarnya.

Azizah berharap Mawar menjadi agen perubahan pendidikan wanita yang penting bagi kerajaan negeri sungguhpun NGO yang baru setahun jagung ini diakui menerima perlbagai cabaran.

"Cabaran? Di mana-mana tempat pun ada (cabaran). Mawar paling banyak menerima cabaran berupa persepsi dari sesetengah ahli politik di negeri (Pulau Pinang) ini. Saya tidak pernah menyalahkan mereka kerana budaya menggerakkan NGO untuk menyelami jiwa wanita di negeri ini mungkin sesuatu yang baru bagi mereka yang sudah sekian lama menjadi aktivis parti.

"Tetapi, dengan adanya peribadi seperti Tuan Haji Zolkifly Md Lazim (Mentor  Mawar), Haji Johari (ahli korporat), YB Chong Eng ( sebagai Penaung) dan Hajjah  Aida  Yusof Rawa  (sebagai penasihat)  beberapa tenaga profesional lain, banyak membantu dan  memberi sokongan kepada saya dalam menggerakkan NGO feminis ini," tambah beliau. -END

No comments:

Post a Comment