04 June 2014

iFOODex buka 85 gerai makanan a’bangsa sasar 65,000 pengunjung

PENCINTA makanan pastinya tidak melepaskan peluang ke iFOODex, yang diadakan saban tahun di sini. | Foto: arkib Buletin Mutiara
ABDUL Malik Abul Kassim (berbaju Melayu) turut tidak melepaskan peluang menyertai sesi demonstrasi masakan nasi beriyani di sini baru-baru ini.

BAYAN BARU - Sebanyak 85 gerai makanan antarabangsa dari China, Korea, Jerman, Singapura, Amerika Syarikat dan Malaysia dibuka bersempena Ekspo Makanan Antarabangsa (iFOODex) 2014 di Subterranean Penang International Convention and Exhibition (sPICE).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, kepelbagaian makanan di sini diharap dapat menarik sehingga 65,000 pengunjung.

Malah, katanya lagi, penganjuran pameran tahunan itu sekaligus diharap mampu mempromosi Pulau Pinang sebagai hab memproses makanan terkemuka dunia kelak.

“Inisiatif pihak penganjur ini dilihat mendokong hasrat dan cita-cita Pulau Pinang untuk mewujudkan sebuah hab pemprosesan makanan terkemuka di dunia,” katanya, ketika merasmikan pameran tersebut.

Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, M2 Events Sdn. Bhd. kerana turut mengadakan jualan serta pameran makanan Halal Malaysia dalam iFOODex, sejak empat tahun lepas.

Tambah beliau, Pulau Pinang adalah istimewa kerana kepelbagaian makanan lazat yang disediakan dari restoran bertaraf lima bintang hinggalah gerai-gerai kecil di bahu jalan terus dilihat sebagai identiti pelancongan makanan di negeri ini.

“Segalanya ada di Pulau Pinang, sebut sahaja laksa, nasi beriani, pasembor, sup th'ing dan sebagainya,” kata Abdul Malik.

Demontrasi masakan nasi beriyani oleh chef dari Hajee Essa Sdn. Bhd. antara sesi promosi utama makanan halal di ekspo tersebut.

iFOODex mula dianjurkan di negeri ini pada tahun 1999.

No comments:

Post a Comment