Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap semua pihak dapat memberikan cadangan serta kritikan terhadap draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) dalam tempoh dua bulan mulai 18 September hingga 19 November ini.
Menurut beliau, draf RSNPP 2030 merupakan satu dokumen kajian semula terhadap RSNPP 2020 yang telahpun diwartakan sebelum ini iaitu pada bulan Jun 2017.
“Saya harap dalam tempoh dua bulan ini, kita (Kerajaan Negeri) bukan sahaja mahu bantahan, malah input juga, kerana input bukan kritikan semata-mata.
“Kalau nak kritik pun, kita akan mendengar, tapi apakah alternatif, kita (Kerajaan Negeri) nak dengar,” jelas Jagdeep dalam Majlis Pelancaran Program Publisi dan Penyertaan Awam Draf RSNPP 2030 di Auditorium A, Komtar pada 18 September 2018.
Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berucap mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Turut berucap, Pengarah PLANMalaysia & Pulau Pinang, TPr. Idris Abdul Rahman, dengan kehadiran Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari sebagai salah seorang lagi tetamu kehormat utama dalam majlis itu.
Barisan ADUN, Ketua-Ketua Jabatan serta beberapa pihak berkepentingan turut sertai majlis pelancaran draf dokumen bertulis RSNPP 2030 tersebut.
Dalam tempoh tiga bulan ini, menurut Jagdeep, pameran awam dibuat pada waktu pejabat di Komtar, Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Padang Kota dan Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Seberang Jaya.
Tambah beliau, draf itu turut boleh dicapai menerusi telefon pintar masing-masing dengan memuat turun Aplikasi DRSNPP2030 di Google Play Store.
Dalam sidang media selepas itu, Jagdeep ditanya sejauh mana draf RSNPP 2030 yang bakal diwartakan kelak akan dilaksanakan secara menyeluruh, memandangkan RSNPP 2030 sebelum ini pada tahun 2012 pernah dinilai semula selepas lima tahun, lalu dibuat beberapa pindaan, tapi tidak diwartakan untuk tujuan pelaksanaan sepenuhnya.
Dalam reaksi spontan, Jagdeep memberitahu, tujuan penganjuran majlis pelancaran pada hari ini sebenarnya adalah prosedur berdasarkan peruntukan perundangan, untuk memastikan pewartaan RSNPP 2030 kelak.
“Pada hari ini adalah menunjukkan bukti komitmen kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang), sebagaimana diperuntukan dalam undang-undang.
“Dalam peruntukan perundangan (iaitu) Akta Perancangan Bandar & Desa, 1976, ada pelbagai proses yang kita perlu lakukan, sehingga lah (draf) dokumen (RSNPP) itu dapat diwartakan.
“Apa yang berlaku pada hari ini adalah menunjukkan kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) sedang mengikut prosedur, yang akan membawa pada pewartawan dokumen (RSNPP 2030) ini,” jelasnya.
Menurut akta, jelasnya lagi, tempoh orang awam memberikan maklum balas terhadap RSNPP adalah sebulan, tetapi Kerajaan Negeri melanjutkan selama dua bulan untuk mendapatkan lebih banyak kritikan, bantahan, ulasan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan.
Difahamkan RSNPP ini adalah ‘ibu perancangan’ bagi semua dasar pembangunan serta peta guna tanah utama di peringkat negeri.
Di bawah atau berdasarkan RSNPP yang diwartakan ini, barulah diwujudkan Rancangan-rancangan Tempatan (Local Plan) seterusnya Rancangan Kawasan Khas (RKK).
No comments:
Post a Comment