![]() |
| TIMBALAN Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memegang plakad tertera mesej ‘Pertahanlan Kebebasan Kehakiman’ semasa menyertai perhimpunan aman bagi mempertahan integriti dan kebebasan Institusi Kehakiman Malaysia, anjuran Majlis Peguam di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 14 Julai 2025. |
RUTIN setiap pagi sebelum masuk pejabat antaranya adalah singgah sarapan di Cafe Kak Eja & Abg Jeff dekat Komtar, Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Sambil menjamah ‘makanan berat’, di kafetaria ini lah tempat saya membaca - akhbar digital arus perdana sampai rencana akademik berkaitan ekonomi dan sosiopolitik.
Kata Editor saya waktu di The Malaysian Insider dulu, Datuk G. Manimaran, “kalau manusia memerlukan makanan untuk hidup, seorang penulis ataupun wartawan memerlukan bahan bacaan untuk terus relevan.”
Pada pagi ini, satu berita yang menarik perhatian saya iaitu Menteri Dalam Negari, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberi respons pada Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) dan dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025.
Tegasnya, perhimpunan itu dibenarkan dengan tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta.
"Tiga larangan utama perlu dipatuhi peserta perhimpunan iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak.
“Kalau mereka langgar (tiga larangan) juga, kita terpaksa ambil tindakan. Jangan pula kata polis tak hormati kebebasan. Tak kena,” katanya dipetik sumber Sinar Harian.
Respons Saifuddin itu sudah tentu mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai 2025 lepas, yang menyatakan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman denda terhadap kegagalan memberikan notis awal adalah satu bentuk larangan, bukannya sekatan yang dibenarkan mengikut Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.
Sungguhpun telah ada ‘lampu hijau bersyarat’ daripada Menteri, saya masih takut-takut untuk menyertai perhimpunan tersebut kerana bimbang digeneralisasikan sebagai berlawan arus dengan Umno yang masih berada dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Sebagai orang parti, ditaklifkan pula sebagai Setiausaha Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, takkan lah saya tiada hemah langsung dalam menyalurkan perasaan yang bersarang dalam diri ini - terutama apabila melihat banyak sangat polisi ekonomi neoliberal yang dikayuh oleh rejim kian ketara memihak kepada segelintir puak rentier capitalist swasta serta elitis politik; berbanding rakyat teramai terutama Melayu dan orang Islam.
Kata seorang kawan di meja kafeteria di sini, “sejak hang membenarkan tubuh dibalut jawatan politik, semakin tak radikal dan cool tindak-tanduk serta cara berfikir hang… membaca tulisan hang pun, aku rasa dah tak best macam dulu.”
Bukan senang kawan nak bercakap sejujur ini. Jadi, saya membuka dada seluas-luasnya untuk kawan mengata dan mengkritik saya. Kawan, ibarat cermin!
Walaupun menanah telinga, tidak pernah pun saya menganggap segala kritikan kawan berkenaan secara bersemuka sebagai asbab untuk saya memutuskan tali persaudaraan.
Saya nak orang Melayu kembali bersatu padu di bawah payung politik Umno pada PRU16 nanti walaupun masing-masing barang kali dari rumpun parti teras Melayu yang berbeza.
Kalau saya tidak menunjukkan hemah saya untuk kekal bersaudara dengan kawan yang berbeza pendapat di meja makan di sini, bagaimana mampu saya nak menghimpunkan sekalian pemimpin Pulau Pinang daripada pelbagai parti teras Melayu dalam satu mesyuarat di Ibu Pejabat Umno Negeri dekat Jalan Macalister bagi menjajarkan semula isu yang melibatkan kepentingan bersama sebelum masuk PRU16?
Tambah-tambah kawan saya itu seorang pemimpin PKR peringkat cabang yang tidak ditaklifkan dengan sebarang jawatan politik dalam Kerajaan Negeri hari ini, saya boleh empeti dengan kelantangannya dalam memberi pendapat tentang diri saya dan beberapa isu sosioekonomi rakyat.
“Hari ini aku rasa hang jelmaan Lenin,” seloroh saya memuji kelantangan kawan bercakap isu-isu sosial ekonomi rakyat di samping mengkritik pendapat saya yang dianggap kian ‘poyo’.
Sambung kawan itu lagi, “kalau Tok Saif tak bagi ‘lampu hijau bersyarat’ pun, akan aku sertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai nanti.”
“Hang tak takut-kah kalau nanti Tok Mat (Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid) ambil tindakan ke atas hang sebab berlawan arus dengan pentadbiran Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim (Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, PMx merangkap Presiden PKR),” tanya saya kepadanya.
“Kalau Nurul (Izzah Anwar) boleh turut himpunan mempertahan integriti dan kebebasan Institusi Kehakiman yang dikaitkan dengan ‘papa’-nya sendiri, takkan aku tak boleh turun menyertai Himpunan Turunkan Anwar atas sebab isu ekonomi rakyat yang aku sendiri rasa,” tanya kawan berkenaan.
Saya dengar sahaja. Tak menjawab pun pertanyaannya. Self-talk saya kata, “semakin menjadi-jadi kelantangan dia ini, apa benar sebab diasak oleh realiti kebendaan - isu ekonomi rakyat - yang kian menekan dirinya sekeluarga, ataupun sebab dianggap sebagai ‘Lenin Muda’?”
Sebelum meninggalkan Kafe Kak Eja dan Abg Jeff, bisik kawan tadi, “kita eksperimen di KL dulu pada 26 Julai nanti, kalau OK, kita goncang pula susuk seorang ahli politik Melayu yang perasan semua benda di Pulau Pinang dia tau sampai langsung tak rai pendapat orang lama lain dalam PKR.”
Sambil terkekeh gelak, kata saya, “macam hang kata : saya tak radikal dan cool sejak dibalut jawatan politik dalam Umno. Sebagai ejen parti politik Umno, elok lah saya dilihat menjadi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sahaja - tidak campur tangan apabila ada perang fraksi dalam parti kawan-kawan.”
Sekian.

Comments
Post a Comment