30 August 2017

Jajaran LRT jauh ambil kira rancangan pembesaran PIA sendiri, respons Kon Yeow

EXCO Pengurusan Lalulintas Negeri Pulau Pinang dalam sidang media di Komtar pada petang tadi menjawab beberapa ulasan pemimpin Gerakan dan MCA mengenai cadangan TMP ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Jajaran transit aliran ringan (LRT) yang dijarakkan berbanding pelan asal berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) adalah mengambil kira rancangan masa hadapan pembesaran lapangan terbang itu sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menjawab kritikan pihak pembangkang Pulau Pinang, dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar tengah hari tadi.

"Bukan kita tidak mahu membina jajaran LRT dekat dengan terminal lapangan terbang, tapi dalam rundingan dengan Pihak Berkuasa Malaysia Airports, mereka pun ada rancangan untuk pembesaran lapangan terbang (di) Bayan Lepas.

"Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) diminta untuk tidak membuat LRT di jajaran yang asal," jelasnya sambil menunjukkan aspek perubahan rancangan dalam pelan jajaran LRT berwajib.

Tambah Kon Yeow, perubahan pelan jajaran tersebut adalah salah satu komponen projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (TMP), disediakan oleh rakan pelaksana projek (PPP) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sendiri, iaitu Konsortium SRS.

Difahamkan, respons Kon Yeow itu adalah merujuk pada kenyataan Setiausaha MCA Pulau Pinang dalam laporan The Star bertarikh 26 Ogos 2017.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yewo dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

No comments:

Post a Comment