04 June 2014

Guan Eng saksi MoU dua projek RM11.3 bilion P.Pinang

ROSLI Jaafar (lapan dari kiri) dan Abel Ang (enam dari kiri) saling menukar dokumen MoU, sambil diperhatikan oleh Ketua Menteri (tujuh dari kiri) di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara.

GEORGE TOWN - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Temasek dan Economic Development Innovations Singapore Pte. Ltd. (EDIS) untuk pemajuan dua projek mega di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa menyaksikan majlis MoU tersebut berkata, nilai pembangunan kasar Penang International Technology Park (PITP) di Batu Kawan dan Business Process Outsourcing Prime (BPO Prime) dekat Bayan lepas dianggarkan sekitar RM11.3 bilion.

“Usahasama di antara PDC dan Temasek bagi membangunkan PITP dan BPO Prime tersebut membolehkan PDC memegang 51 peratus syer dan selebihnya dipegang oleh pelabur,” ujar Guan Eng dalam ucapannya di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Pengarah Urusan Kanan (Pelaburan) Temasek, David Heng, Pengarah Urusan (Undang-undang dan Peraturan) Temasek, Cheong Kok Tim, Pengerusi EDIS, Philip Yeo, Ketua Pegawai Eksekutif EDIS, Abel Ang dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Phang Ah Tong turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti).

Dalam perjanjian itu, difahamkan, PDC dan Temasek akan memajukan projek di atas tanah berkeluasan 206.8 ekar dalam tempoh lima hingga 10 tahun, manakala, EDIS pula berperanan menyediakan perkhidmatan pengurusan kepada projek usahasama tersebut.

Guan Eng berkata, dua projek tersebut dijangka akan mengembangkan pasaran domestik yang berasaskan pengetehuan, seperti penyumberan luar projek perniagaan (BPO), informasi dan teknologi komunikasi (ICT) serta sektor pembuatan nanti.

Malah, katanya lagi, projek pemangkin ekonomi negeri itu turut dijangka membuka 25,000 hingga 30,000 peluang kepada pekerja berpengetahuan kelak.

No comments:

Post a Comment