05 April 2017

Cerpen | 20 Lelaki + gadis 16...



Oleh: ZAINULFAQAR FAQAR

            MONYOK sahaja muka Ayu sambil menjelujur jari dalam lubang bola boling di Classic Bowl, pasar raya Prangin. Dia menemukan jalan buntu kerana kandungannya sudah mencecah usia dua bulan. Lama-kelamaan tentu tak boleh ditutup dari mata orang.

            "Ayu sayang anak kita ini. Ayu tak sanggup buang anak ini." Pelajar tingkatan 4 Sekolah Perempuan Seri Mutiara itu menghempas bola lalu menggelonsor masuk ke parit boling, sampai menggamit perhatian orang sekeliling. 

             Tapi, teman Ayu nampak tidak kisah dilihat orang.  Dalam fikirannya ada Ayu sahaja. Perlahan-lahan Man memegang bahu Ayu dan memimpinnya ke tempat duduk. Lalu, Man mewajahi perempuan yang dia kenal lebih setahun yang lalu. Ketika itu Man di Tingkatan 6 Atas Sekolah Menengah Al-Mashoor (Lelaki), tak jauh dari sekolah Ayu.

              Satu sekolah tahu Man bercinta sakan dengan seorang atlet gimnastik. Begitu mencabar percintaan Man apabila Cikgu Disiplin mengumumkan hal mereka di perhimpunan pagi, menjelang musim percubaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Ibu Man yang pecah lubang apabila bekas Ketua Umum Pelajar itu mengumumkan untuk bernikah dengan seorang calon Peperiksaan Menengah Rendah. Mujur tak masuk Buletin Utama TV3 atau akhbar Mingguan Malaysia. 

              Selepas kejadian itu, Man dan Ayu mengambil pendirian untuk berdiam diri, tapi perasaan cinta yang saling membara akhirnya membawa mereka ke ranjang kebahagiaan. Dan, anak dalam kandungan Ayu ini adalah tanda kerelaan hati masing-masing untuk menikmati kebahagian yang diingini oleh semua kekasih, bak suami isteri.

              "Jom lah kita bernikah di Siam, duit simpanan Man berniaga di Kolej Kediaman Ke-4 Universiti Malaya cukup untuk kita berdua ke sana. Lagipun, duit biasiswa JPA Man ada lah sedikit, jika masih tak cukup." Man terus memujuk Ayu. Dia tahu Ayu bukan sebarang wanita. Cantik, anak emas yang lahir dalam keluarga berada. Tapi, dengan Man yang datang dari keluarga biasa, anak seorang juruteknik Telekom, Ayu tak pernah ungkit semua yang dia ada.

                "Selepas bernikah di Siam, apa?" Nampak Ayu seperti runsing dengan anak dalam kandungannya itu.

                "Selepas kahwin, kita daftar di Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Mungkin kena bayar denda RM1,500 sahaja," balas Man.

                 "Selepas itu, apa?" Pendek sahaja cakap Ayu. Air matanya mengalir deras. Mukanya yang putih berbujur sireh kian kemerahan-merahan, seayu namanya.

                  Ayu tahu Man orangnya bertanggungjawab, sebab itu dia berani berbincang dengan kedua-dua orang tuanya dulu, untuk menikahi seorang pelajar tingkatan 3. Tapi, ada risikonya. Itu yang cuba Ayu fahamkan Man.

                  Sebelumnya bertemu Man di Classic Bowl lewat jam 5.00 petang tadi, Ayu bertemu kakak angkatnya, Siti Hajjar Hassan bersama suami sekal lagi. Selain Man, Ayu begitu akrab dengan Siti Hajjar. Hatta, tiada rahsia disembunyikan sesama mereka.

                  Panjang perbincangan Ayu dengan Siti Hajjar. Dia masih ingat nasihat kakak angkatnya dulu. Selepas malam pertama bersama Man di Friendship Motel di tengah-tengah bandar raya George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO dulu, keesokannya Ayu memberitahu Siti Hajjar. Siti Hajjar sangat dalam firasatnya dan menasihatkan Ayu supaya tidak ke ranjang lagi. 

                  Tetapi, suami Siti Hajjar ketika itu menasihatkan Ayu supaya memulihara perhubungan cinta yang suci itu dengan Man. Ayu masih ingat seloroh suami Siti Hajjar yang mengatakan larangan zina dalam Al-Quran sebenarnya untuk mengelak penyakit berjangkit semata-mata ketika itu, bukan lah membawa dosa kepada Tuhan. 

                   Menurut suaminya, Islam membenarkan persetubuhan dengan nikah dan persetubuhan tanpa nikah dengan hamba, sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah S.A.W., berdasarkan ayat 1 Surah At-Tahrim serta sebab turut wahyu itu.

                   "Tak berdosa pun mukalaf jika langgar lampu isyarat, kerana larangan itu bermuarakan keburukan duniawi yang pasti, iaitu boleh kemalangan jalan raya. Begitu jualah larangan zina dalam Al-Quran, atas sebab keburukan duniawi ketika itu, iaitu berisiko kena penyakit berjangkit."

                    Tersenyum-senyum sahaja Siti Hajjar melihat suaminya mengusik fikiran Ayu. Suaminya berkata larangan berzina atas faktor duniawi itu dahulu akan berubah hukum harus apabila penyakit berjangkit itu pasti mampu dielak dengan menggunakan kondom dan sebagainya pada hari ini. "Kaedah fiqh menyebut, "تغير الأحكام مع علته yang bermaksud perubahan hukum-hukum bersama sebab 'ilat-nya."

                    Ayu melompat tanda gembira. Tapi, Siti Hajjar ketika itu memberitahu ada keburukan duniawi yang lain jika persetubuhan tanpa nikah. "Kalau lahir anak tanpa nikah, susah nak daftar sijil lahir, susah nak masuk pra sekolah, susah nak waris harta. Semua ini juga adalah keburukan duniawi, walaupun keburukan duniawi seperti penyakit berjangkit yang Faqar sebut boleh dielak sekarang."

                  Masing-masing ketawa, tapi Ayu ketika itu berbelah bahagi sama ada mahu teruskan hubungannya dengan Man tanpa ikatan pernikahan syarie atau sebaliknya. "Seronok tengah Kak Hajjar, walaupun mengidap barah Hodgkin Lymphoma tahap 4, tapi begitu feminine dan manis melayan suaminya yang nakal beragama." Bisik Ayu. Ada seperkara yang Siti Hajjar sebut ketika itu, dan sehingga kini masih bersarang dalam fikirannya.

                 "Ayu....Ayu...Ayu..." Man menggoncang kecil Ayu yang duduk lesu di kerusi rehat Classic Bowl. Lalu kata Man lagi, "Man akan jaga Ayu dan anak kita baik-baik, Man mampu," pujuk Man lagi.

                  "Kak Hajjar ada beritahu sekali lagi tadi, kalau Man dan Ayu kahwin di Siam dan daftar di Majlis Agama secara sah, Man boleh didakwa merogol gadis bawah umur di Mahkamah, walaupun semua yang terjadi antara kita adalah 'suka sama suka'."

                  Masih adalah beberapa kali lagi balingan bola boling, tapi Man mula menangis seperti Ayu, kerana kali ini jika mak Ayu tahu pun, pasti akan membuat aduan polis. Man akan digambarkan merogol gadis bawah umur. Faktornya kerana suka sama suka ke ranjang dengan gadis bawah umur terlarang nikah di tanah air tercinta ini.

END