18 July 2014

Bendera separuh tiang untuk MH17, Guan Eng tuntut keadilan dunia

KETUA Menteri dan seluruh pemimpin pelbagai peringkat Pulau Pinang pada majlis mengkibarkan bendera separuh tiang di perkarangan lobi Komtar dekat George Town, tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri turut mengadakan upacara mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari, sebagai mengingati nahas maut kapal tebang negara MH17 di ruang udara Ukraine pagi tadi.


Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya menuntut keadilan dunia ke atas semua kehilangan jiwa, yang dianggap sebagai suatu tragedi pembunuhan.

"Ini merupakan pembunuhan zalim beramai-ramai kerana tiada faktor (atau) masalah teknikal. Kita tuntut keadilan dunia untuk semua mangsa dalam tragedi ini," Guan Eng di sini, tengah hari tadi.

Menurut Guan Eng, upacara tersebut turut sebagai penghormatan kepada kesemua mangsa yang terbabit dalam insiden kehilangan pesawat MH370, sebelum ini.

Semua Exco Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan serta agensi kerajaan turut serta pada himpunan tersebut.

Sebelum itu, Mufti Pulau Pinang Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memimpin bacaan doa selamat untuk kesemua mangsa serta rakyat Pulau Pinang supaya diberi ketabahan dengan ujian seumpama Tragedi MH370, sebelum ini.

Guan Eng pada sidang media kemudiannya turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersedia memberi sokongan yang wajar kepada tiga keluarga mangsa anak Pulau Pinang yang terbabit dalam nahas udara terbaru itu.

Tetapi, katanya lagi, terpulanglah kepada keluarga mangsa, yang kini sudah tentu memerlukan masa privasi untuk berkabung atas kematian ahli keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment