24 August 2014

549 terima RM1,000 sumbangan daftar masuk Universiti

AYU Hanis Idris (kiri) dan Awa Maisarra Mad Said (kanan) menzahirkan penghargaan selepas menerima RM1,000 sumbangan Bantuan Masuk IPTA di sini baru-baru ini.
WARIS serta semua penerima cek bantuan daftar masuk IPTA bergambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri dan pemimpin Kerajaan Negeri pada majlis di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - 549 anak Pulau Pinang terpilih menerima cek bantuan pendaftaran pelajar ke  institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi pertama tahun 2014 peringkat negeri berjumlah RM1,000 seorang atau keseluruhannya RM549,000.

Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, program modal insan ini boleh dilaksanakan sejak tiga tahun lepas kerana Kerajaan Negeri tiap-tiap tahun ada surplas, sungguhpun belanjawan defesit diamalkan di Pulau Pinang saban tahun.

"Kita tidak ada sumber diri balak, minyak dan gas, maka, Kerajaan Negeri melaksanakan program ini untuk menghargai sumber modal insan.

"Ini adalah 'dividen anti rasuah' kerana kita amal tender terbuka, tak rasuah serta ada lebihan kewangan tiap-tiap tahun...tak benar kewangan kita defisit walaupun kita mengamalkan belanjawan defisit," ujar Guan Eng pada Majlis Sumbangan Bantuan Masuk IPTA Peringkat Seberang Perai, di Dewan Serbaguna Jawi di sini, baru-baru ini.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Maktar Shapee (Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap), Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan P. Kasthuriraani dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam).

Dari 549 permohonan yang diluluskan, Guan Eng berkata, 146 permohonan dari Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (209 permohonan) dan Seberang Perai Selatan (80 permohonan).

Tambah beliau, Kerajaan Negeri pada tahun ini turut membuka peluang kepada pelajar diploma serta ijazah sarjana muda dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), iaitu Wawasan Open University (WOU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan AIMST untuk memohon i-BiTA secara online mulai 12 Ogos hingga 25 Ogos depan.

Difahamkan, majlis sumbangan serupa turut diadakan peringkat pulau di Tapak Pesta Sungai Nibong, Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak.

Sementara itu, Awa Maisarra Mad Said, 18, semasa ditemui kemudian di sini melahirkan penghargaan kerana permohonannya diluluskan Kerajaan Negeri.

"Sangat gembira apabila dapat tahu Kerajaan Negeri nak beri bantuan ini...dengan RM1,000 boleh untuk biaya daftar masuk universiti nanti," ujar beliau, yang ditawar melanjutkan pelajaran di Universiti Teknomogi Mara (UiTM) Kampus Pulau Pinang dekat Permatang Pauh.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Ayu Hanis Idris, 19, yang ditawar melanjurkan pelajaran ke UiTM Kampus Kedah dekat Merbok.

"Bersyukur kepada Allah, bantuan ini sedikit banyaknya mengurangkan beban keluarga semasa hari pendaftaran masuk (universiti) kelak," ujar penerima berkenaan di sini.

Rosdan Mat Ali, 45, ayah kepada Nur Syafiqah Rosdan, 18, turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri.

"Bantuan seperti ini amat meringankan beban anak saya masuk  UiTM Seri Iskandar nanti, yang memang memerlukan dana yang banyak," ujar Rosdan, pekerja Kilang Robert Bosch dalam satu majlis perasingan, di Tapak Pesta Sungai Nibong.

No comments:

Post a Comment