04 April 2017

RM20,000 pasang kajang elak air hujan masuk ke dalam Kuil Sri Ramar



DATUK KERAMAT - Pasangan kajang (awning) yang menelan belanja RM20,000 dana dari sumber Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam di sekeliling Kuil Sri Ramar dekat Jalan York di sini diharap dapat mengelak tempias masuk air hujan kelak.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika menyerahkan cek replika sumbangan kepada wakil kuil tersebut, 2 April lalu. 

"(Permohonan dibuat) kerana ketika hujan lebat, air akan mula memasuki bahagian dalam kuil ini dan pemasangan kajang ini akan mengalirkan air ke luar dari memasuki bahagian dalam kuil," ujarnya yang  juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Menurut Jagdeep, Jawatankuasa Tabung Amanah RIBI sejak ditubuhkan pada 9 September 2015, telah meluluskan 13 permohonan di bahagian pulau dan Seberang Perai (7), masing-masing melibatkan kos RM257,475 dan RM139,918.20.

"Tabung amanah ini ditubuhkan bagi kegunaan rumah-rumah ibadat bukan Islam menyelenggara atau membina rumah ibadat dengan peruntukkan maksima RM20,000 bagi setiap projek yang dilaksanakan.

"(Dan) dana tabung amanah ini dikutip oleh Kerajaan Negeri melalui sumbangan pemaju di bawah kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setakat Mac 2017, sejumlah RM4.98 juta disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan RM1.52 juta, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Jadi, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengalu-alukan mana-mana RIBI yang memerlukan dana penyelenggaraan boleh membuat permohonan memandangkan kita (Kerajaan Negeri) mempunyai dana dan ia perlu disalurkan kepada pemohon yang layak," jelaasnya selaku Pengerusi Tabung Amanah RIBI Negeri Pulau Pinang.

Dalam para itu, Pengerusi Kuil Sri Ramar, Kalyan Kumar berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil peduli isu-isu dan keperluan rakyat termasuk RIBI.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Urusetia Jawatankuasa Tabung Amanah RIBI Negeri Pulau Pinang di talian 04-650 5543/5544/5427 atau layari laman rasmi di jpbd.penang.gov.my.