20 April 2017

P.Pinang hari ini bekal empat kali ganda bilangan unit rumah rakyat berbanding era BN sebelum 2008, kata Jagdeep



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Sehingga kini sejumlah 20,887 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A (kos rendah) dan Jenis B (kos sederhana rendah) dibina di Pulau Pinang, berbanding 5,124 unit sahaja dalam tempoh sama selama tujuh tahun sebelum 2008.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, jumlah rumah yang berjaya dibina dalam era Kerajaan Negeri hari ini adalah menyamai empat kali ganda berbanding tempoh sebelumnya ketika era pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

"Sejumlah 20,887 unit ini adalah empat kali ganda jumlah 5,124 unit yang telahpun dibina pada tujuh tahun yang sama sebelum kita mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan telahpun menunjukkan satu prestasi pencapaian dari segi pembekalan rumah mampu milik, yang jauh lebih baik daripada Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu," jelas Jagdeep pada siri kedua Ekspo Perumahan Mampu Milik 2017, anjuran Kerajaan Negeri di Pasar raya Prangin dekat Komtar baru-baru ini.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan yang menyempurnakan majlis perasmian ekspo tahunan kali kedua itu.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; serta ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri hari ini telahpun memperkenalkan Garis Panduan Perumahan Mampu Milik 100% dengan kelulusan kepada pihak pemaju swasta membina sejumlah RM18,387 unit rumah, tidak termasuk 20,887 unit Jenis A dan Jenis B.

Tambah beliau, terdapat 14 lagi projek RMM pelbagai jenis yang terdiri oleh 26,255 unit kediaman bakal dibina di kelima-lima daerah di negeri ini.

"Harganya adalah dalam lingkungan RM42,000 sebanyak 787 unit, RM72,500 ada 8,388 unit serta antara harga RM150,000 hingga RM300,000 sejumlah 17,080 unit," jelas beliau yang juga ADUN Datuk Keramat.

Di samping itu, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini senantiasa mencari jalan untuk melaksanakan langkah-langkah penyejukan pasaran hartanah, dan ketika ini kian memperlihatkan hasil.

"Menurut statistik dan data yang dikumpul oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Negeri Pulau Pinang mencatatkan penurunan harga purata perumahan tertinggi di seluruh Malaysia, di mana berbanding purata penurunan harga di seluruh negara adalah 0.7 peratus, negeri Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 3.2 peratus, iaitu dengan harga peruta dari RM400,994 sehingga RM388,319," jelas Jagdeep.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang sekali lagi menggesa Bank Negara Malaysia (BMN) supaya melonggarkan syarat permohonan pinjaman perumahan bank demi memastikan lebih ramai pembeli RMM kali pertama mampu miliki rumah idaman masing-masing.

Tegasnya, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sebelum ini mendedahkan kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan ketika ini melebihi 60 peratus, sungguhpun Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam satu kenyataan berasingan baru-baru ini antara lain memberitahu kadar kelulusan pinjaman perumahan adalah setinggi 73.8 peratus.

Tegasnya lagi, Kerajaan Negeri dan pihak pembangkang Pulau Pinang dalam isu penolakan permohonan pinjaman perumahan bank ini saling bersetuju untuk menghantar usul bersama kepada Kerajaan Pusat, untuk penyelesaian lanjut.

"Satu dialog telahpun diadakan pada tahun dahulu (2016), dan adalah diharapkan Dialog Meja Bulat kedua ini dapat membincangkan semula isu ini dengan cadangan-cadangan yang bernas daripada semua pihak yang berkepentingan," jelas Jagdeep.

Pada perkembangan lain, Jagdeep memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini melahirkan rasa hampa atas prestasi buruk Kerajaan Pusat yang didakwa gagal membekalkan unit kediaman di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk warganegara yang mendiami negeri ini.

"Sehingga hari ini, satu unit pun masih belum dibina di negeri Pulau Pinang," tegas Jagdeep.