17 August 2017

Solidariti Lawan Penyingkiran Pekerja...

PENULIS 6 Ogos lepas merakamkan gambar kenang-kenangan di Air Putih Junjung dekat Kulim, membawa #InsyirahSolehah dan dua sepupunya berkelah mandi sungai.

Oleh: Zainulfaqar Yaacob
#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial 

Wacana Ekonomi | Beberapa hari lepas, Faqar terbaca lagi mengenai kejadian pemecatan aktivis pekerja di kilang Nippon Electric Glass dekat Shah Alam.

Jika Kerajaan Persekutuan tidak menangguhkan lagi pelaksanaan insurans pemberhentian pekerja, mungkin akan memberi manfaat pampasan munasabah kepada mangsa-mangsa berkenaan.

Ini jua lah yang sepatutnya dua Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago (Klang) dan Ng Wei Aik (Tanjong) perlu lihat sebelum membantah secara semberono mengenai idea pelaksanaan Skim Insurans Pekerja, yang masih belum dibincang secara masak dalam konsesus Pakatan Harapan sendiri.

Alasan mereka Skim Insurans Pekerja ini membebankan kerana membabitkan caruman majikan dan pekerja sebenarnya adalah alasan yang simplistik dan lucu.

Jika dalih sebegitu masih mahu ditegakkan, elok kedua-dua ahli Parlimen oposisi berkenaan menentang caruman PERKESO juga.

Adakah golongan buruh terbanyak, termasuk kakitangan kerajaan akan bersetuju menghapuskan PERKESO, jika mengambil kita logik kedua-dua pendirian selektif dua ahli parlimen berkenaan menentang Skim Insurans Pekerja?

Sebenarnya sebelum ini pun, telah Faqar menulis mengenai Dasar Automasi & Solusi Isu Pemberhentian Buruh Secara Paksa.

27 Julai 2017 lalu, Pemuda Amanah dalam satu kenyataan media mereka juga antara lain ada mengemukakan gagasan politik ekonomi yang lebih progresif untuk dibincangkan dalam konsesus Pakatan Harapan.

Sayap pemuda parti masa depan berkenaan berhasrat "Mewujudkan Kesatuan Sekerja dan Majlis Perundingan Gaji Yang Berpengaruh".

Mereka mahu memulihkan semula kesatuan sekerja. Hasrat bagus!

Bagi Faqar, pemuda Amanah tidak perlu menyertai Kesatuan Sekerja untuk 'mengubah dari dalam' jika beberapa MTUC sendiri ketika ini sependirian dengan rejim, mahu Insurans Pemberhentian Pekerja ditangguhkan oleh Kerajaan Pusat.

"Pemuda Amanah tak perlu kembali menjadi mahasiswa jika mahu memperkuatkan kembali gerakan pelajar di Malaysia, memadai ahli parlimen parti masa depan itu sedaya-upaya untuk menghapuskan kekangan-kekangan perundangan dalam AUKU dll.
Jika difahami logik mudah ini, sayap pemuda parti masa depan itu ketika ini tidak perlu lah berfikir untuk 'mengubah dari dalam' MTUC sendiri, memadai kemukakan manifesto pro pekerja. 
Kesatuan Pekerja dengan sendirinya akan lahir dalam bentuk kelas produktif, jika ahli parlimen Amanah berjaya menghapuskan kekangan perundangan berwajib di Parlimen," respons Zainulfaqar dalam wacana ekonomi DEKPOS di George Town Bandar Warisan Dunia UNESCO pada malam tadi."

Pemuda Amanah adalah ahli politik, dan mungkin mereka seperti peguam Muhammad Faiz Fadzil dan  Ustaz Shazni Munir Mohd Ithnin yang ada hasrat ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen kelak, wajar mengenal pasti undang-undang yang menghalang kesatuan sekerja untuk terus berkembang secara produktif.

Perlu ada desakan untuk menghapuskan undang-undang yang menghalang penubuhan serta perkembangan kesatuan sekerja dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) umpamanya, kerana sektor itu adalah industri produktif.

Industri produktif adalah industri yang berdiri atas kaki sendiri untuk menghasilkan produktiviti dan ia dengan sendirinya akan melahirkan sistem kelas pekerja yang sebenar.

Kelas pekerja yang sebenar akan lahir dengan sendirinya, jika kekangan perundangan ke atas mereka di tempat kerja boleh dihaluskan di Dewan Rakyat.

Justeru, Pakatan Harapan perlu lebih menyerlahkan faham perjuangan sosial demokrat mereka dengan menunjukkan solidariti membela kaum pekerja.

Bercakap dan menjelajah berbulan-bulan untuk memberitahu penduduk kampung mengenai 1MDB itu rasuah bukan perjuangan sosial demokrat yang hakiki.

Perjuangan sosial demokrat yang hakiki antaranya adalah memperjuangkan nasib pekerja, mendesak Kerajaan supaya melaksanakan Skim Insurans Pekerja..

Lagi bagus jika Pakatan Harapan mengemukakan hasrat melaksanakan Skim Pekerjaan Tetap dalam manifesto mereka di PRU14.

Pakatan Harapan juga boleh mengemukakan Dasar Gaji Buruh yang lebih produktif, antaranya kadar upah buruh meningkat secara relatif mengikuti peratus peningkatan produktiviti industri (Production Vs Wages Policy).

Sebenarnya tak sampai 10 peratus pun daripada populasi pengundi di PRU14 adalah majikan berbanding baki 90 peratus lagi adalah kakitangan kontrak kerajaan atau pun buruh industri swasta. 

Maka, secara logiknya, takkan mempertahankan kepentingan selektif majikan industri berbanding membela kaum pekerja lebih menggandakan undi rakyat kepada Pakatan Harapan di PRU14 kelak?

Itu, jika Pakatan Harapan percaya kuasa rakyat yang sebenar, berbanding politik personaliti sentimental Tun Dr Mahathir Mohamad telahpun saling bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setuju?

No comments:

Post a Comment