26 August 2017

Syor bina semula pasar borong Lebuh Cecil, parkir bertingkat akan dipertimbangkan - Kon Yeow

CHOW Kon Yeow dalam sidang media di perkarangan Pasar Lebih Cecil, sebelum memulakan acara jelajah Sedia Mendengar Ke KADUN Pengkalan Kota di sini pada 25 Ogos lalu.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 


PENGKALAN KOTA - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diarah meneliti serta mempertimbang syor komuniti setempat untuk membina semula Pasar Borong Ikan Lebuh Cecil bersama dengan parkir bertingkat di perkarangan Pasar MBPP Lebuh Cecil di sini.


Exco Kerajaan Tempatan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian ketika mengetuai program jelajah Sedia Mendengar ke sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Kota 25 Ogos lalu.


(Dari kiri) CHOW Kon Yeow, Lau Keng Ee dan Ng Wei Aik di perkarangan parkir Pasar Borong Ikan Lebih Cecil di sini baru-baru ini.


"Tujuan utama (jelajah Sedia Mendengar) adalah untuk melawat kawasan-kawaaan yang memerlukan perhatian daripada pihak berkuasa.


"Di sini sahaja lah tapak parkir kereta, yang sememangnya tidak cukup.


"Sama ada sesuai atau tidak membina semula pasar borong ikan dan menyediakan tempat letak kereta bertingkat di atas...kita akan kemukakan cadangan ini (parkir bertingkat) kepada MBPP," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada pemberita. 


ADUN Pengkalan Kota, Lau Keng Ee; Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, serta beberapa ketua jabatan MBPP turut sertai program jelajah itu.


LAU Keng Ee (kanan) menjelaskan mengenai rekod khidmat pelanggan kepada rakyat di KADUN Pengkalan Kota, di sini pada 25 Ogos lalu.



CHOW Kon Yeow (paling kanan) diiringi Ng Wei Aik (dua dari kanan) mendapatkan maklum balas daripada salah seorang penjaja (tiga dari kanan) di Kompleks Makanan Dan Pasar Lintang Macallum 2 di sini baru-baru ini.


Kon Yeow di Kompleka Makanan Dan Pasar Lintang Macallum 2 menerima maklum balas mengenai lot komersial milik MBPP itu dikatakan kurang mendapat sambutan pengunjung, termasuk daripada kalangan penduduk setempat.


"Ini lah gerai-gerai penjaja tanpa lesen pada ketika itu (kira-kira 15 tahun lalu), selepas itu ada satu pasar kecil untuk menempatkan semula (mereka).


"Tetapi nampaknya kurang mendapat sambutan dan ada keperluan untuk melihat sama ada boleh ditukar guna atau tidak, kita akan meneliti," jelas Kon Yeow kepada pemberita.


CHOW Kon Yeow (kanan), Lau Keng Ee (kiri) dan seorang pemimpin komuniti setempat (tengah) menunjukkan pelan tapak cadangan pembinaan bangunan bersepadu yang terdiri oleh parkir bertingkat, gelanggang bola keranjang dan tapak pasar malam di sini baru-baru ini.


Lawatan seterusnya rombongan Kon Yeow ke gelanggang bola keranjang di Gat Lebuh Macallum, yang ketika ini terpaksa dijadikan parkir kerana faktor kepadatan komuniti setempat.


Keng Ee memberitahu penduduk setempat mencadangkan Kerajaan Negeri membina parkir bertingkat dan mini kompleks gelanggang bola keranjang tertutup di atas tapak sama.


"Tapak kereta pun tak cukup, maka gelanggang ini terpaksa dijadikan sebagai tapak parkir sementara oleh penduduk.


"Encik Lim (wakil penduduk setempat) kata, kalau boleh aktiviti pasar malam turut boleh dikekalkan pada aras bawah (dalam cadang projek pembinaan bangunan ini).


"Ketiga-tiga pihak ini (MBPP, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri) perlu bersetuju, barulah boleh untuk kita merancang satu pembangunan bersepadu di sini," jelas Kon Yeow sambil menunjukkan tapak pelan pembangunan berwajib.


Selain itu, Kon Yeow memberitahu insentif menukar ganti lif-lif rosak dekat semua rumah pangsa berwajib sekitar Pengkalan Kota berjaya dilaksanakan melalui skim peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP), serta mendapat reaksi menghalakan daripada penduduk setempat.


"Walaupun penduduk menanggung hanya 20 peratus kos tukar ganti lif baharu, tetapi ini merupakan suatu penjimatan kerana flat-flat yang didiami mereka rata-rata sudah berusia melebihi 30 tahun.


"Yang penting, lif, tangki air dan perkara-perkara yang mendesak serta perlu diberikan keutamaan daripada aspek keselamatan diselesaikan melalui skim peruntukan ini (TPM80PP)," kata Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri.


Keng Ee memberitahu sehingga kini 10 unit lif telahpun dinaiktaraf, lima unit ditukar ganti dan lima unit lain dalam proses penggantian dengan lif baharu.


Selanjutnya, rombongan Kon Yeow melawat ke Jetty Jeti Cheu dan Lim Jeti, penempatan di persisiran pantai yang masih tidak mempunyai sistem pembentungan moden.


"Satu ketika dahulu, ADUN (Keng Ee) ada mencadangkan sistem pembentungan moden.


"Susulan itu, USM (Universiti Sains Malaysia) dilantik oleh (pihak persekutuan) Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) tetapi kita (Kerajaan Negeri) tidak pasti sama ada pihak JPP akan meluluskan satu projek bagi membekal satu sistem pembentungan yang moden.


"Kita tak terima maklum balas lanjut (daripada jabatan persekutuan) sama ada projek ini lulus atau tidak, walaupun kita menerima hasrat daripada penduduk dalam siri Sedia Mendengar ini," respons Kon Yeow.

No comments:

Post a Comment