09 June 2019

Lula di Brazil, apa yang Malaysia boleh belajar?


GAMBAR seorang penyokong mengangkat plakad ‘Bebaskan Lula’ dalam satu demontrasi rakyat Brazil di bandar raya Curitiba pada 7 April 2019, sebagai membantah ‘tahanan tanpa bicara’ ke atas bekas Presiden tersebut.




Zainulfaqar Yaacob
Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER)

 Rencana Politik  | Politik pentadbrian Brazil adalah antara contoh kejayaan Rumah Putih Amerika Syarikat (AS) dalam mencatur politik pentadbiran di negara-negara membangun di Benua Amerika Selatan.

Berbekalkan kempen demokrasi, termasuk lah doktrin pengasingan kuasa ala tiga badan utama - kehakiman, perundangan dan eksekutif -  sistem politik pentadbiran Brazil diolah mengikut telunjuk Amerika Syarikat.

Dan, olahan geopolitik oleh AS ini seakan di luar jangkaan politik bekas Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva atau lebih dikenali sebagai Lula.

Lula berada di kerusi no. 1 negara sejak 1 Januari  2003 hingga 31 Disember 2010.

Selama tempoh itu, beliau dikenali sebagai antara pemerintah negara Amerika Latin yang agak tidak mesra dengan dasar-dasar politik luar Amerika Syarikat, serta dianggap sebagai Centre-Left.

Sebagai pemimpin yang Centre-Left, atas semangat demokrasi, beliau sendiri cuba merealisasikan doktrin pengasingan kuasa, termasuk lah ‘membebaskan’ struktur badan-badan pemerintah utama ‘secara perundangan’ daripada kekuasaan seorang presiden.

Ketua Polis Negara tidak lagi dipilih ‘secara politik’ oleh Presiden Brazil. Begitu juga seorang Ketua Hakim, Ketua Tentera, Perbendaharan dll. 


GAMBAR Lula dinaikkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Persekutuan dekad Curitiba, sebagai membantah aksi ‘tahanan politik’ yang dikenakan ke atas bekas Presiden Brazil berkenaan.. Aksi pada 7 Februari 2019, selepas surat Lula dari penjara mengajak rakyat teramai agar menghalang pemerintahan era Jair Bolsonaro agar bersekongkol dengan Amerika Syarikat melaksanakan aksi subversif ke atas negara Venezuela pula.


PERANGKAP POLITIK BUAT LULA... 

Tanpa sedar, langkah pentadbiran yang konon-konon bagus dalam memelihara kedaulatan negara, akhirnya seakan ‘dibeli’ oleh Amerika Syarikat. 

Amerika Syarikat sedar Lula bukan lah seorang pemimpin korup. Kekayaan yang dinikmatinya juga adalah biasa, sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang Presiden dalam tempoh hampir sedekad.

Pun begitu, Lula sekeluarga mempunyai kenalan rapat, seorang hartawan dengan kekayaan yang luar biasa. 

Dan, kawan yang dikenali secara peribadi sebelum menjadi Presiden lagi, juga bukan lah kroni yang menjarah projek kerajaan atas kedudukan Lula sebagai Presiden. Mereka hanya saling berkawan secara peribadi.

Pada musim panas, Lula sekeluarga seringkali menghabiskan masa cuti rehat di rumah kawannya itu yang mengadap pemandangan pantai yang indah. 

Dan, kisah hidup Lula sekeluarga yang sebenar di luar dunia politik pentadbiran ini seringkali mencuri perhatian media arus perdana (yang konon-kononnya ‘bebas’ juga).

Rumah Putih AS memanipulasi kisah ini. Badan kehakiman yang konon-konon ‘bebas’ dari gigi pemerintahan Presiden Brazil diperkuda untuk menyingkirkan Lula serta menaikkan seorang pemimpin boneka mesra AS daripada blok pembangkang.


BEKAS Presiden Brazil, Lula atau Luiz Inácio Lula da Silva menemui penyokong di kawasan setentangan dengan  Mahkamah Curitiba, Brazil, sebelum sesi perbicaraan bermula pada 11 Mei 2017.


MAHKAMAH “BEBAS” DIPERKUDA 

Pada 4 Mac 2016, Hakim Mahkamah Curitiba, Sergio Moro memberi kebenaran kepada pihak berkuasa untuk menggeledah rumah Lula yang dikaitkan dengan korupsi juga, atas sebab kawannya itu dituduh dalam satu kes rasuah.

Walaupun Lula sehinga kini gagal dibuktikan di Mahkamah atas tuduhan terlibat dalam aktiviti duit haram, namun media arus perdana yang konon-kononnya bebas tapi mesra AS terus menggambar Lula ‘menikmati limpahan kekayaan’ daripada kawan beliau yang sedang dituduh dalam satu kes rasuah di mahkamah.

Lula terus digambarkan sebagai pemimpin korupsi oleh media arus perdana mesra Amerika Syarikat, terutama selepas tertuduh didakwa di mahkamah pada 20 September 2006 berhubung kes menerima suapan daripada syarikat pemaju Odebrecht bagi projek renovasi rumah tiga tingkat.

Pada Mei 2017, Lula dibenarkan memberi kesaksian bagi perbicaraan yang digembar-gembur sebagai kes penyelewengan luar biasa - Triplex Case!

Dalam perbicaraan itu, Lula membuktikan bahawa beliau langsung tidak mempunyai apartmen mewah sebagaimana didakyah oleh media-media arus perdana yang konon-kononnya bebas. 


SERGIO Moro (kiri) dan Lula.

Bagaimanapun, Moro pada 12 Julai 2017 memuktamadkan keputusan dengan memenjarakan Lula selama tempoh sembilan tahun dan enam bulan.

Selepas berlalunya tempoh enam bulan, Mahkamah Persekutuan Curitiba ‘sekali lagi menjatuhkan hukuman’ ke atas Lula selama tempoh 23 tahun, tanpa dibenarkan membuat proses rayuan.


MAHKAMAH Persekutuan, Brazil. 

Keputusan luar biasa Mahkmaah Persekutuan Curitiba yang konon-kononnya ‘bebas’ itu ketika tinjauan atas talian menunjukkan sohorkini pengundian hampir semua saluran dalam pilihan raya bagi pemilihan Presiden Brazil seakan kian kukuh menyebelah Lula.


PERKUDA BADAN-BADAN KERAJAAN 

Selepas Tribunal Pemilihan Tertinggi Brazil (macam Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR) membatalkan pencalonan Lula sebagai calon Presiden Brazil dalam pilihan raya negara yang konon-konon ‘demokratik’.

Dari  rumah pasung penjara, Lula turut dinafikan hak untuk bercakap serta akses media-media alternatif. 


RAKYAT teramai Brazil termasuk pendokong Parti Buruh turun ke jalan raya membantah ‘tahanan tanpa bicara’ terhadap Lula, pada awal April 2019 baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, Parti Buruh (PT) yang di bawah kepemimpinan Lula juga dalam proses pilihan raya umum negara diharamkan untuk menggunakan imej atau simbol atau nama bekas Presiden Brazil berkenaan bagi menggerakkan kebangkitan rakyat teramai.

PT anggap penahanan Lula di penjara adalah tidak sah, serta langsung tidak berjaya dibuktikan bersalah berdasarkan perundangan negara yang ‘dibuat oleh tangan pentadbiran’ Lula sendiri selama tempoh menjadi Presiden Brazil sebelum ini. 

Sementara, Tribunal Pemilihan Tertinggi Brazil pula berdalih bahawa larangan-larangan yang dikuatkuasakan itu adalah sekadar melaksanakan kerangka kerja yang telah sedia ditetapkan menurut perlembagaan negara. 

Keputusan Lula ditahan di penjara dimuktamadkan oleh pihak Mahkamah Persekutuan Curitiba, dan seharusnya tidak mengganggu proses pemilihan yang sedang dilaksanakan oleh Tribunal Pemilihan Tertinggi Brazil ketika itu. 

Proses demokrasi konon-kononnya perlu dipertahankan. Begitu juga doktrin pengasingan kuasa. Semuanya harus bebas daripada sentimen politik peribadi membabitkan penahanan Lula.

Naratif umum ini dipanggil regulatory framework, di mana kuasa yang sepatutnya berkitar di tangan ahli politik pemerintah diserahkan sepenuhnya kepada entiti yang lain, konon-kononnya untuk merealisasikan doktrin pengasingan kuasa dan semangat demokrasi dalam negara Brazil.

Lula cuba membebaskan badan kehakiman termasuk soal cadangan nama bagi pelantikan hakim dan calon-calon bagi badan pentadbiran lain.

Lula membebaskan media arus perdana, tanpa sedar media-media tertentu ditaja oleh agensi asing termasuk dari Rumah Putih AS.

Begitu juga ruang kebebasan ‘longgar’ yang dijamin oleh perlembagan negara, membolehkan pemimpin serta parti pembangkang tertentu menerima tajaan asing dari badan-badan dunia mesra Rumah Putih AS.


BOLSONARO “BONEKA” AMERIKA

Selepas penyingkiran Lula, Rumah Putih menaja calon Presiden Brazil yang baru.



Pada bulan Januari 2019, ahli politik Far-Right dari blok pembangkang yang ditaja oleh AS, bernama Jair Bolsonaro diberi laluan mudah memenangi kerusi Presiden Brazil. 

Manakala, bekas Hakim Mahkamah Curitiba, Sergio Moro dilantik menjadi Menteri Keadilan oleh Bolsonaro sendiri.


JAIR Bolsonaro (kiri) saling berpeluk dengan Menterinya, Sergio Moro yang juga bekas Hakim Mahkamah, Curitiba.


JALAN CERITA SAMA, HANYA “AKTOR” BERBEZA

Membaca percaturan politik Brazil belakangan ini, seolah-olah saling tak tumpah sebagaimana yang terjadi di tanah air Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB tapi sehingga kini proses pembuktian di Mahkmaah belum dimuktamadkan.

Walhal, liabiliti hutang babit 1MDB digembar-gembur sekitar RM30 bilion sahaja, konon-konon bakal bankrapkan Malaysia.

Pentadbiran Najib cuba menjelaskan bahawa langkah perjanjian penyelesaian dengan IPIC sedang dilaksanakan.

Perjanjian penyelesaian yang dibuat termasuklah melibatkan aset 1MDB seperti projek Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM140 bilion dan RM40 bilion bagi projek TRX.

Sehingga Jun 2019 ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telahpun melaporkan hutang langsung kerajaan (abselute debt) RM789.3 bilion (berbanding RM686.8 bilion bagi tahun 2017). Pertambahan RM102.5 bilion atau kenaikan 14.9%.

Sumber Bank Pusat juga melaporkan Jaminan Kerajaan kini berjumlah RM267.3 bilion berbanding RM230 bilion pada tahun 2017. Angka kenaikan sebanyak RM37.3 bilion ataupun peningkatan 16.2%.

Jumlah keseluruhan hutang langsung kerajaan + jaminan kerajaan adalah lebih RM1 trilion (RM1,056.6 bilion), dengan pertambahan kira-kira RM139.8 bilion ataupun peningkatan sebanyak 15.2 peratus. 

Tak tahu lah kadar pertumbuhan hutang ini adalah lebih rendah atau lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) untuk mengukur tahap ekonomi negara sama ada bagus atau sebaliknya.


KONTROVERSI PELANTIKAN “KAK LAT”

Baru-baru ini riuh-rendah Malaysia apabila bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu pun, “lantikan politik” turut dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Abdul Hamid Bador sendiri pernah ditularkan mengaku setia kepada Dr Mahathir sebelum dimahsyurkan sebagai Ketua Polis Negara.

Walaupun Thommy Thomas yang dilantik sebagai Peguam Negara (AG) payah untuk dikaitkan sebagai “orang kuat” Dr Mahathir, kuasa seorang yang boleh membuka, memulakan dan menghentikan perbicaraan telahpun melepaskan Lim Guan Eng dari perbicaraan ‘kes terowong’ di mahkamah.

Tak kisah lah sama ada tindak tanduk politik Dr Mahathir itu selari atau bercanggah dengan Manifesto Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, 9 Mei 2018.

Yang jelas, Dr Mahathir sangat tahu masa ia sepatutnya mengggunakan ‘pertimbangan politik’ dalam mengurus sistem demokrasi termasuk lah mengenai doktrin pengasingan kuasa.

Sama ada beliau menimba pengalaman daripada Lula di Brazil atau ada pencerahan dari sumber lain seperti Tun Daim Zainuddin dalam pelantikan Latheefa, Abdul Hamid ataupun Thommy Thomas, beliau membuktikan bahawa dirinya memang wajib melantik mana-mana individu atas ‘pertimbangan politik’ yang sangat real dalam kerangka negara bangsa modern.

Mungkin Malaysia sangat berbeza dengan Brazil. Gandingan Dr Mahathir - Daim memang NeoLiberal, tak sama dengan Lula yang Centre-left

Jadi, takkan lah Rumah Putih AS nak ‘kerjakan’ Dr Mahathir. Kalau Najib Razak yang terang-terang mesra Republik Rakyat China, setuju laksana projek-projek bilateral di Malaysia hatta merugikan kroni-kroni kapitalis pemerintah sebelum ini, ada asas juga untuk media antarabangsa serta badan-badan dana asing mesra AS membantu bagi menyingkirkan Najib.




PUJIAN BUAT TUN, “TEMPANG” ANWAR

Walaupun begitu, Dr Mahathir memang tak boleh tersalah langkah juga dalam soal melantik mana-mana individu bagi mengisi badan-badan penting dalam negara. 

Sebab apa? Kerana, Dr Mahathir tetap ada pasaing politik lain dalam negara Malaysia, sama ada pembangkang utama iaitu UMNO BN serta PAS; ataupun fraksi lain dalam PH sendiri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Ke-8 Malaysia seakan tiada kejelasan politik seperti Dr Mahathir. 

Dalam nada sokongan, Anwar turut menuntut Dr Mahathir memberi penjelasan mengenai pelantikan Latheefa. Katanya, langkah Dr Mahathir dikritik banyak pihak, kerana bercanggah dengan Manifesto PH, semangat demokrasi tulen.

Walaupun Anwar tidak menyebut aksi Dr Mahathir itu bercanggah dengan doktrin pengasingan kuasa, tapi Presiden Parti KeADILan Rakyat itu tetap menegaskan era Malaysia baru ini perlu melaksanakan institutional reform.

Tanpa sedar, Anwar seakan seakan mengikut regulatory framework yang ditaja oleh pihak asing iaitu Amerika Syarikat, sebagaimana Lula terperangkap oleh regulatory framework yang dibuat oleh ‘tangan pentadbiran’ beliau sendiri. 

Institutional reform adalah sama pengertian politiknya dengan regulatory framework berasaskan polisi NeoLiberal, tajaan Rumah Putih AS ke atas negara-negara membangun.



DUDUK semeja, bincang.

PRU15: ABAIKAN INSTITUTIONAL REFORM AGENDA!

Kelak, selepas PRU15, tidak kira lah sesiap pun pemerintah, jangan terlalu naif atau menipu diri sendiri, konon-kononnya domokrasi, doktrin pengasingan kuasa, regulatory framework hatta institutional reform  adalah kemuncak pada aras tanda Malaysia maju atau tidak.

Kalau Najib kembali jadi Perdana Menteri Malaysia pun, dia akan mengambil sikap seperti Dr Mahathir jua, melantik individu-individu bagi mengetuai badan-badan penting negara atas pertimbangan politik. 

Najib dan Dr Mahathir pasti tak senaif kebanyakan pemimpin akan umbi PH yang terlalu fantasi dengan Manifesto PH, prinsip demokrasi, doktrin pengasingan kuasa dan sebagainya.

Secara politik, Najib akan melantik individu berkaliber seperti Tan Sri Shafee Abdullah sebagai AG, andai pentadbriannya juga ada ‘pertimbangan politik’ untuk menyelongkar balik kekayaan anak-beranak para ‘bekas’ Menteri PH termasuk Dr Mahathir sekeluarga.

Kalau Najib nak meneruskan lagi polisi-polisi real moden dan progresif yang tertangguh sejak PRU14 lalu, ‘secara politik’  juga pentadbirannya boleh buat.

Projek Rumah Awam untuk kakitangan kerajaan di Lembah Klang dijual dengan harga murah kepada anak-anak penjawat awam telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat era UMNO BN sebelum PRU14, tanpa ada pindaan akta berkaitan pun di Parlimen. 


ANGKAT POLISI FISKAL PEOGRESIF!

Memadai Kerajaan Pusat mempunyai iltizam politik, serta ada Planned Economy, sama ada melibatkan pembiayaan awam atau melalui GLC (off balances-sheet seperti Kuaters Tentera di Kampung Selamat A Sungai Buluh).


Andai pasca PRU15 nanti, sesiapa pun menjadi Kerajaan Persekutuan takkan rakyat teramai tak boleh memberi undi kepada parti yang nak melaksanakan polisi fiskal seperti di bawah:

  • 100% Rumah Mampu Sewa Selesa (luas lantai minimum 1,000 kaki persegi tapi kadar sewa maksimum RM300 sebulan walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur, George Town & Johor Bharu), 
  • Skim Jaminan Kerja (Job Guarantee Scheme), termasuk untuk kerja-kerja bersih laut & sungai serta projek hijaukan semula hutan negara, ke arah mencapai kadar guna tenaga buruh penuh (full employment)
  • RM700 insentif bulanan kepada semua warganegara berusia 60 tahun
  • Hapuskan tunggakan PTPTN & laksana sistem pendidikan percuma sehingga peringkat Universiti Awam
  • Bina lebih banyak hospital kerajaan sejajar dengan peningkatan tahap kepadatan penduduk setempat, agar rakyat lebih enjoy sekaligus menyediakan peluang pekerjaan tetap serta lebih bagus untuk lambakan graduan bidang perubatan, kejururawatan, perkhidmatan dll yang menganggur sampai terpaksa pandu Grabcar.
  • Laksana Fix Capital Formation, perbanyakkan projek pembangunan rel awam ke seluruh negara, regulasi sistem tol lebuh raya, ke arah polisi Moving People Not Car.
  • Susun semula sektor-sektor perkhidmatan. Antaranya, bina baru atau menerusi GLIC ambil alih kepentingan Crabcar, turunkan kadar potongan daripada 25% yang selama ini menjarah keringat pemandu menjadi serendah 5% agar mereka pun “enjoy”
  • Kukuhkan pelan Food Security, termasuk lah melaksanakan Industrialization Agricultural, di mana Kerajaan Persekutuan memodalkan secara besar-besaran dan langsung dalam ekonomi, agar kaum petani, nelayan, paladang, penternak dll yang selama ini menyumbang pada bekalan makanan negara cukup, lebih enjoy.

Ada banyak lagi sebenarnya boleh dibuat oleh sebuah Kerajaan Pusat yang ada kedaulatan atas mata wang Ringgit Malaysia serta ‘secara politik’ memang menguasai segala sumber serta struktur pentadbiran badan-badan Kerajaan. 


KESIMPULAN

Ini, perbincangan Teori Ekonomi Pembangunan, sesuatu yang lebih penting berbanding perbincangan Modern Monetary Theory (MMT) yang digarapkan oleh Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) di Facebook sebelum ini.

Di Brazil, rakyat terbanyak yang turun ke jalan raya telah ada berkata, bahawa mereka peduli apa mengenai berapa juta pun jumlah rasuah yang dituduh ke atas Lula, kerana mereka mengaku lebih enjoy guna sistem rel pengangkutan awam yang bagus, dapat sewa rumah pada kadar yang rendah di tengah-tengah bandar raya Curitiba.

Kita di Malaysia? Masih nak bincang demokrasi, doktrin pengasingan kuasa, skandal 1MDB, Jho Low, ‘Malaysia nak bankrap(?)’, ‘Kerajaan tak ada duit, hutang negara lebih RM1 trilion’, Manifesto PRU14 dll?

Jangan menolak realiti lah!


LULA, 73 tahun. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus