19 May 2014

Kepelbagaian faktor nilai-nilai Islamis seperti hisbah lebih mudah dilaksanakan di P.Pinang, Selangor

ULASAN BJ FAQAR
ZAiNULFAQAR Yaacob dan isteri, Siti Hajjar Hassan.
MAJORiTi penduduk Makkah adalah arab, tetapi Rasulullah S.A.W sukar menerapkan nilai-nilai tadbir urus Islamis dalam kalangan kaumnya yang berpegang pada semangat asabiah.

Di Madinah pula, masyarakatnya berbilang agama dan kaum. Tetapi, nilai-nilai tadbir urus Islamis lebih mudah dilaksanakan di negara moden itu berbanding Makkah.

Dalam konteks Malaysia, Selangor ada SELCAT, Pulau Pinang ada CAT. Ini sistem integriti yang serupa fungsinya dengan hisbah.

Nilai-nilai Islamis seperti hisbah lebih mudah dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang berbanding Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Johor dll mungkin disebabkan aspek kepelbagaian itu lebih ketara di kedua-dua negeri Pakatan Rakyat berkenaan.

Setuju?


Bantu Putrajaya kukuhkan dakwah, toleransi agama – TKM I P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berharap agenda memartabatkan Islam serta program dakwah yang kian subur di Pulau Pinang sejak tahun 2008 mampu membantu Putrajaya mengukuhkan toleransi agama di negara ini.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Dakwah Negara dan Bulan-Bulan Al-Quran Peringkat Negeri 2014, yang dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri dan  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Semoga amar makruf seumpama ini dapat diteruskan,” ujar Mohd. Rashid pada program tahunan negeri di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

TUN Abdul Rahman Abbas (paling kiri) menyempurnakan majlis perasmian Program Dakwah Negara & Sambutan Bulan-Bulan Al-Quran Peringkat Negeri 2014, sambil diiringi oleh Mohd. Rashid Hasnon (dua dari kiri), Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kiri) dan Asyraf Wajdi Dusuku (paling kanan) di sini baru-baru ini. | Foto: Belutin Mutiara.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Abdul Rahman Abbas merasmikan majlis pelancaran tersebut, yang disertai lebih 1,000 hadirin itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim selaku pengerusi jawatankuasa penganjur program turut membahaskan tema program tahunan kali ini, iaitu ‘Al-Quran Mengukuhkan Ukhwah, Memartabatkan Ummah’.

Abdul Rahman dalam ucapannya, menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan melalui penghayatan dakwah sebagaimana dituntut dalam al-Quran sendiri.

Mengulas mengenai tema Katanya lagi, toleransi sesama ummat mampu mengukuhkan perpaduan ummah.

“Umat Islam perlu kembali menghayati al-Quran dan hidup sebagai satu ummah,” ujar Abdul Rahman.

Selebriti dakwah rancangan ‘Reset Minda’ terbitan Astro Oasis, Prof. Dr. Muhaya Mohammad turut menyampaikan motivasi dakwah di depan lebih 1,000 hadirin di sini, sebelum majlis sepagi bersurai.

MUHAYA Mohammad kelihatan dari pentas utama menyampaikan motivasi dakwah serta saling berinteraksi dengan hadirin di sini baru-baru ini.


Difahamkan, Kerajaan Negeri meraikan Bulan-Bulan Al-Quran tiap-tiap tahun sejak 2010, dan digabungkan bersama-sama Program Dakwah Negara sebagaimana disyor oleh Putrajaya pada tahun ini.

Program ‘Ibrah Al-Quran, Kelas Tahsin Al-Quran, Celik Al-Quran & Mini Tahfiz, Multaqa’ Tolabah Al-Quran, Talaqqi & Hafazan Al-Quran, Bacaan Kitab, Seminar Al-Quran dan Kelas Bahasa Arab Bahasa Al-Quran dianjurkan secara berkala di Masjid Negeri dan beberapa masjid terpilih serta Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan, bermula pada 1 Mei lepas.

Info lanjut, Hubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di talian 04-2637200 atau faksimili 04-2502810 atau emel mariah@penang.gov.my / muhamadsayuti@penang.gov.my.

No comments:

Post a Comment