10 June 2014

Caj tambahan hotel tak beban selagi pelancong rasa berbaloi ke P.Pinang

"YB ADUN Komtar (Teh Lai Heng) mengemukakan cadangan untuk mengenakan caj kepada pelancong asing untuk hotel di Bandar George Town sahaja dan cadangkan caj tersebut dibuat mengikut status hotel (sebagai) contoh RM10 untuk hotel (bertaraf) lima bintang seperti yang telah dilaksanakan oleh (Kerajaan) Negeri Melaka yang mengenakan Caj Warisan.

"Cadangan untuk melaksanakan caj kepada pelancong untuk hotel-hotel di George Town boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak hotel," kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sesi penggulungan dalam penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-13, 5 Julai 2013.

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam satu surat pekelilingnya mengumumkan caj tambahan RM2 semalaman dikenakan bagi bilik hotel bertaraf satu hingga tiga bintang mula dikuatkuasa pada 1 Jun lepas, manakala, RM3 dikenakan ke atas hotel bertaraf empat bintang dan ke atas.

Pengumuman itu dibuat, selepas syor Kerajaan Negeri dirujuk ke peringkat PBT, serta disambut oleh Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang sendiri.

Guan Eng dalam kenyataannya menyebut, caj tambahan itu akan ditabungkan untuk pembangunan industri pelancongan negeri, khususnya di George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sepatutnya, MAH Pulau Pinang awal-awal lagi mempertikai syor ini, jika nyata mengakibatkan kemunduran industri perhotelan negeri (khususnya di George Town), konon-konon berpunca oleh rasa beban daripada pelancong yang niat berkunjung ke negeri ini.

Persoalannya, mengapa MAH Pulau Pinang serta MPPP menyambut syor ini?

Dan, mengapa pula pembangkang Umno BN Pulau Pinang pula bak 'lebih sudu dari kuah' dengan sengaja menggambarkan pentadbiran Guan Eng menindas kaum pelancong?

Statistik rasmi yang diperoleh Kerajaan Negeri merekodkan, kehadiran pelancong asing dan warganegara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun sejak 2008 kian meningkat.

Seramai 464,455 pelancong asing direkodkan masuk ke negeri ini melalui LTAPP pada tahun 2008, manakala, 614,309 orang pada tahun 2012.

"Ini menunjukkan peningkatan tahunan sebanyak 5.74 peratus dari tahun 2008 hingga tahun 2012," ujar Guan Eng dalam satu kenyataannya di Komtar, George Town baru-baru ini.

Angka itu sekaligus menunjukkan prospek sektor pelancongan yang kian cerah jika Kerajaan Negeri kian proaktif dan inovatif, demi meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan di negeri ini.

Secara logiknya, peruntukan dana dari caj tambahan yang digunakan untuk memajukan industri pelancongan warisan Pulau Pinang sudah pasti menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Implisitnya, pelancong akan lebih ghairah ke Pulau Pinang serta rela membayar caj tambahan baru ini, kerana mereka yakin apa yang mereka belanjakan itu adalah berbaloi dengan mutu industri pelancongan yang dimajukan di negeri ini.

Bayar lebih untuk mutu yang lebih, bukan bayar lebih kerana Kerajaan Negeri tiada sumber pendapatan, sebagaimana digambarkan oleh pembangkang Umno BN Pulau Pinang menerusi media maya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Sri Idris Jaja dalam kenyataannya pernah mengaku bahawa pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) demi mengukuhkan kewangan negara, lapor sesawang Berita Harian pada 21 Oktober 2013.

Guan Eng pula mengaku bahawa sumber kewangan negeri kukuh, dengan mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri paling besar menyumbang pada pelaburan asing langsung (FDI) kepada negara dalam tempoh 2010 hingga Ogos 2013, iaitu sebanyak RM19.7 bilion.

Angka itu, katanya lagi, menyamai 20 peratus daripada keseluruhan FDI di Malaysia dalam tempoh masa tersebut.

Jadi, apa motif sebenar pembangkang Umno BN Pulau Pinang menggambarkan pentadbiran Guan Eng menindas pelancong di negeri ini dengan mengenakan caj tambahan tersebut?

Sebenarnya pembangkang mahu menutup kelemahan Kerajaan Umno BN Terengganu menaikkan cukai pintu, sampai mengundang amarah serta demontrasi aman rakyat di negeri berkenaan baru-baru ini.

Jika rakyat sedar kelemahan itu, sekaligus, mereka akan sedar kekuatan sebenar tadbir urus Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri di Pulau Pinang.

Ini kerana, pentadbiran Guan Eng sejak tahun 2008 sebanyak dua kali mengabaikan syor Putrajaya untuk menaikkan kadar cukai pintu di negeri ini kerana tidak mahu menambah lagi beban warga Pulau Pinang, yang berpunca oleh tindakan Kerajaan Umno BN Pusat menaikan harga minyak, komoditi asasi hatta  kos sara hidup serta inflasi melambung naik.

Mengapa Umno hanya sensitif mengenai syor caj tambahan untuk semalaman sewa hotel di George Town sahaja, tetapi, pada masa yang sama tiada pula sensitiviti berhubung pelaksanaan GST, kenaikan harga minyak, barang, dan terbaru cukai pintu di Terengganu?

Umno BN sepatutnya lebih jujur dalam melaksanakan polisi yang menguntungkan rakyat serta membangunkan potensi ekonomi, bukan terus merendah-rendahkan keupayaan intelektual rakyat sebagaimana permainan jijik terbaru di Pulau Pinang, kini.

Setuju?

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
Bukit Mertajam |3.34 pagi

No comments:

Post a Comment