03 April 2017

Tradisi melepaskan ikan keli Afrika bunuh ekosistem Sungai Perai

DR. Afif Bahardin (kiri) diberi penjelasan oleh Noraisyah Abu Bakar mengenai bahaya 34 spesis ikan baka asing termasuk "Keli Afrika" mampu membunuh habitat tempatan lain jika dilepaskan ke Sungai Perai, ketika program lawatan di sini baru-baru ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Upacara ritual yang laksanakan di sebuah kuil di Taman Sentral dekat Mak Mandin sejak tahun 2002 dengan melepaskan ikan keli baka asing dari Afrika dalam jumlah banyak ke Sungai Perai boleh mengakibatkan ekosistem habitat tempatan di sana kian terjejas.

Justeru, Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pemeriksaan berwajib yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Negeri mendapati Sungai Perai kini didominasi habitat ikan keli asing tersebut, hatta membahayakan ekosistem di sungai berkenaan.

Justeru, beliau menasihatkan kumpulan yang melaksanakan upacara ritual terbabit supaya melepaskan ikan baka tempatan sahaja pada masa hadapan.

"Ikan keli asing ini adalah karnivor, apabila dilepaskan terlalu banyak akan menjadi haiwan pemangsa dalam rantaian makanan serta akan memakan hidupan laut lain, seperti ikan-ikan kecil dan udang tempatan.

"Kita tidak pernah menghalang mereka daripada melaksanakan nazar melalui upacara ritual sebegini atas kepercayaan mereka bahawa ia boleh memanjangkan umur mereka.

Tetapi, gantikanlan ikan keli Afrika ini dengan melepaskan spesis tempatan seperti ikan lampam (ikan duri) atau udang (baka tempatan) yang dibenarkan ke Sungai," respons Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika melawat kawasan Rumah Ibadah Bukan Islam (RIBI) tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Noraisyah Abu Bakar.

Dr. Afif memberitahu Jabatan Perikanan Negeri akan memacak papan tanda informasi mengenai larangan melepaskan 34 spesis ikan baka asing yang mampu menjejaskan ekosisitem sungai, di sini.

"Kita harap dapat kerjasama daripada semua pihak, dan orang awam di sini, demi memulihara ekosistem habitat sungai kita," jelas Dr. Afif.

Dalam perkembangan lain, Dr. Afif memberitahu Jabatan Perikanan Negeri sepanjang tahun lepas sahaja direkodkan membelanjakan sejumlah RM130,000 dengan melepaskan ikan dan spesis hidupan laut lain, termasuk 152,000 anak udang galah demi memulihkan ekosistem air di negeri ini.