07 April 2017

Rampas papan tanda 'haram', tak ikut garis panduan sahaja, respons MBPP



Oleh: ZAINULFAQAR FAQAR 

PADANG KOTA - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam merampas sembilan papan tanda komersial yang dikenalpasti tidak berlesen serta tidak mengikut garis panduan tapak warisan George Town, manakala lima papan tanda lain dirampas dalam operasi bersepadu serupa pada hari ini.

Ahli Majlisnya Ong Ah Teong memberitahu langkah penguatkuasaan itu dilaksanakan selepas MBPP sejak 21 bulan lepas mengeluarkan notis-notis pemberitahuan kepada para pemilik premis perniagaan terbabit.

"Semalam, kita (MBPP) hanya rampas papan tanda tidak berlesen...kain rentang di depan premis perniagaan yang tak ikut garis panduan pun kita rampas.

"Kalau pengadang cahaya matahari diperbuat daripada buluh yang diletakkan di hadapan kedai mempunyai unsur pameran atau unsur komersial, mesti mendapatkan lesen dan ikut garis panduan papan tanda di tapak warisan juga, jika tidak akan dirampas juga," jelas Ah Teong dalam sidang media di Lebuh Acheh di sini tengah hari tadi.

Penjelasan Ang Teong itu sebagai menjawab isu MBPP merampas pengadang cahaya matahari yang diperbuat daripada buluh di premis perniagaan tertentu dekat Lebuh Acheh, yang tular di beberapa media dan laman sosial facebook sejak semalam. 

Menurut Ah Teong, operasi bersepadu fasa pertama Program Pemutihan Dan Pematuhan Peletakan Papan Tanda Perniagaan Di Dalam Tapak Warisan sejak semalam melibatkan tiga jabatan dalaman MBPP, iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Konservasi Warisan dan Bahagian Pelesenan.