22 April 2014

Keluarga terharu kehadiran luar jangka 50,000 untuk Karpal

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KELUARGA Karpal Singh pada sidang media di Komtar, tadi.
GEORGE TOWN - Keluarga Karpal Singh tengah hari tadi melahirkan rasa terharu dengan initiatif Kerajaan Negeri menguruskan majlis penghormatan terakhir mendiang ‘Tiger of Jelutong’ berkenaan selama tiga hari bermula Jumaat lepas, yang menerima kehadiran luar jangkaan 50,000 orang dari seluruh negara.

Justeru, anak sulung Karpal, Jagdeep Singh Deo mengalu-alukan seluruh rakyat Pulau Pinang, yang beragama Sikh untuk sekali lagi menyertai upacara ritual terakhir kepada mendiang di rumah ibadat Wadda Gurdwara Sahib di sini pada hari Khamis hingga Sabtu ini.

“Ini adalah upacara ritual terakhir untuk Karpal, kami (keluarganya) menjemput seluruh rakyat Pulau Pinang untuk beri partisipasi,” ujar Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan kepada wartawan di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Gurmit Kaur (balu Karpal) serta ahli-ahli keluarga terdekat mendiang turut hadir pada sidang media itu.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), R.S.N. Rayer (Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Delima), serta tiga Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit, Ong Ah Teong dan D.S. Harvinder Singh.

Sementara itu, Gurmit dalam nada sebak turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak berwajib yang menguruskan majlis perhormatan terakhir kepada suaminya.

Manakala, Kon Yoew pula merakamkan penghargaan kepada keluarga Karpal kerana memberikan kerjasama sepenuhnya dengan wakil Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait sepanjang berlangsungnya majlis tersebut.

Saya merasa lega apabila majlis penghormatan ini dapat berjalan dengan lancar, walaupun masih ada pelbagai ketidaksempurnaan yang menyebabkan ramai orang awam yang tidak diberikan peluang untuk memasuki Dewan Sri Pinang bagi menziarahi mayat mendiang Karpal Singh.

“Saya pohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” ujar Kon Yeow selaku penyelaras Majlis Penghormatan Terakhir Kepada Karpal anjuran Kerajaan Negeri.

Karpal Singh, 74, bersama-sama pembantu peribadinya, Michael Cornelius Selvam Vellu, 39, maut dalam nahas jalan raya di kilometer 301.6 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Utara berhampiran Gua Tempurung kira-kira detik 1.30 pagi Khamis, 17 April lalu. 

No comments:

Post a Comment