07 April 2014

Idea 'rumah ganti rumah' bukan mustahil di P.Pinang - Rashid Hasnon

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) menyaksikan penyerahan perjanjian persetujuan (MoA) antara perundi pemaju, Mohamed Azhar Abdul Gafoor (lima dari kiri) dengan wakil penerima rumah ganti rumah di sini baru-baru ini
TKM1 puji Seraimas Bina beri penduduk asal rumah percuma

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK - Empat penduduk asal Kampung Permatang Nibong Tengah di sini bersetuju dengan budibicara pemaju Seraimas Sdn. Bhd. menerima rumah pangsa kos rendah dan serta tunai RM15,000 atas tanah sama di sini, sungguhpun idea 'rumah ganti rumah' itu dianggap mustahil oleh sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon selepas majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) berwajib memberitahu, pihaknya akan membantu pemaju Seraimas Bina Snd. Bhd. untuk mendapatkan kebenaran melaksanakan projek di atas tanah tersebut daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sesegera mungkin.

"Langkah ini akan membantu Kerajaan Negeri membuat satu garis panduan supaya hak penduduk asal tidak diabaikan dalam mana-mana projek pemajuan dengan budi bicara pemaju, tuan tanah serta sikap bertolak ansur penduduk sendiri," ujar Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di Pusat Khidmat Rakyatnya.

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) mempengerusikan majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) antara perundingan pemaju Seraimas Bina Sdn. Bhd. Mohamed Azhar Abdul Gafoor (tiga dari kiri) dan keempat-empat penerima rumah ganti rumah secara percuma di sini baru-baru

Wakil perunding pemaju, Mohamed Azhar Abdul Gafoor dan Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) Zolkifly Md. Lazim turut menyertai majlis perjanjian persetujuan (MoA) yang membabitkan lima penduduk asal terbabit.

Penduduk asal terbabit, Mohamed Abdullah M.R.M. Mohd. Rowther, Fandy Sulaiman, Mohamed Mydin Ala Pichay dan Syed Baharin Mohd. Yusoff masing-masing dijanjikan menerima rumah pangsa kos rendah berkeluasan 680 kaki persegi bernilai RM42,000 secara percuma.

Mereka turut menerima RM12,000 kos sewa rumah sepanjang tempoh pemajuan projek itu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun, selain, RM3,000 kos mengosongkan rumah sedia ada dalam masa dua minggu dari tempoh perjanjian MoA dimeterai bersama.

Difahamkan, penduduk asal lain di Kampung Sungai Nibong Tengah tersebut sebelum ini bersetuju menerima pampasan berupa wang tunai daripada pemaju.

Sebanyak 500 unit rumah, termasuk 65 unit rumah kos rendah (KR) dan 65 unit rumah kos sederhana (KSR) rendah di atas tanah seluas kira-kira empat ekar milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Mohd. Rashid berkata, pihaknya berharap kerja-kerja pemajuan tersebut dapat siap mengikut jadual, supaya lima penduduk asal dapat kembali menghuni di kampung halaman mereka.

"Kalau boleh, cepat siap ikut jadual supaya mereka ini boleh kembali tinggal (bermastautin) di kampung halaman mereka," ujar Mohd. Rashid lagi.

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) pada sidang media bersama-sama Mohamed Azhar Abdul Gafoor (lima dari kiri) dan Zolkifly Md. Lazim (dua dari kiri) di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Pantai Jerejak di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media yang sama, Zolkifly pula mencadangkan, budibicara yang ditunjukkan oleh Seraimas Bina wajar diraikan oleh Kerajaan Negeri dan pihak berwajib lain supaya diteladani oleh tuan tanah atau pemaju-pemaju lain di negeri ini.

"Saya memuji budi bicara yang ditunjukkan oleh pemaju dan penduduk hingga situasi 'menang-menang' dicapai dalam perundingan yang disaksikan oleh Datuk Mohd. Rashid ini pada malam ini.

"Kalau boleh, langkah murni pemaju ini diraikan oleh Kerajaan Negeri sendiri supaya menjadi inspirasi kepada semua pihak yang menghadapi isu seperti ini, seperti penduduk asal di Kampung Permatang Tok Subuh (dekat Bukit Mertajam) umpamanya," ujar Zolkifly yang juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Penerangan Negeri.

MOHD. Rashid Hasnon (kanan) saling berbincang Mohamed Azhar Abdul Gafoor (kiri) mengenai idea mengekalkan warga bandaran dalam bandar, selepas selesainya majlis menandatangani MoA di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Mohamed Azhar mengaku bahawa pihaknya masih untung, walaupun memberi rumah secara percuma kepada empat penduduk asal Kampung Permatang Nibong Tengah di sini.

"Walaupun Seraimas Bina mempunyai hak atas pemajuan projek ini, kita memberi rumah kepada mereka atas budibicara kita.

"Untung tetap untung walaupun kita melakukan budibicara ini, selepas berunding dengan penduduk dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon sendiri," jelas beliau pada sidang media sama.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan kemampuan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam melaksanakan inisiatif mengekalkan warga bandaran dalam bandar melalui rundingan situasi 'menang-menang' membabitkan pemaju, penduduk asal dan tuan tanah.

No comments:

Post a Comment