11 June 2014

Rekod hutang tak berbayar sifar, KPATSBB hasrat jumpa Guan Eng

ZOLKIFLY Md. Lazim (tujuh dari kiri) dan Nasoruddin Shah Mat (enam dari kiri) bergambar kenang-kenangan dengan pentadbiran serta penerima skim pinjaman mikrokredit tanpa riba KPATSBB di Ropewalk Bagan di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH - Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) Zolkifly Md. Lazim berkata, pinjaman maksimum mikro kerdit untuk anggotanya dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000 mulai tahun depan.

Menurut beliau, langkah itu berdasarkan kejayaan koperasi menguruskan skim pinjaman tanpa riba dengan sifar hutang tak berbayar (NPL) sejak dilancarkan tiga tahun lepas.

"Sehingga kini, 120 daripada 350 anggota koperasi mengambil skim ini...tiga lagi permohonan Melayu dan seorang India diluluskan pada hari ini," ujar Zolkifly pada sidang media bersama-sama Pengerusi  KPATSBB Nasorudin Shah Mat di Ropewalk Bagan,  semalam.

Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang memberitahu, hubungan sosial yang baik antara pentadbiran koperasi dan anggotanya merupakan faktor utama kejayaan NPL sifar.

"NPL boleh sifar bukan sebab (penguatkuasaan) undang-undang, tapi, malu-alah, saling mengenali dan sistem bayar balik (pinjaman) yang cukup mesra penjaja," ujar Zolkifly  yang juga Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh.

Difahamkan, skim ini diperkenalkan pada tahun 2010, selepas kejayaan mengena geran dana sebanyak RM50,000 daripada Tabung Modal Pusingan (TMP) di bawah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Manakala, proses bayar balik dilakukan tiap-tiap hari, selepas seminggu dari tarikh pinjaman diluluskan.

"Kutipan tiap-tiap hari RM10, tidak termasuk 50 sen upah kerani bagi setiap kali kutipan lebih mudah di sisi anggota koperasi yang sertai skim pinjaman tanpa riba ini," ujar Zolkifly.

Justeru, Zolkifly berkata, pihaknya berharap partisipasi Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng demi kepentingan penjaja kecil di negeri ini.

"Dengan NPL sifar yang berjaya kita capai dalam KPATSBB, kita yakin lebih ramai penjaja kecil akan turut mendapat manfaat melalui pengurusan PTSR (Pinjaman Titian Saksama Rakyat), dan, terbaru Tabung Usahawan Tani Muda," ujar Zolkifly lagi.

No comments:

Post a Comment