10 July 2014

Kompleks Mahkamah Shariah P.Pinang ‘tembok keadilan’, Guan Eng nasihat pemimpin parti Gerakan

LIM Guan Eng (tiga dari kiri) menyaksikan Mohd. Rashid Hasnon (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang wakil asnaf terpilih (dua dari kiri), sambil diiringi oleh Abdul Malik Kassim (paling kiri) dan anggota Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor "Abang Ali" (paling kanan) di sini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SERI DELIMA - Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, pembangkang di negeri ini sepatutnya melihat Kompleks Mahkamah Shariah Pulau Pinang yang dijangka siap pada tahun depan sebagai ‘tembok keadilan’, sebagaimana yang pernah dibina oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu.

Justeru, Guan Eng menasihatkan pemimpin tertentu pembangkang supaya tidak menggambarkan pentadbirannya begitu melebih-lebihkan kepentingan umat Islam, berbanding Kerajaan Negeri sebagai dikuasai Barisan Nasional, dulu.

“Kerajaan Negeri menawarkan sebidang tanah (berkeluasan) kira-kira 3.49 ekar bernilai kira-kira RM80 juta dekat Jalan Scotland atas dasar keperluan umat Islam, selepas Kerajaan Pusat sendiri (pada tahun 2012) mengeluarkan peruntukan (RM36.5 juta) untuk membina kompleks baru itu.

"Parti lawan tak perlu menyerang saya kononnya pemberian tanah ini menunjukkan Kerajaan Negeri hari ini begitu menjaga orang Islam sahaja, tidak seperti Pulau Pinang semasa di bawah Gerakan.

“Saya harap kompleks yang sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun (iaitu) sekarang ini, dapat disiapkan secepat mungkin,” nasihat Guan Eng dalam ucapan perasmiannya pada petang semalam, dengan tanpa menyebut nama pemimpin pembangkang yang dimaksudkan itu.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian dalam program Ihya Ramadan & Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Kepemimpinan Kerajaan Negeri di perkarangan Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, insiatif memartabatkan Islam di negeri ini dapat dilangsungkan, antaranya disebabkan syor berwajib daripada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS).

"Abang Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) selalu nasihat saya, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah membina 'tembok keadilan' atas dasar ada keperluan rakyat, jangan (membina) tembok besar-besar,” seloroh Guan Eng lagi.

ANTARA asnaf terpilih yang diraikan dalam program Ihya Ramadan & Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Kepemimpinan Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Prof. Madya Dr. Fadhullah Jamil turut berucap pada majlis tahunan Kerajaan Negeri peringkat pulau tersebut.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee, Datuk  Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), R.S.N. Rayer (Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) dan Ramkarpal Singh Deo (Ahli Parlimen Bukit Gelugor).

Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Jamal Nordin, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang), Datuk Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Mahkamah Sharie Pulau Pinang) dan Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP).

Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Dr. Danial Zainal Abidin turut menyampaikan tazkirah Ramadan mengenai manfaat puasa pada kesihatan tubuh badan, di depan lebih 300 hadirin.

Pelajar tahfiz al-Quran di sebuah maahad di sini antara tetamu yang diraikan semalam, dalam majlis berbuka puasa bersama-sama Lim Guan Eng serta pemimpin Kerajaan Negeri. | Foto: Facebook Azran Chan Ori 

Pada majlis sama, Guan Eng turut menyaksikan majlis penyampaian sumbangan zakat kepada asnaf terpilih.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen kepemimpinan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Islam di Pulau Pinang, sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan.         

No comments:

Post a Comment