20 August 2017

MP terkejut 934 orang baru terima kunci PR1MA, Exco Perumahan dedah tiada seunit pun di P.Pinang

SIM Tze Tzin pada sidang media di Parlimen baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR - Sehingga bulan Jun 2017 sejumlah 934 unit kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sahaja baru diserahkan kunci kepada rakyat adalah mengejutkan, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Walhal katanya lagi,  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 lalu telahpun berjanji untuk menyediakan 500,000 unit kediaman PR1MA kepada rakyat, termasuk di Pulau Pinang.

"Maksudnya hanya 934 orang muda sahaja mendapat unit kediaman...ini hanya 0.2 peratus sahaja janji manis yang telah dijanjikan kepada orang muda," ujarnya pada sidang media di Parlimen pada 10 Ogos lepas.

Memetik Jawapan Bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), katanya, sehingga kini sejumlah 8,475 unit kediaman telahpun dibina sejak PR1MA ditubuhkan pada tahun 2013.

"Siap dibina, bukanlah bermakna semua unit kediaman telahpun diserahkan kunci kepada rakyat," jelasnya yang juga Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) nasional.

Mengikut negeri, katanya lagi, sejumlah 3,096 unit kediaman PR1MA telahpun siap dibina di Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2,074), Johor (2,069 unit), Perak (676 unit) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (560 unit).

JAGDEEP Singh Deo diiringi Lim Hock Seng menyerahkan surat kelulusan permohonan TPM80PP kepada wakil Persatuan Penduduk Flat Taman Bayu dekat KADUN Bagan Jermal di sini baru-baru ini. | Gambar: Darwina Mohd. Daud 

Dalam kenyataan berasingan, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu pentadbiran Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional sehingga kini masih belum membina walau seunit kediaman PR1MA yang begitu diperlukan oleh rakyat Malaysia yang mendiami negeri Pulau Pinang.

Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang berkata demikian sambil mendedahkan bukti berwajib, iaitu berdasarkan rekod Perakuan Layak Menduduki (OC) yang dibekalkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Fakta ini saya perolehi dari dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini di mana ianya merupakan statistik pengeluaran Occupational Certificate (OC) untuk kelulusan bagi LC (rumah kos rendah) dan LMC (rumah kos sederhana rendah).

"Fakta melalui angka ini tidak boleh dinafikan," ujar Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat ketika membuat lawatan susulan ke Flat Taman Bayu dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal, Pulau Pinang baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng serta Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Negeri, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Di rumah pangsa berkenaan, Jagdeep turun mengumumkan kelulusan peruntukan Tabungan Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) berjumlah RM46,400, untuk selenggara lif di rumah pangsa tersebut.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui TPM80PP membiayai RM58,000 untuk projek penyelenggaraan itu, manakala baki 20 peratus atau RM11,600 lagi ditanggung oleh penduduk flat berkenaan.

Selain itu, Jagdeep turut memberitahu, lebih 20,000 unit kediaman telah, sedang dan akan dibina di negeri ini adalah empat kali ganda lebih banyak berbanding tempoh sama sebelum tahun 2008 (kira-kira 5,000 unit RMM sahaja).

"Kerajaan Negeri juga akan terus membina Rumah Mampu Milik (RMM) di kelima-lima daerah negeri ini merangkumi 17 projek yang berharga maksimum RM300,000,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mengkritik tindakan BN negeri melancarkan sebuah buku mendakyah kononnya Kerajaan Persekutuan sedang membina 16,569 unit PR1MA, serta meluluskan RM24.5 juta untuk Tabung Penyelenggaran 1 Malaysia (TP1M).

“Saya cabar BN tunjukkan di mana projek PR1MA yang sedang dibuat itu. 

"Bagi TP1M pula dari 2016 hingga 2017 kita (Pulau Pinang) mendapat 'kosong' kelulusan dari Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment