Kenapa Hong Kong tak boleh tiru kejayaan polisi rumah awam Singapura?


REKABENTUK rumah awam yang 100% dibina oleh Kerajaan Singapura melalui Housing & Development Board (HDB), bukan syarikat pemajuan spekulatif swasta sebagaimana di Hong Kong, juga Malaysia.






Zainulfaqar Yaacob
Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER)

 Wacana Polisi Awam  | SiNGAPURA dikatakan mempunyai cabaran yang hampir sama dengan keadaan yang terjadi di Hong Kong pada hari ini, iaitu:

• Sumber tanah yang terhad

• Kepadatan penduduk yang terlalu tinggi 

• Permintaan atas tanah yang berkembang pesat

Kira-kira 80% rumah awam disediakan kepada rakyat Singapura, sementara 45% rumah disediakan untuk penduduk Hong Kong.

Daripada segi kadar menunggu rumah awam pula, 2.2 tahun untuk rakyat Singapura manakala 5.5 tahun untuk rakyat Hong Kong.

Purata ruang diami untuk tiap-tiap penduduk Singapura adalah kira-kira 270 kaki persegi, sementara penduduk Hong Kong pula 170 kaki persegi sahaja - muat untuk parkir sebuah kereta standard sahaja.

Pun begitu, purata harga unit kediaman di Hong Kong sebagaimana hasil tinjauan sebuah firma hartanah baru-baru ini menunjukkan setinggi kira-kira HK$9.6 juta, berbanding HK$6.8 juta di Singapura.

Jurang permintaan yang begitu tinggi dan melebar antara kedua-dua negara itu dikatakan terjadi atas sebab permintaan atas tanah yang berbeza-beza.

Dan, Singapura dikatakan melakukan penambakan laut secara besar-besaran sebagai jalan keluar dalam menangani isu permintaan tinggi atas rumah yang diperlukan oleh rakyat terbanyak. 

Rencana pendapat oleh Tony Kwok dalam portal antarabangsa South China Morning Post baru-baru ini menjelaskan Kerajaan Singapura sejak ditubuhkan pada 1965 telah menambak kira-kira 22% dan berhasrat untuk tebus guna 8% lagi tanah laut sehingga tahun 2030 nanti.

Ini bermakna total penambakan laut di Singapura adalah menyamai kira-kira 2 1/2 bahagian pulau Hong Kong. 

Jadi, menurut pembuat dasar Hong Kong, polisi perumahan Singapura boleh menyediakan sehingga 80% rumah kerana adanya perbekalan bank tanah melalui projek penambakan laut.

REAKSI BALAS SINGAPURA

Tony Kwok, professor Universiti Hong Kong berkata negaranya telah lama melihat serta menjadikan Singapura sebagai model negara yang berjaya menyediakan cukup unit perumahan rakyat.

Pun begitu, penjelasan Tony Kwok konon-konon projek penambakan laut yang dilaksanakan oleh Kerajaan Singapura sejak era 1960-an sebagai rahsia kejayaan polisi rumah awam adalah tidak benar sama sekali.

Penambakan laut di Singapura adalah langsung tidak ada kaitan dengan polisi perumahan yang dibuat oleh Perdana Menteri Lee Kuan Yew pada ketika itu. 

Dan, polisi perumahan awam yang dibuat oleh Lee Kuan Yew terutama terutama pada era 1970-an hingga 1990-an adalah sama sekali berbeza dengan polisi perumahan Singapura pada hari ini, juga polisi perumahan di Hong Kong.


PERDANA Menteri Lee Kuan Yew melalui Jabatan Perdana Menteri (PMO) menubuhkan Housing & Development Board (HDB) sejak tahun 1960-an lagi. Pada 1964, Skim Pemilikan Rumah Rakyat diperkenalkan. Pada tahun 1968, Kerajaan dibenarkan menggunakan simpanan wang pekerja rakyat dalam Central Provident Fund (CPF) demi menggalakkan lagi keluarga memiliki rumah flat HDB yang 100% milik kerajaan. Gambar di bawah, Kuan Yew (paling kiri) meramahi anak-anak kecil ketika melawat kawasan rumah pangsa HDB pada era 1970-an dulu.

Sebelum ditubuhkan HDB, Singapore Improvement Trust (SIT), yang ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British membina 23,000 unit rumah pangsa awam sahaja dalam 32 tahun.  

Menerusi HDB, Kuan Yew sehingga tahun  pada tahun 1990 telah menyusun semula penempatan kira-kira 87 peratus penduduk bandar di flat-flat HDB (walaupun 1.6 juta penduduk Singapura pada 1950-an telah mencecah kira-kira 3 juta pada 1990-an).

Lee Hsin, calon PhD bidang polisi awam dari Sekolah Lee Kuan Yew, National Universiti of Singapore membalas analisis Tony Kwok di South China Morning Post, selepas itu.



PENDUDUK mempraktikkan senam Tai Chi di perkarangan ruang lapang perumahan HDP dekat Tanjong Pagar, Singapura.

KUASA SEBUAH KERAJAAN BERDAULAT

Menurut Lee Hsin, sebuah kerajaan yang ada daulat sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengambil alih 100% tanggungjawab untuk menyediakan rumah awam untuk rakyat di Singapura, mungkin sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh kerajaan Hong Hong yang melaksanakan dasar ekonomi NeoLiberal selama ini.

Bagi menangani krisis penempatan semula penduduk di Singapura, pentadbiran Kuan Yeow melalui HDB telah mengambil tanggungjawab secara holistik, meliputi proses perancangan, pembinaan, pelan rekabentuk, kerja-kerja pembinaan sehingga lah kerja-kerja menyelenggara rumah awam.

Proses menyeluruh sebegini mungkin tidak ada di Hong Kong, di mana sebahagian proses seperti kerja-kerja pembinaan serta menjual unit rumah diserahkan kepada syarikat pemaju swasta yang memajak tanah di negara berkenaan.

Kerajaan Singapura telahpun memansuhkan Ordinan Pengambilan Tanah 1920 dan menguatkuasa Akta Penganbilan Balik Tanah 1966. Langkah ‘land reform’ sebegini telah memberi kuasa untuk Kerajaan Singapura mengambil alih lebih 80% tanya persendirian untuk tujuan awam, komersial dan perindustrian, seperti menyediakan rumah awam untuk penduduk.

Hasilnya, pemilikan tanah negara oleh Kerajaan kira-kira 31% pada tahun 1949 meningkat 44% pada tahun 1960, diikuti 76% pada tahun 1985.

Polisi-polisi rumah awam yang berjaya di Singapura sehingga era 1990-an seakan di luar kotak pemikiran para pembuat dasar perumahan dekat negara Hong Kong. 

Di Hong Kong, bukan tidak ada perundangan yang sah untuk mengambil balik tanah persendirian untuk membina rumah awam, tapi jarang digunakan, juga dihentikan sehingga kini. Masih ada had walaupun undang-undang Hong Kong membenarkan Land Development Corporation (LDC) memainkan peranan dalam pasaran yang membabitkan pemilikan bukan kerajaan.

Land reform mesti menuntut sebuah Kerajaan lebih berkuasa atas tanah-tanah termasuk asal milik persendirian, untuk membolehkan Kerajaan sendiri melaksanakan pelan perumahan awam membabitkan rakyat terbanyak, tapi langkah pembaharuan sebegini tidak berlaku di Hong Kong.

Lee Hsin menyanggah analisis Tony Kwok yang mengatakan projek penambakan tanah laut yang menjayakan polisi rumah awam di Singapura.

Menurutnya, projek penambakan tidak pernah menjadi ciri utama dasar perumahan awam Singapura. 

Kebanyakan tanah tambah laut di Singapura direkodkan untuk kegunaan projek bukan kediaman seperti lapangan terbang, taman perindustrian, pelabuhan, pusat kewangan seumpama di Marina Bay serta kawasan rekreasi.

Hanya sebidang kecil tanah di Tenggara negara dimajukan sebagai perumahan awam.  Kebanyakan projek-projek tanah untuk kediaman pada masa akan datang juga tidak melibatkan tanah tebus guna tanah laut.

Kesimpulannya, perumahan awam di Singapura (terutama sehingga era 1990-an) boleh berjaya mengubah kualiti hidup rakyat daripada sistem sosial sedia ada ke tahap lebih bagus adalah disebabkan Kerajaan mempunyai pelan serta polisi awam yang sangat bagus.

Dan, atas sebab itu lah, Hong Kong tak mungkin mampu tiru polisi rumah awam Singapura, walaupun di negaranya kelak mungkin melakukan kerja-kerja penambakan laut, lalu diserahkan kepada syarikat pemaju swasta yang berorientasikan keuntungan semata-mata.


MALAYSIA, BAGAIMANA?

Hampir 80% tanah di Singapura dimilik oleh Kerajaan, hasilnya adalah polisi perumahan awam yang bagus untuk rakyat teramai. 

Di Hong Kong, 100% tanah adalah milik Kerajaan tapi polisi rumah untuk penduduk seakan ‘jahanam’, dan polisi ekonomi NeoLiberal yang dipegang oleh pemerintah menghalang Hong Kong untuk menimba pengalaman dari Republik Rakyat China jua.

Kalau di Malaysia kita cakap mengenai peri penting Land Reform - Kerajaan Persekutuan (melalui Kerajaan Negeri) perlu mula mengambil alih tanah-tanah persendirian daripada syarikat-syarikat pemaju spekulatif swasta, akan kedengaran lah bahawa syor sebegini mesti datang daripada mulut komrad-komrad Komunisme yang radikal.

Habis, takkan Kuan Yew jua adalah komrad Komunis? Singapura negara berideologi komunisme (macam Republik Rakyat China)? Hong Kong juga adalah negara berideologi Komunisme? Temberang!

Di Malaysia telah ada pun Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tanah persendirian untuk tujuan awam sahaja. 

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Ke-4 dahulu, akta itu dipinda untuk membolehkan tanah-tanah persendirian diambil untuk apa jua tujuan (bukan terhad pada tujuan awam sahaja) demi melorongkan projek infrastruktur awam kepada syarikat-syarikat kroni swasta mesra parti pemerintah.

Kelak, andai berlaku lagi proses peralihan kuasa di peringkat persekutuan pada PRU15, Kerajaan Pusat mesti diasak untuk melaksanakan 100% Program Perumahan Mampu Sewa Selesa di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Luas lantai rumah minimum 1,000 kaki persegi, tapi had sewa maksimum serendah RM300 sahaja termasuk lah di tengah-tengah Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor Bharu dan George Town.

Kita tak payah paksa rakyat untuk menyewa dalam rumah awam 100% milik Kerajaan Persekutuan ini, tapi biarkan mereka membuat pilihan sama ada untuk “enjoy” sewa rumah kerajaan ataupun mengikat perut untuk membeli rumah swasta dengan bayaran bulanan mencecah lebih RM1,000 sebulan.

Para pembuat dasar di Jabatan Perdana Menteri (PMO) kelak jelaskan kepada rakyat bahawa populasi penduduk Malaysia yang kian bertambah (purata pertambahan tahunan 1%) serta urbanisasi yang kian padat, sememangnya menuntut lebih banyak lagi pelaksanaan Program Perumahan Mampu Sewa Selesa.

Maka, sudah tentu projek persekutuan untuk akan mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan dengan gaji mampu hidup wajar, kepada graduan Universiti dalam pelbagai bidang profesionalisme, sekaligus menumpang pada capaian kadar guna tenaga buruh penuh (full employment).

Polisi awam sebegini akan membebaskan rakyat daripada bergantung pada mana-mana ahli politik pemerintah ataupun pembangkang. 
  • Tiada lagi pengusiran paksa dari PPRT atas dalih unit rumah tak cukup; ataupun Kerajaan tak mahu menafikan ‘hak’ pemohon lain yang layak duduk rumah PPRT atas sebab nak pertahan penghuni (juga golongan fakir) gagal membayar tunggakan sewa.
  • Tiada lagi sistem kuota ikut kaum untuk membeli rumah mampu milik (RMM) daripada syarikat pemaju spekualtif swasta, kerana isu kuota terus jadi tak releven apabila unit Rumah Mampu Sewa Selesa yang 100% dibekalkan oleh Kerajaan  Persekutuan untuk semua rakyat berbilang kaum adalah cukup. 

Polisi awam sebegini akan membuka mata tiap-tiap rakyat bahawa “rumah adalah keperluan, semacam udara yang diperlukan oleh sekalian manusia untuk hidup, tidak kira mereka orang kaya atau fakir miskin. Rumah bukan barang dagangan yang boleh secara spekulatif, yang memaksa rakyat kebanyakan pergi beli daripada syarikat pemaju swasta terlebih dahulu, kalau nak ‘enjoy’ diami kediaman selesa.”

Polisi awam sebegini juga akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi secara sihat, kerana melibatkan government spending (G) yang merupakan elemen paling besar dalam menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Polisi awam sebegini akan merosotkan pembiayaan (C) dalam rupa hutang sektor isi rumah rakyat, yang selama ini -antaranya dijana secara spekulatif melalui sewa beli rumah mahal dll. 

Polisi awam sebegini akan membuka mata rakyat teramai, bahawa Malaysia akan bergerak lebih maju andai Kerajaan mempunyai polisi awam yang lebih progresif membabitkan rakyat terbanyak.

Waktu itu, andai ada lagi video ‘intim’ membabitkan mana-mana Menteri ataupun ahli politik pembangkang, rakyat akan kata:-, 

Fuck You! Sudah lah tiada idea atau polisi fiskal yang bagus, nak kami layan gosip sampah sebegini pulak? 
“Bagi rakyat, paling penting adalah dapat sewa rumah mampu sewa selesa di tengah-tengah bandar raya George Town serendah RM300 sebulan, sebab Kerajaan Pusat ada polisi perumahan awam yang bagus dan real modern!”

Program Perumahan Mampu Sewa Selesa adalah salah satu cadangan di bawah maksud Teori Ekonomi Pembangunan - Economic of Development; sesuatu yang lebih penting berbanding wacana Modern Monetary Theory (MMT) yang diledakkan oleh Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) menerusi Facebook sebelum ini.

Ini  #ManifestoMerah 

SEBARKAN!

Comments

Disqus