16 October 2017

Man...

PENULIS di Restoran Kapitan dekat George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, sendirian berteman buku-buku lama dari Chowrasta di sini.

Oleh: Zainulfaqar Yaacob


          APABILA mendengar sahaja khabar berita Man akan ke Pulau Pinang dan mungkin bermastautin di Seberang Jaya, mahu sahaja saya berlari kembali untuk bekerja di Kuala Lumpur. Bukan kerana memusuhi Man, jauh lagi membencinya. Sememangnya Man adalah kawan baik sejak lebih sedekad yang lalu.


           Masih ingat lagi, pada tahun 2008 dalam hujung bulan Mac, seusai musim pilihan raya umum ke-12 (PRU12). Waktu itu, saya lari dari rumah, kerana tidak mahu bekerja sebagai Ustaz Sekolah. Kata seorang abang senior di Universiti Malaya, jiwa aktivis saya dengan sendirinya akan hilang apabila saya melaporkan diri sebagai guru J-QAF di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Lay Keow dekat simpang tiga pekan lama Permatang Pauh. 


            Saya berlari ke Kuala Lumpur kerana pernah menuntut di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya atau singkatannya APIUM. Kira ‘Budak Ai’ lah menurut mereka yang pernah melanjutkan pengajian di Uni Perdana ini. Dalam perkiraan saya ketika itu, ingat nak melepak di ‘rumah jamaah’ sehari dua malam sementara mencari kerja sambilan di ibu negara ini.


            Kerana panggilan tidak dijawab Amir, seorang aktivis junior Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), saya mengambil keputusan untuk terus berakar duduk di astaka Puduraya, yang ketika itu belum lagi diremajakan menjadi Pudu Sentral. 


            Sambil asyik menulis di blog Friendster, cerita pengalaman menyertai Parti Mahasiswa Negara (PMN) menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri di Parlimen Kepala Batas, saya disapa seorang lelaki muda. Orangnya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, agak setinggi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pan Malaysian Islamic Party. Dari cara pemakaian berkopiah putih dan baju kurta, seperti seorang ustaz. 


           “Nak ke mana,” tanya beliau sambil memandang atas dan bawah saya yang serba serembah-serembeh. Dalam fikirannya mungkin saya ini bak rusa masuk kampung, orang pedalaman Weng yang tidak pernah menjejak kaki ke kota. Saya pun tidak menyalahkannya kalau begitu pemikirannya. Manusia memang akan memegang kepercayaan yang diketahuinya, tidak kira lah sama ada tanggapan itu benar atau salah. Kerana, manusia seringkali bermusuh dengan kejahilannya sendiri. Itu lumrah.


           “Tunggu teksi,” ringkas jawapan saya, sambil tersengeh. Padanlah kalau nampak semacam budak hulu. 


            Lalu dimuncungkan ke seberang jalan, lelaki muda tadi menunjukkan barisan lima enam buah teksi beratur elok, menunggu penumpang di kaki lima jalan yang ramai orang lalu-lalang. 


            Saya, yang sedang duduk di meja makan astaka Puduraya tadi hanya berdiri sambil menjenguk, berpura-pura tidak tahu di sana ada kemudahan teksi ‘tanpa meter’ dan ‘kereta sapu’. 


             Apabila melihat saya duduk kembali, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Man’ itu dalam nada kehairanan bertanya lagi, “mahu ke mana?”


              Saya tersengeh sahaja, sambil mengambung layan blog Friendster peribadi. Mungkin, pertemuan itu adalah kebetulan, yang mengikat persahabatan kami. Saya berteduh di biliknya dekat Bangsar hampir dua tahun juga lamanya, tanpa membawa sesen pun. 


              Apa sahaja yang dijamahnya, saya tidak pernah menolak jika dipelawa. Kehidupan sebagai penganggur memang tidak banyak pilihan. Bak kata, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Sehingga lah pada satu malam, waktu kami berkongsi makan nasi berlauk sebiji telur yang dibelah kongsi berdua, berbutir juga Man bersuara. “Tinggal di Kuala Lumpur ini Far kena bersabar, walaupun sudah enam bukan Man tengok tiap hari Far bertungkus lumus mencari kerja.”


             Tersentap juga saya. Tidak pernah Man berbutir cakap sebegitu. Jangan-jangan Man nak berkahwin dan mungkin akan berpindah dengan calon isterinya ke kediaman yang lebih elok. Keberadaan saya, menumpang di bilik kecil dekat Bangsar itu, mungkin juga menyulitkannya untuk berpindah keluar. “Saya ingat nak pulang ke Pulau Pinang lah, mencari kerja apa yang patut, asalkan tidak bergantung hidup dan tinggal sebumbung dengan keluarga.”


             “Hidup sebagai aktivis ini kena banyak bersabar dan sanggup tanggung derita.” Man menceritakan pengalamannya dimalukan oleh bakal mak mertua, selepas tamat pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir. Katanya, memanglah menjadi penceramah bebas dan penulis buku tidak bergaji tetap, tetapi ada duit ringgit walaupun ‘rencehan’. 

             

              Keesokannya, Man memperkenalkan saya dengan seorang Editor Harakahdaily.net, lidah rasmi atas talian Pan Malaysian Islamic Party. Namanya Zubir Sulung, orang yang begitu peramah. Kata Man, bekerja dari bawah dan menimba pengalaman sebaik mungkin demi meneruskan aktivisme selepas keluar Universiti Awam. “Jadi wartawan ini pun macam aktivis juga kalau kena pada tempatnya, waktu aman semacam kilang besi, waktu perang semacam kilang senjata.”


              Saya mengangguk sahaja kerana dalam fikiran hanya memikirkan untuk bekerja sahaja. Sekurang-kurangnya tidak mahu lagi duduk percuma di bilik sewa Man dekat Bangsar itu. 


              Di Harakahdaily, saya menjadi wartawan. Gaji tidak besar, pokoknya kira-kira RM1,200 juga. Dengan membantu kerja-kerja editing buku agama Man serta terlibat menjual buku-buku sahabat itu, dapat lah menampung pada waktu sesak di hujung bulan. 


              Man macam adik-beradik. Tidak ada benda yang saya rahsiakan kepadanya. Sampai bab orang yang saya berkenan pun, akan dikongsi kepada Man. Man ajak saya ke rumah perempuan yang saya berkenan di Johor. “Kalau badan ibu budak yang hang berkenan ini kekal ramping semacam anak dara walaupun sudah beranak lima, ertinya isterinya hang nanti semacam itu lah selepas beranak,” seloroh Man, semacam sudah jadi salah satu dogma dalam hidup saya sehingga hari ini.


              Dari Harakahdaily, saya berpindah ke bilik berita The Malaysian Insider lalu ke TV Selangor. Paling mewah di TV Selangor. Paling mewah, tentulah bekerja di bawah Kerajaan Negeri Selangor ketika itu. Mungkin rezeki isteri dan anak yang bakal dilahirkan.


              Ketika musim Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam tahun 2010, saya berpeluang berkenalan dengan Tuan Haji Hashim Anuar. Orangnya begitu baik dan ramah. Tidak sangka saya bahawa Ketua Menteri Sdr. Lim Guan Eng mempunyai pegawai penerangan yang begitu Islamis seperti Haji Hashim. Haji Hashim lah yang membawa saya pulang ke Pulau Pinang, dan bekerja dengan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri.


              Dan sejak itu, saya tidak lagi tinggal sebumbung bilik dengan Man di Bangsar lagi. Selepas saya berpindah, saya dapat tahu Man juga berpindah ke Petaling Jaya bersama-sama isterinya. 


              Lama juga kami tidak berhubung, sampailah satu hari, Man melalui mesej langsung (DM) Twitter memberitahu hasratnya untuk bermusafir ke Pulau Pinang. Lagi pelik, katanya beliau seorang sahaja, tanpa isteri dan anak-anak akan bermusafir ke negeri ini. Kerana memikirkan yang Man berada dalam keadaan sulit, maka saya pun mempelawa tinggal di rumah sewa dekat Seberang Jaya. Lebih lapan bulan, sejak Allahyarhamuha isteri meninggal pada 9 Januari 2017 lalu, rumah itu memang kosong. Saya dan anak, Solehah namanya tinggal di kampung bersama keluarga dekat Bukit Tengah.


               “Sebenarnya apa telah berlaku, Man,” ringkas pertanyaan saya. Saya memang mahu membantu. Saya tidak pernah lupa layanan sahabat yang mempelawa tinggal sebumbung lebih dua tahun tanpa bayaran sewa, ketika saya tiada pekerjaan tetap dahulu. 


               “Habis semua kuliah aku kena kerat dengan Jabatan Agama selepas kena tangkap sebab tiada tauliah.” Man memberitahu, parti khususnya Menteri Besar sendiri semacam suka dengan hidup yang menekan dirinya.


                Saya ada memberitahu bahawa dua tiga hari lepas, ada saya menghubungi Pegawai Presiden. Setiausaha Agung Parti juga ada dilobi. Mana lah tahu, mungkin ada rezeki menjadi Pegawai Penerangan semacam Haji Hashim, orang yang membawa saya bekerja sebagai wartawan di Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri.


                Seperti khabar di hujung telinga, Man diumum sebagai Pegawai Penerangan baru di Pejabat Ketua Menteri. Ramai juga yang terkejut, termasuk rakan-rakan politik dalam blok ‘kartel’. Tapi, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight selepas pada itu, Man memberitahu, “fokusnya untuk menerangkan dasar-dasar Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sahaja.” Beliau langsung tidak mengheret pergolakan politik dalaman, dalam interbiu bersama-sama wartawan Cina, bernama Loo Cern.


                “Selepas hang dilantik nie, aku tengok teruk hang kena bantai, Man. Paling teruk, dibantai dan difitnah oleh kawan-kawan daripada Pan Malaysian Islamic Party,” kata saya di Pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


                 Balas Man, “Pan Malaysian Islamic Party ini memang telah anti Sdr. Lim Guan Eng dan DAP (Parti Tindakan Demokratik). Tak mustahil penyokong parti itu akan memanipulasi rakaman video membabitkan Raja. Sebab, Ustaz Zamihan baru sahaja ditahan di bawah Akta Hasutan...”


                 Pada 13 Oktober 2017, selepas khutbah dan solat Jumaat kira-kira jam 3.20 petang, Man ditangkap di perkarangan Masjid Semilang Seberang Jaya. Di Komtar, saya hanya menconteng di Facebook, “Man ditangkap sebab perbuatan khianat para pengkritiknya sahaja.”


END 


No comments:

Post a Comment