15 August 2014

Adu jika pemaju tipu rumah kuota Bumiputera tiada - Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KOMTAR - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, mereka yang dinafikan hak oleh pemaju untuk membeli rumah kuota Bumiputera di negeri ini boleh membuat aduan lanjut kepada Jawatankuasa Pelepasan Kuota Rumah Bumiputera yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kita memang ada menerima beberapa aduan di mana ada pemaju tidak melaksanakan tanggungjawabnnya dengan memohon pelepasan rumah kuota Bumiputera untuk dijual kepada bukan Bumiputera, bagi mendapatkan untung yang lebih.

"Selepas pengadu dan pemaju dipanggil untuk siasatan lanjut pada 18 Julai baru-baru ini, jawatankuasa mengarahkan pemaju melaksanakan tanggungjawabnya dengan menjual satu unit rumah kuota Bumiputera di tanah besar (Seberang Perai) kepada pengadu yang berhak terbabit.

"Kalau ada lagi kes seperti ini, sila buat aduan rasmi kepada jawatankuasa saya kerana kita (Kerajaan Negeri) mahu pemaju melaksanakan tanggungjawabnya menyediakan rumah kuota Bumiputera dan kita mahu Bumiputera benar-benar boleh menikmati haknya di negeri ini," jelas Jagdeep kepada wartawan baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, ketegasannya itu berdasarkan amalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang sekian lama menggariskan tanggungjawab pemaju untuk membina 30 peratus rumah mampu milik untuk kuota Bumiputera bagi satu-satu projek pemajuan di negara ini.

"Pemaju tak boleh kata, rumah kuota Bumiputera sudah habis dijual atau tiada kalau mereka yang berhak nak datang beli daripada pemaju, dan pemaju kemudian datang kepada kita (Jawatankuasa) untuk memohon pelepasan kuota dengan membayar sumbangan kepada Kerajaan Negeri.

"30 peratus kuota Bumiptera ini mesti dibina oleh pemaju untuk mereka yang berhak menikmati diskaun 5 peratus dari harga pembelian," tegas Jagdeep, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.


ULASAN BJ FAQAR
Cybertroopers Umno seringkali menggambarkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng acap kali menindas serta mengusir orang-orang Melayu.

Mereka turut menggambarkan Kerajaan Negeri hanya menjual rumah kepada Cina sahaja atas dalih untuk membantu Cina-Cina dalam DAP, sedangkan berita di atas memberikan pencerahan sebaliknya.

Apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah DAP, PAS dan PKR kini dilihat lebih stabil berbanding Kelantan dan Selangor belakangan ini, kedengaran juga puak Geng Bas Sekolah (dulu dikenali Kerajaan Perpaduan) berkata rahmat Allah jauh dari Pulau Pinang kerana pemerintahnya adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Inilah doktrin yang selama ini dipalu oleh cybertroopers Umno, yang sebenarnya berunsur fitnah serta jauh dari suluhan pendoman agama Islam.

Geng Bas Sekolah selalu mendoktrin hanya kepemimpinan Islam sahaja mendapat rahmat Allah, demi mengekalkan kedudukan politik mereka dalam parti dan kerajaan.

Geng Bas Sekolah tanpa segan silu mendoktrin,  "... (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!" [Surah As-Saba':15] adalah merujuk kepada para ulamak mereka sahaja.

Sedangkan, menurut Ibn Abbas, negeri yang dimaksudkan adalah Kerajaan yang diperintah seorang pemimpin yang adil tetapi bukan Islam, iaitu ayah kepada Ratu Balqis.

Selepas Ratu Balqis memeluk Islam dan melaksanakan keadilan dalam pemerintahan, pentadbirannya yang meninggikan keimanan turut dipuji dalam al-Quran.

Umno menghina pemimpin wanita seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atas kejadian fitrahnya yang ada haid, tetapi Allah tidak pernah menghina kejadian yang Maha Istimewa ke atas gender wanita itu.

Sesungguhnya Allah memuliakan Ratu Balqis atas keadilan pada pentadbirannya.

"Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami (Allah) akan tumpahkan keberkatan daripada langit dan keberkatan dari bumi, dan sebaliknya jika kebenaran itu didustakan, maka Allah akan menyeksa mereka di sebabkan perbuatannya itu." [Surah al A'raaf : 96]

Imam Ibnu Taimiyyah berkata dalam kitab Al-Hisbah;


الله ينصر الدولة العادلة وإن كانت كافرة ، ولا ينصر الدولة الظالمة وإن كانت مؤمنة


"Allah SWT membantu negara yang adil, waima negara itu kafir. Dan tidak membantu negara yang zalim, waima negara itu negara orang mukmin" 
[rujuk Al-hisbah : 4]

Setuju?

No comments:

Post a Comment