21 April 2014

Bangsa majmuk lebih mudah terima Islam, respons PAS kepada ISMA

MOHD. Salleh Man menerima cenderamata daripada Y.H. Taufiq Yap, sambil disaksikan oleh ahli rombongan Hidayah Centre lain pada majlis kunjungan hormat di Ibu Pejabat MAINPP di sini, tengah hari tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEOGRE TOWN - Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohd. Salleh Man berkata, Islam sejak zaman kenabian Nabi Muhammad S.A.W dulu umumnnya lebih mudah diterapkan dalam kemajmukan kaum, seperti Madinah Al-Munawwarah berbanding di Makkah.

Respons itu sekaligus menolak pendapat politik Naib Presiden Ikatan Muslimim Malaysia (ISMA) Abdul Rahman Mat Dali yang menyebut Malaysia perlu kekal identiti Melayu-Islam, bukan berbilang kaum seperti dillaporkan di portal berita The Malaysian Insider.

"Islam lebih mudah dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W di Yatrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah Al-Munawwarah) kerana masyarakatnya berbilang bangsa dan budaya, tidak seperti di Makkah yang hanya didominasi oleh bangsa Arab Jahiliah zalim," ujar Mohd. Salleh di Ibu Pejabat MAINPP di sini, tengah hari tadi.

Mohd. Salleh yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang berkata demikian, selepas menerima majlis kunjungan hormat rombongan NGO dakwah Hidayah Centre yang diketuai oleh Prof. Dr. Y.H. Taufiq Yap.

Mohd. Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menjelaskan, nilai-nilai Islam seperti keadilan, cekap, akauntabel, amanah, anti rasuah, anti kronisme dan saling menghormati antara kaum telahpun diterapkan secara demokratik sejak Kerajaan Negeri diambil alih oleh Pakatan Rakyat, 8 Mac 2008.

"Perbezaan memang wujud, tetapi, semanga demokrasi dan nilai kemajmukan bangsa cukup memberi ruang untuk Islam diamalkan di negeri ini secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat," jelas Mohd. Salleh lagi.

Justeru, katanya, MAINPP secara umumnya bersetuju untuk saling bekerjasama dengan Hidayah Centre demi menjelaskan mengenai keindahan Islam yang sebenar kepada warga Pulau Pinang, khususnya kepada mereka yang belum Islam.  

Terdahulu, Abdul Rahman berkata, ISMA berpendapat bahawa Malaysia lebih baik kekal dengan identiti Melayu-Islam atas dalih Malaysia yang asalnya dikenali sebagai Tanah Melayu adalah wilayah besar yang sudah lebih 60 ribu tahun didiami masyarakat beridentiti kaum Melayu, serta sudah beratus tahun memeluk agama Islam.

"Sanggupkah anak bangsa Melayu bertahan menentang perjuangan mendiang Karpal Singh,DAP, MCA dan lain-lain yang bermati-matian berjuang untuk menukar identiti Malaysia kepada negara pelbagai kaun dan agama," dalih Abdul Rahman menerusi satu kenyataannya di The Malaysian Insider hari ini.

Perkembangan terbaru itu, membayangkan parti pemerintah dan pembangkang yang didominasi oleh Melayu-Islam masing-masing akan saling bersaing untuk menunjukkan 'siapa lebih Islam' demi menarik sokongan pengundi pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

No comments:

Post a Comment