10 June 2014

P.Pinang pertimbang pihak proses sisa organik diberi insentif, kata Exco Alam Sekitar

(Dari kiri) TAN Chee Teong, Rosnani Mahmod, Marcus Lee, Tan Cheong Eng, Maimunah Mohd. Sharif, Phee Boon Poh, Rozali Mohamud, Dr. Mushtaq Memon dan Renee Yuet-Yee Ho merakamkan gambar kenang-kenangan selepas majlis perasmian pembukaan bengkel kerja berwajib di Hotel Sunway Seberang Jaya, pada pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kerajaan Negeri sedang mempertimbang syor mengenakan bayaran berasaskan keterhasilan sisa pepejal, serta pembayaran insentif berdasarkan kejayaan memproses sisa organik peringkat komuniti.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, sebanyak enam kawasan penempatan komuniti dipilih sebagai projek perintis sulung ini, dengan peruntukan tahunan AS$70,000 daripada badan antarabangsa World Bank dan United Nations Environmental Programme International Environmental Technology Center (UNEP-IETC).

Tiga projek perintis terpilih yang dimaksudkan peringkat Seberang Perai adalah di sekitar Butterworth, iaitu Park View Harbour Place, Taman Pandan dan Taman Tanjung Indah.

Manakala, The Peak Ivory dekat Tanjung Tokong, Taman Pelangi dekat Maccallum dan PPR Empangan Jalan Sungai dekat George Town merupakan tiga lagi projek perintis terpilih peringkat pulau.

"Kerajaan Negeri telahpun menyokong polisi (mengenakan) bayaran berdasarkan keterhasilan sisa pepejal dan memerlukan undang-undang untuk dikuatkuasakan kelak.

"Kamu (komuniti) perlu buktikan dahulu bahawa kerja-kerja memproses sisa organik ini benar-benar berjaya dilakukan, memberi impak kepada komuniti (setempat), serta memang menjana pendapatan langsung di kawasan-kawasan projek perintis ini.

"Kamu buktikan dahulu, dan layak membuat tuntutan (insentif) berdasarkan rekod kerja-kerja memproses sisa organik yang telahpun dilakukan," ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, semasa merasmikan bengkel kerja berwajib di sini, pagi tadi.

Wakil UNEP-IETC, Dr. Mushtaq Memon, serta dua wakil World Bank, Marcus Lee dan Renee Yuet-Yee Ho turut berkongsi pengalaman implimentasi dua syor tersebut di beberapa negara moden dunia.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif dan setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud dan Jing Teik Khor (wakil Penang Solid Waste Management Expert) turut hadir pada bengkel kerja tersebut.

Hadir sama, dua Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Chee Teong dan Tan Cheong Eng, Ir. Rosnani Mahmod (Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPSP) serta wakil pertubuhan komuniti dan industri.

Dalam pada itu, Boon Poh turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kerja Maimunah kerana berjaya menjimatkan sumber dana MPSP saban tahun sejak lima tahun lepas, menerusi beberapa polisi memulihara alam sekitar dekat Seberang Perai.

Maimunah yang ditemui kemudian pula memberitahu, MPSP pada tahun lepas berjaya menjimatkan RM4,198,556 daripada bajet pihak berkuasa berkenaan (PBT), yang sepatutnya dihanguskan untuk tujuan pelupusan sisa sampah.

Pun begitu, katanya lagi, kira-kira 1,200 tan sisa pepejal yang dihasilkan tiap-tiap hari di Seberang Perai, dengan hampir 50 peratus dikumpulkan dari kediaman komuniti.

Itu, tidak termasuk 1,400 tan sisa pepejal yang dihasilkan tiap-tiap hari di pulau, dengan kira-kira 600 tan dikumpulkan dari kediaman rakyat.

"Kita (MPSP) telahpun menyediakan Tapak Memproses Sisa Organik di Pasar Awam Bagan Ajam, saya kira situasi 'menang-memang' dapat juga dipertimbang.

"Ini kerana, sumber dana MPSP dapat dijimatkan lagi sekiranya UNEP-IETC danWorld Bank sendiri menguruskan pengangkutan sisa organik dari tapak-tapak projek perintis terpilih terbabit," ujar Maimunah.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut merasmikan bengkel kerja serupa peringkat pulau, dalam satu program berasingan dekat George Town baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment