07 April 2014

Punca isu air P.Pinang...

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB*

Kerajaan Negeri merancang kenaikan tarif air demi mencegah pembaziran sumber asasi itu, selain, mengelak risiko catuan seperti yang terjadi di beberapa negeri lain pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada Sabtu lepas masih belum mengumumkan tarif air yang baru, tetapi, memberi jaminan bahawa rakyat akan tetap menikmati tarif air termurah di Malaysia.

Sebelum ini, katanya, tarif air negeri terendah di Malaysia,  iaitu masih pada kadar 32 sen bagi 1,000 liter padu hingga 35,000 liter padu air yang pertama.

Guan Eng, yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan terbarunya dipetik menjelaskan, diskaun 60 peratus bagi surcaj pemuliharaan air (WSC) akan tetap diberikan kepada keluarga yang terdiri oleh isi rumah lapan orang dan ke atas berkuatkuasa 1 Mei depan, demi memastikan kenaikan tarif nanti tidak membebankan pengguna.

"Mereka hanya perlu ke PBAPP dan menunjukkan kad pengenalan ahli keluarga yang tinggal di rumah untuk layak menerima diskaun ini," kata Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP.

Presiden Water Watch Penang, Prof. Dr. Chan Ngai Weng pada satu reaksi berkata, pihaknya bersetuju bahawa tiada kenaikan untuk 20 kubik meter pertama air di negeri ini.

Beliau mencadangkan tarif pada harga kos akan dikenakan pada kegunaan 21 hingga 30 kubik meter air.

Tambahnya, dua kali ganda daripada harga kos akan dikenakan pada kegunaan 21 hingga 40 kubik meter air.

Pembaziran?
Purata kegunaan air Pulau Pinang adalah 311 liter per kapita sehari, berbanding purata negara pada 212 liter per kapita sehari.

Angka ini digambarkan sebagai kegunaan air di Pulau Pinang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Cadangan menaikkan tarif air serta pengenaan surcaj kepada pembazir air negeri ini adalah berdiri atas angka kegunaan air terbanyak ini.

Sesetengah pihak menganggap angka per kapita sehari yang ditunjukkan ini bukanlah gambaran sebenar kegunaan air isi rumah di negeri ini.

Ini kerana, menurut pihak tersebut, kegunaan air berlebihan atau major adalah dalam sektor perindustrian, berbanding kegunaan minor di rumah.

Ertinya, purata 311 liter per kapita di negeri ini adalah bukan kegunaan isu rumah semata-mata, tetapi, angka itu merupakan jumlah kalkulatif penggunaan sumber sama daripada sektor perindustrian juga.

Justeru, angka yang sedia ada ini sewajarnya dilihat secara mikro dan makro, agar langkah konstruktif yang diambil oleh pihak berwajib benar-benar berdiri atas gambaran cabaran sebenar yang sedang didepani di Pulau Pinang, belakangan ini.

Pembaziran atau produktiviti?
Sebagai misalan lanjut, perindustrian di Pulau Pinang lebih besar produktivitinya berbanding perindustrian di Perlis.

Ertinya, kegunaan air untuk tujuan perindustrian di Pulau Pinang secara subjektif dan logik tentulah lebih banyak berbanding kegunaan air di Perlis.

Jika kalkulatif ini diguna pakai, tentu akan menolak kayu ukur menggunakan liter per kapita sehari, yang digambarkan ini - iaitu pengguna Pulau Pinang paling membazir air di negara ini (termasuk jika dipertandingkan dengan Perlis) kerana angka kegunaan air di negeri ini adalah 311 liter per kapita sehari ini.

Kalau jumlah kegunaan air sebenar negeri dilihat bersama-sama dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) untuk nilai RM1 umpamanya, mungkin kegunaan air Pulau Pinang akan ditentukan menurut dimensi yang lebih realistik, sama ada suatu pembaziran atau bertujuan produktiviti perindustrian?

Sesungguhnya, formula perkiraan yang berbeza sudah tentu akan melahirkan justifikasi yang berbeza.

Major kegunaan air di Pulau Pinang sebenarnya mendekati maksud pembaziran atau produktiviti?

Keutamaan industri.
Jika benar major kegunaan air di negeri ini bukanlah berpunca oleh pembaziran isi rumah, kejuruteraan sumber asasi itu perlu dilakukan di sektor perindustrian terlebih dahulu sebelum kaedah penguatkuasaan dilakukan ke atas pengguna terbanyak.

Mustahil sebuah Kerajaan akan memusuhi perindustrian sendiri atas sebab kegunaan sumber air negeri berlebihan, walhal pendapatan negeri antaranya bergantung pada upaya sektor perindustrian.

Sebab itu, jarang didengar gangguan air turut didepani oleh kilang atau sektor perhotelan di Selangor impiannya, walaupun langkah catuan sumber asasi tersebut acap kali dialami oleh rakyat yang tinggal di rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Polisi
Di negara-negara maju seperti Scotland umpamanya, beberapa amalan kejuruteraan semula (re-engineering) dilakukan di sektor perindustrian dan di semua jenis kediaman demi memulihara kegunaan sumber air.

Sistem paip air rendah aliran akan digunakan untuk mengelak kegunaan air secara berlebihan.

Tangki flush ditukar kepada tandas simbah.

Oleh kerana kilang lebih banyak menggunakan air, hampir semua kilang di Scotland mempunyai sistem kitaran semula air tersendiri.

Sistem penyejuk mesin turut direka untuk menjimatkan sumber air serta sumber tenaga lain.

Denda yang tinggi turut dikenakan kepada industri yang gagal merawat air sebelum dilepaskan ke parit.

Lanskap pengairan, iaitu penyusun pola kegunaan air turut diperkenalkan untuk memastikan kelestarian sumber.

Sebagai contoh, tarif kegunaan air selepas tengah malam diturunkan supaya menggalakkan aktiviti penggunaan air (dan elektrik sebenarnya) di rumah (contoh: basuh kain) pada bukan waktu puncak, iaitu masa sektor perindustrian beroperasi.

Selain itu, pengkalan data mengenai info pengguna mengikut isi rumah, rekod operasi sistem paip, meter dan rumah pam, aduan pelanggan, kualiti air, sistem pemilihan sumber mentah dibangunkan secara komprehensif untuk mengurus serta meluaskan sumber air.

Kempen nilai menjimatkan air serta pengenaan surcaj kepada pembazir sumber sebagaimana diamalkan di Pulau Pinang merupakan antara langkah yang dikenakan kepada sektor perindustrian sahaja; kerana sumber air adalah percuma untuk isi rumah rakyat dekat Scotland.

Punca
Cadangan kenaikan tarif air, inisiatif penyusunan semula surcaj hatta kemungkinan langkah catuan sebenarnya untuk menghukum pembazir air serta menjimatkan sumber bekalan air negeri.

Jika Putrajaya meluluskan permohonan Skim Bekalan Air Mentah Dari Sungai Perak ke Pulau Pinang, seperti yang dicadangkan George Town, tentulah semua isu berkaitan sumber air ini tidak timbul sekarang.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximum Ongkili tidak wajar menjadikan rekod kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghadapi musim kemarau berpanjangan baru-baru ini dengan tidak menggalakkan sebarang catuan air rakyat sebagai dalih untuk menolak permohonan Skim Bekalan Air Mentah Dari Sungai Perak ke Pulau Pinang, 18 September tahun lepas.

Sepatutnya cadangan permohonan tersebut tidak diabaikan secara semberono memandangkan surat Guan Eng bertarikh 18 Jun tahun lepas antara lain meminta skim itu disegerakan, sepertimana dalam inti perjanjian penghijrahan aset air negeri yang dimeterai oleh Putrajaya dan George Town, tahun 2011 lalu.

Federalisme Adil
Pulau Pinang adalah sebahagian Malaysia. Rakyat Pulau Pinang pun adalah rakyat Malaysia.

Janganlah disebabkan perbezaan politik pentadbiran George Town dan Putrajaya, krisis air yang sengaja diada-adakan di Selangor sejak beberapa tahun lepas, mahu ditimpa pula ke atas rakyat Malaysia yang bermukim di Pulau Pinang.

Malaysia sebelum ini sanggup membekalkan air kepada Singapura dengan bayaran 3 sen per 1,000 gelen, walhal Melaka sendiri membayar 30 sen per 1,000 gelen air dari Johor.

Sekarang, Singapura membina logi air diperbaharui serta memperkenal 'New Water' kepada pengguna negara republik itu, sejak menolak iltizam politik Malaysia untuk memperbaharui perjanjian air pada tahun 2011.

Jika Singapura pernah dilayan 'istemewa' sehingga era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiga tahun lepas, tidak bolehkah Putrajaya melayan Pulau Pinang sekurang-kurangnya secara adil atas semangat federalisme Malaysia?

"Dan janganlah sesekali kebencian kamu terhadap satu-satu puak, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adil lah kerana (sikap) adil itu lebih dekat pada ketakwaan." [Surah Al-Maidah: 8]

___________
* Penulis adalah fotojurnalis kelahiran Pulau Pinang, pemegang ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya, serta ahli seumur hidup PAS bagi Kawasan Batu Kawan. Penulis boleh dihubungi di talian 0194241583, emel zainulfaqary@gmail.com atau blog faqar.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment